Sunday, July 31, 2011

WAD

Assalamualaikum. Entry kali ini santai-santai saja. Mengisi masa sambil-sambil menyediakan juadah bersahur. Masak awal kerana excited nak bersahur, nanti hanya panaskan saja.

Al kisah, ada seorang mak cik yang berasal dari Kelantan ni, dia datang ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana ingin menziarahi salah seorang saudara maranya yang terlibat dalam kemalangan. Setiba di HKL, mak cik tersebut terus bertanya kepada salah seorang jururawat di situ…

Dalam loghat Kelate la.


“Nak tupe tanyo, mana dio wad kecemase?”

Dengan selamba jururawat itu menjawab.


“Wad kencing masam tak ada…tapi wad kencing manis ader la..”


Haha~

Saturday, July 30, 2011

MASAK SENDIRI

Semalam saat Kak Jah ahli bait saya yang pulang bercuti dari praktikal di sekolah untuk melepaskan rindu bersama adik-adiknya (siapa lagi kalau bukan kami berdua, Datin dan Fatin) yang sentiasa riuh dan ceria-ceria selalu. Sempat juga kami merancang aktiviti untuk hari Sabtu dan Ahad. Almaklumlah kami ini bukan jenis suka melekat di rumah, mesti ada je perkara yang hendak dibuat. Memang tidak reti duduk diam langsung!

Kami menyapu, membersih, menyusun atur, dan kemas apa yang patut demi menyambut Ramadhan agar suasana rumah lebih selesa dan menenangkan untuk beribadah di bulan Ramadhan. Demi Ramadhan.

Ramadhan kali ini saya menyambut bersama roommate tercinta, Fatin. Hanya kami berdua sahaja yang masih berada di UPSI. Petang tadi, kami pergi membeli belah barang-barang dapur untuk juadah berbuka. Sepanjang bulan Ramadhan ini kami akan masak menu berbuka puasa sendiri. Maklum sahaja, masing-masing di antara kami dihambat kesibukkan sendiri. Kerja, kerja dan kerja. Kami hanya berkelapangan pada hari Sabtu dan Ahad untuk pergi ke pasar membeli barang keperluan dapur.

Beli barang-barang dapur di pasar~

Sempat juga berborak dengan ummi.

“Aisyah pandai masak ke?”

“Setakat buat sup dan goreng-goreng tu lepaslah kot. Hehe. Nanti Aisyah campak-campak je. Ummi jangan bimbang, Aisyah boleh tengok resepi masakan kat internet. Menajamkan skill memasak..hihi”

“Amboi betul-betul wanita moden ini. Hehe.”

“Bazar Ramadhan tak bukak ke kat UPSI?”

“Bukak, tapi kalau masak sendiri lagi jimat. Kebersihan pun terjamin.”

Sebenarnya saya bukanlah jenis yang suka bersesak-sesak di bazaar Ramadhan semata-mata untuk membeli juadah berbuka. Kalau pergi mesti tekak teringin nak makan bermacam-macam. Teringin nak makan itu dan ini. Tanpa sedar, perbelanjaan berbuka puasa menjadi lebih tinggi daripada hari-hari biasa. Kita harus berjimat-cermat ketika berbuka puasa. Ketika perut terasa lapar, mata sentiasa menggalakkan nafsu untuk membeli pelbagai juadah berbuka.

Kemewahan masyarakat kita hari ini telah mengatakan bahawa Ramadhan sebagai bulan pesta makanan. Terlalu banyak makanan sehingga pembaziran sudah menjadi satu kelaziman. Bukan apa, saya ini suka buat anggaran pengiraan. Bayangkan jika setiap muslim di negara ini membazirkan RM1 sahaja sehari pada makanan, maka sekurang-kurangnya RM16 juta dilaburkan ke tong sampah setiap hari (dengan anggaran 16 juta penduduk muslim di Malaysia)! Satu jumlah yang begitu besar.

Justeru itu, saya juga ingin menyaran kepada semua pembaca entry ini agar makanlah apa-apa saja yang dimasak oleh ibu atau isteri. Berbelanja di luar itu bukan satu kemestian, boleh dilakukan sekali-sekala. Bersyukurlah dengan rezeki yang ada dan bersederhanalah dalam berbelanja.

Sekian

Thursday, July 28, 2011

LATIHAN KEHAMBAAN

Assalamualaikum wbt

Jika sebelum ini kita pernah mengikuti berpuluh-puluh kursus ke, perkhemahan ke, tamrin ke ataupun aktiviti lasak yang berbentuk training untuk melatih kepimpinan dan kepakaran. Maka Ramadhan adalah training yang kita yang sebenar, ‘Latihan Kehambaan’. Yang mana jangka waktunya adalah selama sebulan. Seandainya kita bagi komitmen yang sebenar-benarnya, maka kita akan dapat objektif program tersebut iaitu ‘Taqwa’ dan ‘Malam penganugerahan lailatul qadar’

Ramadhan bulan yang dinanti-nantikan oleh segenap umat Islam tak kira di mana berada. Bulan yang menjanjikan pahala-pahala amalan yang berlipat kali ganda. Bulan yang mana pintu-pintu syurga terbuka luas dan pintu-pintu neraka tertutup rapat. Bulan di mana syaitan-syaitan dibelenggu. Bulan yang di permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (ampunan) dan di akhirnya pembebasan dari api neraka. Itulah Ramadan Al-Mubarak. Ramadan penuh berkat.

Sempat juga saya membaca majalah SOLUSI sewaktu menunggu kakak-kakak keluar dari dewan SITC. Tiba-tiba saya tertarik dengan ruangan ‘Check List Ramadhan’. Lebih kurang macam jadual Mutaba’ah. Dulu sewaktu belajar di matrikulasi saya pernah menyuarakan pandangan berkaitan cadangan membuat jadual mutaba’ah.

“Mengapa perlu ada jadual mutaba’ah. Pada saya, semua ini bakal mengganggu keikhlasan kita dalam beramal ibadah. Nanti kita beramal semata-mata hendak memenuhkan ruang-ruang kotak dalam jadual mutaba’ah berkenaan.” Tersenyum sendirian. Terkenang zaman usrah di matrikulasi dulu, saya selalu argue dan memberi pandangan sendiri tapi naqibah tidak pernah menyalahkan saya dan mereka selalu berlapang dada malah saya amat berpuas hati dengan jawapan mereka.


Bagus juga Check List Ramadhan ini. Setidak-tidaknya puasa kita ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga malah terisi dengan amalan-amalan yang lain. Setiap umat Islam perlu membuat penilaian terhadap amal ibadah yang dilakukan. Penilaian ini penting bagi membolehkan kita membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Kita tentu tidak mahu puasa kita hanya setakat puasa golongan awam selama-lamanya bukan?

Ramadhan bakal menjelang dua hari lagi, sudah pasti ada antara pembaca entry ini sudah meletakkan sasaran dan harapan ramadhan kali ini supaya mutu puasa lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Selain itu, puasa hendaklah dilaksanakan dengan pakej latihan yang berbentuk ‘hablumminallah dan hablummi annas’. Antara pakej latihan itu ialah solat Tarawih, membaca Al-Quran, memperbanyakkan sedekah, beriktikaf di masjid dan qiamullail. Seperti mana kita buat latihan intensif atau latih tubi bagi menghadapi peperiksaan, begitu juga latih tubi pada bulan Ramadhan. Latihan ini adalah persediaan untuk kita menjadi Muslim yang lebih bertakwa, menghadapi hari-hari penuh cabaran dan ujian selepas Ramadhan nanti.

Sekian

KEKOK

Kekok

Mungkin itulah perkataan terbaik. Ya, saya seolah kekok untuk menulis kembali di Aisyah Mawaddah. Saya merasakan bahawa saya tidak lagi menjiwai setiap penulisan saya. Kerana saya menulis kerana saya rasa saya perlu menulis agar tidak membiarkan blog ini kosong dan sunyi. Tiada jiwa. Saya perasan juga ada beberapa buah entry terbaru ini tidak beberapa baik dari segi penulisan, sekadar mengupload gambar untuk menceritakannya. Ah! Teruknya.

Sebenarnya saya tidak pandai menulis. Tapi tidak mengapa, saya tahu bahawa saya punya kelebihan lain. Yang boleh diasah hingga berkilat. Dan saya harap kilatan itu menyilau menerangi. Saya bercita-cita biarlah apa yang saya lakukan dapat memberi manfaat kepada masyarakat. Hidup ini perlu memberi. Saya harap agar orang disekeliling saya menyenangi dengan sikap saya. Baik melalui percakapan dan karakter diri ini.

Minggu ini berlangsung Istiadat Konvokesyen 26-30 Julai 2011, bagi graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) kali ke 13. Sekalung ucapan tahniah diucapkan.

Sebenarnya terlalu berat amanah yang dipikul oleh pihak universiti untuk melahirkan keluaran UPSI yang berwibawa dan berkualiti.

Bersyukurlah wahai graduan UPSI. Kerjaya dalam dunia pendidikan sudah sedia menanti, berbeza dengan graduan yang bukan dalam bidang pendidikan kerana terpaksa mencari pekerjaan yang sangat terhad. Oleh itu, tugas sebagai guru adalah satu amanah daripada Allah. Perlu dijadikan ia sebagai ibadah, bukan semata-mata bayaran gaji bulanan. Harus memperbetulkan niat. Berniat untuk memberi kefahaman agama kepada anak murid, maka ia sudah dikira sebagai ibadah. Insyaallah gaji yang diperolehi ada keberkatan.

Sekarang adalah zaman langit terbuka, siapa yang menguasai maklumat maka dialah pemimpin. Guru adalah pemimpin kepada anak murid yang mewakili ummah. Diharapkan ijazah yang digenggam bukan ‘jenazah’ yang mematikan keilmuan.

Sekian.

TAHNIAH GRADUAN UPSI

Hari ini sudah masuk hari ketiga majlis istiadat konvokesyen. Ramai senior-senior yang tidak putus-putus mesej saya agar hadir pada majlis mereka. Alamak, kena beli banyak bunga untuk mereka ni. Hihi~ Jelas terpancar kegembiraan pada riak wajah mereka. Tahniah!! Sabar ye Cik Aisyah, giliran anda akan tiba jua.

Bersama Kak Harlina~ Mantan JMK sidang 2009/2010


Kak Umiey dan Kak Irana. Mereka berdua sangat baik dan lucu.

Alhamdulillah~ Kak Irana semakin sembuh dan sihat

Semoga saya sudah bergelar Pn Puteri Nor Aisyah sewaktu giliran konvokesyen saya…hihi.

Wednesday, July 27, 2011

PERSIAPAN KONVO

Assalamualaikum wbt

Di pejabat….

“Bila Aisyah konvo?”

“Lagi 2 tahun…huhu.”

“Tak pe, nanti time Aisyah konvo kami semua bagi Aisyah bunga dan teddy bear. Asalkan Aisyah selalu contact ngn kami..hehe”

“Wah, beruntungnya saya.”


Seronoknya melihat kakak-kakak dan abang-abang bergraduan pada minggu ini. Tiba-tiba rasa macam tak sabar je nak menamatkan pengajian lebih awal. Tapi saya sudah berazam akan menyambung ke peringkat Master selepas ini. Jika ada rezeki, saya juga ingin melanjutkan pengajian ke peringkat PhD. Itulah cita-cita saya.

Persiapan untuk istiadat konvokesyen kali ini dilakukan seperti biasa biarpun saya tidak terlibat secara rasmi. Kebetulan pegawai tempat saya bekerja ditugaskan untuk menguruskan protokol istiadat konvokesyen, lalu dia mengajak saya untuk meletakkan tagging kedudukan kerusi-kerusi Canselor (Raja Permaisuri Tuanku Bainun), Pro Canselor, Naib Canselor dan dekan-dekan dari setiap fakulti. Nak tahu tak apa yang berlaku?

Persiapan sehari sebelum Majlis Istiadat Konvokesyen


“Aisyah nak merasa duduk di atas kerusi Raja Permaisuri Tuanku Bainun tak?”

“Boleh ke? Tak kena tulah ke?” gurauku.

“Tak pe, bukan semua orang berpeluang dapat duduk kerusi ini. Bertuah Aisyah hari ini sebab ikut saya.”

“Betul ni?”

“Betul. Jangan risau. Duduk je.”

Puteri Nor Aisyah duduk atas kerusi Raja Permaisuri Tuanku Bainun.
(Alamak! baju tak match pula..huhu)

Sekian.

Tuesday, July 19, 2011

MUZIUM PENDIDIKAN NASIONAL

Inilah Bangunan Suluh Budiman

Muzium Pendidikan Nasional. Hanya di UPSI~

Assalamualaikum.

Semalam saya bersama beberapa orang rakan berpeluang menghadiri majlis perasmian Muzium Pendidikan Nasional. Perasmian telah dilakukan oleh DYMM Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun bersempena Ulang Tahun Keputeraan DYMM Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Sultan Perak. Turut hadir YAB Menteri Besar Perak, Dato' Seri DiRaja Dr Zambry. Bangunan Suluh Budiman telah dinaik taraf untuk dijadikan Muzium Pendidikan Nasional yang menelan belanja hampir RM9.5 juta.

Muzium Pendidikan Nasional hanya ada di UPSI sahaja. Ribuan terima kasih kepada Encik Wan kerana beriya-iya membawa saya dan rakan-rakan menjelajah di setiap genap penjuru muzium. Seronok mendengar Encik Wan bercerita. Tambahan pula kebanyakkan daripada kawan saya adalah pendebat-pendebat UPSI. Bertambah banyaklah ilmu yang saya dapat berkaitan Bangunan Suluh Budiman.

Bangunan Suluh Budiman merupakan sebuah bangunan bersejarah terutama dalam bidang pendidikan dan perguruan, telah didaftarkan sebagai Warisan Kebangsaan pada 12 November 2009 di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645). Pada 1922 ketika itu UPSI dikenali sebagai Sultan Idris Training College. Di sinilah tempat saya mula-mula menjejak kaki sewaktu menghadiri temuduga Medsi (kelayakan untuk memasuki UPSI). Di sini jugalah tempat terakhir buat semua pelajar setelah bergelar graduan UPSI dan menjadi anak kandung Suluh Budiman.

Antara perkara yang mengujakan saya, saya berpeluang melihat pelbagai artifak berkaitan pendidikan. Merasai suasana zaman dulu-dulu (zaman hitam putih). Klasik gitu!! Rupanya sekolah-sekolah yang terletak di Parit, Perak antara sekolah yang terawal di tanah melayu. Bangga jadi orang Parit! (**,)

Anda juga boleh membuat rujukan di link ini untuk mengetahui maklumat lebih lanjut mengenai Muzium Pendidikan Nasional.

Senarai nama Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Belanja Parit

Produk keluaran UPSI yang berwibawa

Bakal-bakal Datuk Seri dan Puan Seri....hehe, memang berseri-seri!

Kami adalah bakal guru-guru yang unggul

Monday, July 18, 2011

JIRAN SYAABAN

Tertarik saya dengan perumpaan ini tatkala membaca status sahabat-sahabat UPSI di facebook~

"Nama saya Sya'ban, Saya ingin mengingatkan anda bahawa jiran saya, Ramadhan akan datang mengunjungi anda tak lama lagi bersama isterinya, Rezeki dan 2 orang anaknya, Sahur dan Iftaar. Mereka ditemani 3 cucunya, Rahmat, Keampunan dan Barakah. Mereka akan pulang selepas 30 hari dengan pesawat Eid Fitri airlines. Hargai mereka, & anda akan mendapat berkat."

Tiba-tiba rindu suasana sambutan 'Halawatur Ramadhan' bersama sahabat-sahabat UPSI. Siap buat iftar jamai'e lagi. Sangat meriah!

Muslimat UPSI sedang membuat persiapan berbuka puasa


JMK, Felo, Rexco dan juga penghuni KHAR turut membantu menyediakan juadah

Suasana sebelum masuk waktu berbuka puasa

Sunday, July 17, 2011

KEM RIANG RIA SAINS DAN JOM KENALI BIOTEKNOLOGI

Assalamualaikum wbt.

Another entry for today. Again. Mata masih belum mahu tidur. Ubat yang paling berkesan adalah dengan membaca, tapi tatkala saya membacanya tak masuk. Masuklah, jemputlah masuk. Tak sudi ke? Tak pe lah. So, saya pun tutup buku lalu menggapai laptop Acer tercinta. Hihi…

Program ‘Riang Ria Sains dan Jom Kenali Bioteknologi’ bersama pelajar yang terdiri daripada 6 buah sekolah menengah sekitar Tanjong Malim anjuran fakulti Sains dan Matematik UPSI baru sahaja berakhir petang tadi. Program ini berlangsung selama 3 hari 2 malam bermula pada 15 hingga 17 Julai.

Program kali ini saya terpaksa menukar mode kalkulator kepada mode ke makmal. Dari seorang bakal guru matematik kepada guru Biology. Pengetahuan ilmu sains semasa saya menuntut di matrikulasi digunapakai semula. Nasib baik belum berkarat lagi. Tambahan pula, saya memang suka bab-bab berkongsi pengalaman zaman sekolah bersama para pelajar. Hehe~

Apa yang menarik sekali, kami merencanakan sebuah aktiviti yang ala-ala CSI. Mencari suspek kes pembunuhan melalui pembuktian DNA. Sangat menarik. Seolah-olah macam dalam cerita kes-kes forensik dan Detektif Conan pula. Aktiviti ini bertujuan mencetuskan pemikiran yang kritis dalam kalangan mereka. Mereka dikehendaki mendapatkan sampel-sampel DNA daripada suspek yang disyaki terlibat. Mencabar bukan?

Kami turut menjalankan beberapa buah experiment tentang Magika Sains bagi menimbulkan minat para pelajar terhadap subjek ini. Persoalan seperti mengapa dan bagaimana yang sering bermain di fikiran selama ini akhirnya terjawab juga sepanjang program. Selain itu, kami turut menjalankan pertandingan ‘Aplikasi Sains’. Oklah, saya pun tidak larat untuk menulis meleret-leret, maka gambar-gambar yang diuploadkan boleh menceritakannya. Sekian.

Para peserta Kem Riang Rian Sains dan Jom Kenali Bioteknologi


Sesi pembentangan dari setiap kumpulan


"Belon kumpulan kami tidak pecah"


Tu diaa...sampai meniarap memikir idea "Kalau Saya Seorang Saintis."


Menjalankan diskusi


Teacher Aisyah sedang memerhati pelajarnya menjalankan eksperimen


Sebahagian daripada pelajar saya


Cikgu Reza sedang tekun menjalankan eksperimen, penyiasatan DNA~

RINDU SIKAP YANG DULU


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, syukur atas nikmat masa yang diberikan buat hambaNya yang saling berlumba dalam melakukan amal soleh.

Usai sahaja zikir dan doa, lalu dipaksakan diri agar untuk membaca tafsir.

“Ah, diri oh diri. Cuba rajin sikit, Jangan mengada tak nak baca pulak. Dulu masa kau pegang JMK memanglah sentiasa mengejar masa untuk ke sana sini, sehingga tiada ruang waktu dan tidak cukup masa. Inilah setelah bergelar mantan, rebutlah peluang masa untuk membaca tafsir bagi top up semula bacaan yang sudah banyak ditinggalkan .” Bermonolog dengan hati Cik Aisyah.

**********

Masa darjah satu.

“Eh, kamu dah baca sampai Iqra berapa?”

Si kecil Aisyah menjawab, “Kite dah baca Iqra 3 dah. Tak lama lagi kita dah boleh baca Al-quran. Awak pula?”

“Kita baru mula Iqra 1.”

“Yeay! Kita baca laju daripada awak.” Riang si kecil Aisyah biarpun baru masuk darjah satu dia memang suka bersaing sesama rakan sekelasnya siapa yang dapat habiskan bacaan kitab ‘Iqra’ terlebih dahulu

**********

Masa darjah dua.

“Eee…Madihah tak puasa. Tak malulah awak ni!” perli Aisyah sebaik sahaja melihat rakan sekelasnya mengeluarkan bekalan makanan dari beg.

“Mak kite kata tak payah puasa sebab kite kecil lagi.”

“Kita dah puasa penuh sejak tadika lagi tau. Awak dah darjah dua pun tak belajar puasa. Nanti Allah marah. Ayooo…dosa.”

**********

Tingkatan tiga.

“Ustazah, saya nak tasmiq bacaan dulu.” Si gadis Aisyah sentiasa berebut-rebut dan bersaing dengan classmate sendiri untuk menyudahkan hafazan sewaktu kelas KKQ.

“Ala..saya yang sampai dulu. Ustazah, mana aci dia potong que.” ujar Hafis ketika mereka berada di hadapan meja guru di kelas 3 Agama. Ustazah Naemah hanya mampu melihat gelagat anak muridnya yang bermacam ragam.

“Tapi kiter dah cakap dengan ustazah tadi yang kita nak tasmiq hari ini dulu.”

**********

Ketika sama-sama menunaikan haji. Ketika semua jemaah sudah pulang, Azmi (main reka je nama ni) masih belum pulang walaupun sudah 2 jam berlalu. Aisyah risau.

Dan akhirnya Azmi kelihatan.

"Abang ke mana? Risaunya Aisyah"

"Abang buat tawaf, dua kali.. satu untuk abang, dan satu untuk Aisyah" kata Azmi sambil tersenyum.

Aisyah terharu, biasanya tawaf setengah jam. Tapi disebabkan ramai orang, jadi sejam. Dan Azmi sanggup buat untuk Aisyah.

Azmi dan Aisyah selalu berlumba untuk beribadah..

"Abang buat solat sunat tasbih lagi banyak daripada Aisyah.."

"Isk, Aisyah tak boleh sembahyang boleh lah abang potong.."

Dan Azmi hanya ketawa apabila melihat sikap Aisyah yang suka merajuk.
Aisyah tersenyum.

“Lepas ini Aisyah nak buat ibadah banyak-banyak. Aisyah nak jadi macam abang. Aisyah nak masuk syurga sama-sama. Aisyah nak jadi ketua bidadari untuk abang di syurga nanti..."


Tettt..!!! apa yang saya mengarutkan ini. Terlebih sudah…hihi. Sebenarnya saya rindukan sikap saya yang dulu kerana suka berlumba-lumba dalam mempelajari agama dan melakukan ibadah. Tapi, saya merasakan sikap itu sudah hilang.

Dari hati yang mendambakan penuh harapan dalam tangisan penuh dengan kerinduan~

Sekian.

Saturday, July 16, 2011

HARAPAN



Assalamualaikum wbt.

Bayangkan sepotong kek coklat yang cair. Sungguh likat coklatnya. Mengiurkan bukan? Tapi saya suka cheese cake. Hehe

Bayangkan ketika anda berada di bawah terikan sang mentari. Tekak pula terasa kering kontang. Tiba-tiba anda terlihat seorang pak cik menjual aiskrim. Lantas anda membeli aiskrim berperisa vanilla campur dengan aiskrim perisa coklat. (Terpulang pada citarasa anda). Tatkala anda menjilat aiskrim yang hampir cair meleleh sudah pasti membuatkan perut anda menyanyi lagu “Hakikat Bahagia” UNIC..haha.

Betapa nikmatnya hidup ini jika kita mendapatkannya.

Subhanallah, inilah nikmat.

Dan kelazatannya pasti terasa hingga ke hujung pericardium (kepada student medic kalau saya salah betulkan ye).

Namun, ada satu kemanisan yang lebih manis. Kerana rasanya tidak terdapat pada lidah. Tetapi pada hati dan diri.

Mesti kamu pernah rasa kan? (Saya amat rindu pada kemanisannya)

“Kemanisan dalam ibadah”

Rasa lazat yang tidak terhingga dalam diri. Bila membaca Al-Quran, terasa sweet. Ingin dibaca lagi. Apabila mendengarnya, seolah-olah tidak mahu berhenti. Telinga seakan sudah hanyut dengan alunan merdunya, sehingga membuatkan kita terlena.

Bila solat, sama juga. Seakan mahu solat setiap masa.

Rasa seronok yang amat sangat. Hingga terkadang, tertanya kepada diri sendiri. Rasa apakah ini? Seronoknya.

Tetapi…sudah lama saya merasakan kehilangan nikmat tersebut. Saya rindu pada kelazatannya. Ya Allah, campakanlah perasaaan itu semula dalam hatiku. Aku benar-benar rindu padanya.

Bagaimana aku perlu mendapatkannya?

Ya Ramadhan, harapanku terletak padamu. Semoga aku dapat meraih cintaNya.

Thursday, July 14, 2011

SELAMILAH PERASAAN



Dalam sebuah komuter, ada seorang lelaki masuk bersama 2 orang anaknya. Bila lelaki tu masuk ke dalam komuter tersebut, dia hanyut ke dalam perasaan dan dunianya sendiri. Sehingga tak perasan akan apa yang dilakukan oleh 2 orang anaknya.

Dalam masa yang sama, si adik dan si abang yang kecil berlari sana-sini di dalam gerabak komuter tersebut. Berlari siapa sampai tiang dulu, kemudian menjerit kesukaan, yang kalah menangis merengek. Orang yang sedang membaca suratkhabar dan majalah, ditepuknya suratkhabar tersebut.

Suasana dalam komuter yang sebelumnya tenang, menjadi hingar dan amat bising.

Sedangkan si ayah masih tenang, hanyut dalam perasaannya.

Masing-masing dalam komuter sudah tidak selesa, malah terasa marah. Tambah-tambah bila melihat si ayah masih tenang seakan tidak menyedari.

Kemudian datang seorang lelaki, mendekati si ayah. Perlahan, mengusap peha si ayah. Dengan selembut mungkin, si lelaki menegur,

"Encik, anak encik agak menganggu kami.."

Si ayah tersentak. Dia melihat anak-anaknya, mukanya nampak berubah tiba-tiba. Dia ingin bangun.. Sebentar, dia duduk kembali sambil meraup muka dengan tangan.

Di kelopak matanya, ternampak air mata bergenang. Terdengar suaranya beresak tangis.

Lelaki yang menegur rasa pelik dan serba salah,

"Ya encik? Ada apa yang saya boleh bantu?"

Si ayah bercerita,

"Isteri saya, ibu kepada 2 orang anak kecil ini selalu mengadu sakit kepala, dan apabila kami ke hospital, dapat tahu bahawa dia menghidap ketumbuhan di otak..

Doktor menahan dia di hospital, dan dalam masa yang sama tak membenarkan anak-anaknya untuk pergi ke hospital berjumpa ibunya.."

Si ayah menyambung,

"2 orang si kecil ni menjadi murung, tak mahu makan..

Sehingga Doktor membenarkan semalam, untuk mereka berjumpa ibunya hari ini..

Hari ini mereka bertukar menjadi sangat gembira, pagi tadi.. ketika saya nak mengunci pintu, mereka menarik baju,

"Ayah, cepatlah.. Tak sabar nak jumpa ummi ni.."

Tak sabar nak jumpa ibu mereka.

Dan tadi, saya baru sahaja dapat panggilan,

"Encik, encik kena cepat hadir, maafkan saya, isteri encik telah meninggal dunia.."

Si ayah menangis,

"Sekarang saya tak tahu, bagaimana untuk saya khabarkan kepada mereka bahawa ummi mereka sudah tiada.."

Perasaan lelaki yang menegur tadi, dari marah nak menyampah, terus menjadi kasihan yang amat.

Dan si kecil 2 orang tadi terus bermain riang gembira.

Pengajaran: Selamilah perasaan seseorang, kerana kita tak tahu apa yang berlaku~

Tuesday, July 12, 2011

BABY WALKER

Assalamualaikum.

Sejak saya mula bekerja, saya berasa amat bertuah sekali kerana saya mendapat kawan-kawan baru dari kalangan mereka yang sudah bergelar ibu. Banyak juga yang saya pelajari daripada mereka terutama sekali bab kesihatan wanita, kandungan dan perkembangan kanak-kanak.

“Aisyah, lebih baik belajar dan ambil tahu sebelum kahwin. Kalau masa mengandung baru nak baca dan belajar itu dan ini nanti kalut. Tekanan alah itu dan ini. Ditambah lagi dengan tekanan kerja/belajar. Susah nanti.”

Saya mengangguk-anggukkan kepala. Untung juga berkawan dengan orang yang sudah berkeluarga dan mempunyai anak-anak ini. Boleh belajar serba sedikit biarpun sebenarnya saya berasa sangat malu sekiranya tajuk-tajuk seperti itu menjadi perbualan. Adakalanya perasaan saya berubah menjadi takut dan ngeri disaat mereka menceritakan pengalaman sewaktu melahirkan anak. Ah, seramnya! Semua wanita akan mengalaminya.

Baru-baru ini beberapa orang staf pejabat menanyakan pendapat tentang penggunaan ‘baby walker’. Setahu saya, memang tidak digalakkan pun guna baby walker . Sewaktu saya kecil pun ummi tidak pernah bagi saya naik ‘babywalker’. Ini kerana dapat membantutkan perkembangan minda dan kekuatan otot bayi. Perkembangan bayi ini ada tahap-tahap tertentu. Sebagai ibu bapa tidak seharusnya ‘skip’ perkembangan bayi mereka kononnya supaya bayi tersebut dapat berjalan lebih awal. Sebaliknya, bayi patut belajar meniarap, merangkak dan bertatih dengan terlebih dahulu.

Saya juga pernah menonton dokumentari berkaitan perkembangan fizikal bayi dari setiap negara yang berbeza. Ternyata bayi yang belajar berjalan sendiri tanpa baby walker lebih kuat ototnya dan mampu berlari dengan pantas, malah mereka merupakan kanak-kanak yang cergas. Ini fakta dan bukan auta~(^^)~

Jadi, jom lengkapkan persediaan dan diri sebelum menjadi ibu. Sebenarnya banyak yang saya ingin kongsikan di sini. Insyaallah di entry yang akan datang. Nak siapkan kerja-kerja pejabat dulu~

Sekian

~Ummi, saya dah pandai berjalan~
(Semoga dikurniakan anak-anak yang soleh dan solehah)

Monday, July 4, 2011

HALAL HARAM DI MALAYSIA

Umat Islam di negara kita pernah dikejutkan dengan pendedahan yang dibuat oleh pihak berkuasa berkenaan dengan penggunaan usus babi dalam penghasilan makanan. Berita ini telah mengundang seribu satu macam persoalan di benak umat Islam yang prihatin tentang soal halal haram. Mungkinkah terdapat puluhan malahan ratusan lagi produk makanan haram yang dibalut dengan logo halal di pasaran?

Makanan yang haram dibalut dengan logo halal untuk mengelabui mata umat Islam agar membeli produk berkenaan. Kadangkala yang haram dikatakan lebih sedap dan lebih lazat.

Sesetengah orang pula berkata, “Halal haram belakang kira, yang penting rasanya sedap, perut kenyang hati pun senang.”

Makanan yang haram menyebabkan hati menjadi buta. Apabila hati manusia buta dengan sebab makanan yang haram, maka mereka tidak lagi dapat mengenal Allah swt dan cahaya kebenaran. Mereka menjadi generasi yang buta ISLAM, mereka bukan sahaja tidak memahami dan menghayati Islam dalam kehidupan mereka, malah ada kalanya mereka menjadi penentang Islam

Jika makanan yang haram ini terus dijamah , maka hati mereka akan menjadi keras, lebih keras daripada batu. Batu yang keras pun boleh hancur di kilang kuari. Hati yang sudah keras tidak lagi mahu menerima pengajaran dan mudah melenting apabila ditegur. Mereka terus mengikut kehendak hati mereka yang buta sehingga akhirnya terperangkap dalam maksiat, mungkar, jenayah dan keruntuhan akhlak.

Sekian

Inilah contoh yang jelas sekali!!!!

Sunday, July 3, 2011

TREND WANITA

Another entry for today. Maklumlah masih lagi bercuti. Minggu lepas saya pulang ke kampung di Parit, Perak. Sebelum pulang, saya shopping terlebih dahulu dan membeli buah tangan buat ummi dan adik-adik di rumah. Maklumlah gaji pertama yang tidak seberapa sangat. Tapi bolehlah kalau nak belanja sikit-sikit.

Dalam dunia ini, semua orang mahukan kecantikan dan kelihatan cantik. Yang perempuan terutama sekali cikgu atau bakal cikgu, mahukan wajah yang putih bersih, bentuk badan yang menarik, pakaian yang canggih lagi cantik, tudung yang bermanik-manik agar nampak cantik di mata manusia. Pada hal nak pergi sekolah je kot!


Saya pun hampir berjangkit dengan trend sedemikian biarpun hanya ke pejabat atau ke kuliah. Trend? Trend yang macam mana tu Cik Aisyah?

Dalam sebulan itu, mesti nak beli baju atau tempah baju sama ada jubah atau baju kurung. At least satu pun kira ok lah tu. Kalau tengok dalam almari tu memang stok untuk beberapa bulan. Pernah tak dengar kawan-kawan kita masa sekolah dulu bercakap mengenai baju cikgu?

“ Tengok Cikgu si fulan si fulan tu, aku tak pernah pun tengok cikgu tu pakai baju yang sama setiap hari. Hari-hari baju yang berbeza. “

Gamaknya cikgu tu dah mula kumpul baju sejak zaman universiti lagi atau mungkin sebulan tu dia tempah baju 5 atau 6 pasang kot.

Senior-senior yang sedang berpraktikum ada juga menasihati saya supaya kena tempah baju sikit-sikit dulu. Menurut mereka, pelajar zaman sekarang ini suka sangat perhatikan baju yang dipakai oleh cikgu setiap hari.

“ Eh,eh bukan ke cikgu pernah pakai baju ini minggu lepas?”

Tak kiralah baju tu pernah pakai pada minggu lepas ke, bulan lepas ke, tahun lepas ke, pelajar-pelajar mesti akan tanya. Aduiiii..!! Pejabat tempat saya bekerja pun lebih kurang sama je.

Jika saya bercerita tentang fiil saya atau angan-angan saya untuk memiliki kereta idaman, rumah idaman dan sebagainya, ummi saya akan menyampuk:

"Entahlah.. Ummi tak pernah terfikir pun nak semua tu. Ummi sebenarnya takut. Nanti kat akhirat, setiap benda yang kita miliki Allah akan tanya. Contohnya, Aisyah beli baju banyak2 tu buat apa? Dari mana sumbernya? Bawa pergi ke mana? Kalau pergi kerja dan kuliah, tak pelah.. Lagi banyak baju, lagi banyak kena tanya. Ummi kalau boleh nak guna semua baju2 tu buat pergi mengajar dan ngaji je."

Saya tertunduk. Terkedu. Seperti terkena tepat pada batang hidung saya. Apabila muhasabah kembali, sepertinya saya cintakan dunia melebihi cinta saya pada akhirat. Tiada langsung sifat zuhud dan qanaah. Astagfirullah al azim.. Ah, takutnya!

Itu baru cerita bab baju. Belum sentuh lagi tentang catalog-catalog, beg tangan, kasut, aksesori wanita seperti gelang, rantai dan cincin. Duduk bersama dengan ummi, kami bukan bersembang kosong. Semuanya berisi. Setiap patah yang ummi saya ucapkan, membuatkan saya banyak berfikir dan bermuhasabah. Banyak betulnya. Terasa diri saya tersangatlah naif. Malangnya bakal suami saya sekiranya saya berterusan sebegini. Huhu.

Sekian

Saturday, July 2, 2011

PEMIMPIN

Perubahan masa terasa begitu cepat. Roda masa berputar dengan ligat. Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Bulan berganti bulan. Tahun berganti tahun. Daripada seorang bayi yang kecil kini dia telah berubah menjadi remaja yang lincah. Daripada seorang anak muda kini dia sudah bergelar warga tua. Daripada rambut yang hitam kini kepalanya sudah dipenuhi uban. Daripada seorang yang gagah kini tubuhnya semakin lemah.

Sedar tak sedar hari ini sudah masuk 1 Syaaban. Allahurabbi. Bagaimana persediaan kita menyambut Ramadhan?

Alhamdulillah, semalam saya berkesempatan menonton rancangan Imam Muda. Maklumlah rumah saya tiada ASTRO, jadi tengok kat Youtube lah.

Saya amat tertarik dengan hujahan yang diberikan oleh Imam Muda Hassan dan Imam Muda Nazrul apabila tokoh Ulama’ Malaysia Ustaz Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady meminta mereka berdua menghuraikan maksud hadis yang berkaitan ‘PEMIMPIN’


Siapakah yang layak dipanggil sebagai pemimpin? Apakah ciri pemimpin sejati yang menjadi pilihan hati?

Pemimpin selalunya dirujuk kepada orang yang dipilih atau dilantik menjadi ketua oleh masyarakatnya.

Rasulullah SAW bersabda,

"Ketahuilah, setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu bertanggungjawab terhadap apa yang dipimpinnya."

Sayidina Umar r.a berkata,

"Fahamilah agama dengan sebaiknya sebelum kamu dilantik sebagai pemimpin."

Menurut pandangan Islam, kepimpinan dan pemerintahan dibentuk dengan tujuan untuk memelihara agama dan mengurus dunia berpandukan ajaran Islam.

Kepimpinan bukanlah satu kemuliaan dan bukan pula satu kebanggaan.

Kepimpinan adalah amanah Allah SWT yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kepimpinan bukanlah laluan untuk mengumpulkan kekayaan. Sebaliknya kepimpinan adalah jalan untuk berkhidmat kepada rakyat. Oleh yang demikian, pilihlah pemimpin yang bertaqwa kepada Allah SWT dan mempunyai kelayakan untuk memimpin. Pemilihan pemimpin mestilah berasaskan kefahaman dan pertimbangan, bukan bertolak dari perasaan taksub kepada individu dan kumpulan.

Ingatlah, kita akan ditanya di akhirat kelak dan kita bertanggungjawab atas pilihan kita. Dengan mengucapkan lafaz bismillah, buatlah pilihan yang terbaik dan bertanggungjawab.

Sekian.

BERSIH

Assalamualaikum wbt.

BERSIH. Isu yang telah diperkatakan secara meluas sama ada di dalam akbar, radio, televisyan mahupun laman-laman sosial tanpa selindung-selindung. Menteri pun dah beri komen, maka isu ini dah jadi nasional. Apabila dah jadi isu nasional semua orang berhak bercakap tentangnya. Maka, tak terkecualilah saya. Janganlah marah.

Seperti minggu-minggu sebelum ini, saya memang memperuntukkan hari Sabtu saya untuk memBERSIHKAN segala-galanya. Maklumlah hari Isnin hingga Jumaat sibuk sangat sampai tak sempat. Hari Ahad memang saya nak berehat dan membaca. Well, ‘Wanita dan Kerjaya’ lah katakan…hehe.

Sapu dan mop lantai sampai BERSIH

Basuh dan cuci baju sampai BERSIH

Kemas dan cuci pingan sampai BERSIH

Cuci dan buang habuk kipas sampai BERSIH

Cuci tandas sampai BERSIH

Akhirnya rumah saya kelihatan BERSIH

Sabtu minggu depan BERSIH 2.0

Sekian.

BERSIH! BERSIH! BERSIH

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails