Saturday, April 30, 2011

SHOPPING BUKU LAGI

Assalamualaikum wbt.

Usai sahaja Aisyah update blog (entri GANJARAN) tengahari tadi, tiba-tiba roommate (Fatin) mengajak Aisyah pergi ke Pesta Buku Antarabangsa sekali lagi. Lagipun jarak antara Tanjong Malim dengan Kuala Lumpur bukannya jauh sangat, harga tiket bas pun baru RM 7 je. Kak Jah pun ikut sekali (ahli bait Aisyah).


Bersama roomate tercinta, Fatin di hadapan PWTC


Ahli bait Aisyah 3-5-12 a.k.a Rumah Kayangan JMK. Fatin dan Kak Jah

Aisyah juga dimaklumkan bahawa novelis Indonesia terkenal Habiburrahman El Shirazy akan datang ke PWTC pada petang tersebut. Kebetulan Aisyah juga ingin membeli beberapa buah buku lagi. Kami bertolak selepas solat Zohor dan makan tengahari bersama. Kami tiba di PWTC kira-kira jam 4 petang. Memang sesak sangat (maklum sahaja hari Sabtu). Ramai pelajar sekolah dan ibu bapa yang membawa anak-anak mereka untuk membeli buku latihan dan rujukan UPSR, PMR dan SPM di Pesta Buku tersebut.

Setibanya di booth buku Al-Hidayah (menjual novel-novel Habiburrahman), hasrat ingin bertemu dengan novelis tersebut, malangnya beliau baru sahaja pulang (huhu…Aisyah tiba sejam lewat).

Puas juga kami bertiga membeli buku dan berjalan-jalan di sekitar booth jualan yang terletak di PWTC. Tidak sangka juga Aisyah dapat bertemu rakan-rakan lama yang belajar di UPM, UKM, UM, UIA di Pesta Buku tadi. Kepada teman-teman yang masih lagi belum berkunjung ke Pesta Buku lagi, jangan lepaskan peluang kerana esok adalah hari terakhir.

Sekian

Antara novel dan buku masakan yang dibeli~

Friday, April 29, 2011

GANJARAN

Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah final exam bagi semester 4 sudah selesai ( 1 jam yang lepas). Betapa girangnya hati ini setelah hampir 2 minggu tertekan dengan exam fever. Seperti biasa, Aisyah mesti akan beri ganjaran pada diri sendiri. Ganjaran..??? (nak bagi hadiah untuk diri sendiri ke?) Bukan begitu, ada sesetengah individu suka jalan-jalan, tengok movie, melancong, online facebook berjam-jam, main bowling setelah berakhirnya peperiksaan final.

Ganjaran yang Aisyah hendak beri pada diri adalah untuk menghabiskan masa dengan membaca buku-buku yang baru dibeli pada hari Khamis lepas di Pesta Buku Antarabangsa di PWTC. Itulah pertama kali Aisyah pergi ke Pesta Buku Antarabangsa ( Jumaat esoknya ada exam paper elektrik & elektronik, sengaja cari pasal time exam…hehe). Seronok sangat melihat lambakan jualan buku-buku yang begitu murah sekali. Ada offer price untuk student (nasib baik bawa kad pelajar).

Berpeluang berjumpa dengan beberapa orang penulis buku terkemuka di Malaysia. Novelis Indonesia Habiburrahman El Shirazy akan datang Ahad ini (ingat nak pergi sekali lagi).

Pertama kali berkunjung di Pesta Buku Antarabangsa PWTC

Antara buku-buku yang dibeli bagi mengisi masa cuti semester

Buat teman-teman yang bakal pulang ke kampung pada hari ini, Aisyah ucapkan selamat bercuti. Manfaatkan masa cuti anda ye. Tidak lupa juga buat rakan-rakan yang bakal mendirikan rumah tangga musim cuti semester ini, Selamat Pengantin Baru.

Sekian.

Monday, April 25, 2011

THEORY OF STATISTIC AND PROBABILITY & NUMERICAL METHODS



Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah. Lega sedikit kepala ini kerana paper Numerical Methods dan Theory of Statistic and Probability sudah selesai(major in mathematic). Killer subject. Entah betul atau tidak jawapan yang Aisyah kira itu. Risau juga sekiranya ada kecuaian sewaktu buat langkah pengiraan ( berhati-hati sangat sampai -2-2 pun guna kalkulator…huhu).

Kini cuma tinggal subjek minor, EDU dan pengayaan diri. Last paper habis pada 30 April iaitu Pengurusan Pembelajaran. Doakan semoga Aisyah dapat menjawab exam final dengan baik ye~

Sekian.

Thursday, April 14, 2011

SELAMAT TINGGAL BIRO KEDIAMAN

Assalamualaikum wbt

Sebelum peperiksaan final bermula, saya meluangkan sedikit masa bersama anak buah atau rakan exco (rexco) dengan mengadakan perjumpaan terakhir sebelum saya bergelar mantan exco biro kediaman. Sedikit jamuan yang ringkas pada pertemuan tersebut. ( terima kasih kepada semua rexco kerana sudi membantu saya memasak. Menajamkan skill di dapur..hehe).Semester depan saya bukan lagi sebahagian daripada JMK. Ramai juga yang tertanya-tanya mengapa saya tidak menyambung perkhidmatan JMK pada sidang hadapan. Hmm…biarlah saya memberi peluang kepada muka-muka baru. Tambahan pula saya telah dilamar untuk menjadi sebagai tenaga pengajar bagi subjek matematik, saya perlu memberi komitmen kepada pelajar saya. (belajar sambil mengajar). Saya juga berhasrat untuk mengambil short sem (orang lain tengah cuti semester, kita pula pergi kuliah)

Terlalu banyak kenangan yang tidak dapat saya lupakan sepanjang bersama kalian. Ribuan terima kasih kepada Izzaidah, Suriati, Fatimah, Izzah, Shafina, Tharwati, Syafiqah, Shuhaida, Afiqah, Syamimi, Hasnor, Amirah, Liza, Salina, Fariha, Asilah, Athirah dan Fariza atas sokongan kalian. Tidak lupa juga buat Amin, Saufi, Kuntum, Ali, Wak, Shamsul, Salman yang banyak membantu Kak Aisyah. Tiba-tiba rasa sebak pula untuk meninggalkan kalian. Apa-apa pun kalian tetap ‘best’.

Hati saya bertambah tersentuh membaca blog salah seorang rexco iaitu Amin sambil-sambil blogwalking http://sglaygbenar.blogspot.com/2011/04/special-entryjust-for-kak-aisyah.html . Buat Amin, Kak Aisyah akan sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar. Amin tetap rexco terbaik kami.

Tahniah kepada Izzaidah, Suriati, Saufi, Ali dan Kuntum. Kak Aisyah cukup bangga dengan kalian kerana biro kita merupakan rexco yang paling ramai naik jadi JMK pada sidang hadapan. Memang terbaek biro kita. Tup-tup terus jadi majlis tertinggi. Cayalah. Ada pula yang dapat pegang portfolio biro lain. Ini bermakna produk yang lahir dari biro kediaman memang mantap. (tengok lah siapa exco dia…ecece, hehe).

Sebelum Kak Aisyah meletakkan jawatan secara rasmi,( tak sure bila tarikhnya) Kak Aisyah ingin memohon ribuan ampun dan maaf sepanjang kalian bekerja dengan akak. Manalah tahu kalau ada terkasar bahasa ke, kuat membebel ke, cerewet ke, apa ke. Kosong-kosong ye. (hehe).

Satu lagi, terima kasih kerana memahami bagaimana cara Kak Aisyah berkerja. (kerja kerja juga, tapi yang paling penting mesti kena ceria dan gembira…haha). Rasanya tak ada apa yang Kak Aisyah nak tulis lagi kerana akak dah banyak cakap sewaktu perjumpaan terakhir biro kita semalam. (waaa….!!!). Insyaallah, Kak Aisyah pasti jemput kalian ke majlis perkahwinan akak nanti. Doakan semoga Kak Aisyah cepat bertemu jodoh ye. ( sibuk sangat )

Sunday, April 10, 2011

MENGEMIS KASIH

Tuhan dulu pernah aku menagih simpati
Kepada manusia yang alpa jua buta
Lalu terheretlah aku dilorong gelisah
Luka hati yang berdarah kini jadi parah

Semalam sudah sampai kepenghujungnya
Kisah seribu duka ku harap sudah berlalu
Tak ingin lagi kuulangi kembali
Gerak dosa yang menghiris hati

Tuhan dosa itu menggunung
Tapi rahmat-Mu melangit luas
Harga selautan syukurku
Hanyalah setitis nikmat-Mu di bumi

Tuhan walau taubat sering kumungkir
Namun pengampunan-Mu tak pernah bertepi
Bila selangkah kurapat pada-Mu
Seribu langkah Kau rapat padaku


Syahdu menerpa tatkala Nazrey Johani (bekas vokalis kumpulan Raihan) membuat persembahan malam penutupan pada Majlis Tilawah Al-Quran semalam. Aisyah mudah tertarik dengan lirik-lirik nasyid yang betul-betul meluahkan rasa hati dan muhasabah diri. Suasana hujan yang mulanya butir-butiran peluru bertukar menjadi renyai-renyai halus seolah-olah turut mengiringi dan menangisi dosa-dosa yang pernah dilakukan selama ini. Air mata mengalir. Adakah air mata ini tanda kesedihan atas dosa-dosa yang pernah dilakukan? Adakah lirik lagu tersebut berjaya menjentik hati ini? Ataupun ini adalah program terakhir bersama sahabat-sahabat JMK dan Rexco sebelum menamatkan sidang kali ini? Suasana malam dipenuhi dengan kesyahduan yang teramat sangat. Memaksa diri untuk mengukir sekuntum senyuman indah di wajah. Menyembunyikan kesedihan yang melanda.

Kenangan dalam diam membawa ketenangan. Semoga program ini menjadi satu pengalaman. Pengalaman adalah guru yang paling terbaik dalam hidup. Sebelum itu, Aisyah ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan tahniah kepada semua AJK yang terlibat dalam menjayakan Majlis Tilawah Al- Quran dan sekali gus kita (sebagai tuan rumah) adalah pemenang keseluruhan pada kali ini. Semoga momentum ini dapat diteruskan pada masa hadapan. Sekian.

Autograf bersama Nazrey Johani


Pentas utama yang dihias oleh kami. Suka sangat tema warna hijau ini.


Persiapan sebelum majlis bermula


Selaku penyelaras hadiah dan cenderahati + penyelaras penginapan artis nasyid dan juri. ( 2 in 1)

Saturday, April 9, 2011

EXAM FEVER


‘Exam oh exam’. Kenapa mesti wujudnya ‘exam’? Apakah rasionalnya ‘exam’? Dunia ini memerlukan ‘exam’ kah? Kenapa para akademik begitu taksub dengan istilah puaka ini sehingga terasa tersiksa pelajar-pelajar dibuatnya. Kasihan mereka. Terpaksa mengharungi musim ‘exam’ seolah-olah mengharungi musim satu wabak penyakit. Ia datang dan pergi membawa segala macam jenis sindrom. Bagi mereka yang tidak tahan, lemah imun psikologinya, sindrom ‘stress’ dan kemurungan akan menghinggap seolah-olah taun yang merencam sistem pencernaan.

Malangnya, wabak ini wabak bermusim.Selagi berstatus sebagai seorang pelajar jangan harap ingin lari daripadanya. Kitaran ‘exam’ sentiasa berulang. ‘Exam’ datang dan pergi tetapi perginya pasti kembali.(macam lirik lagu raya pula…hihi)

Teringat zaman sekolah dulu, ummi seorang ibu yang mementingkan pendidikan akademik terhadap anak-anaknya. Ummi sentiasa memastikan kami adik-beradik makan makanan yang berkhasiat. Junkfood, asam jeruk, dan minuman berkabonat dilarang sama sekali (pernah juga curi-curi makan..hehe). Oleh kerana itu, ummi tidak pernah beri duit belanja lebih daripada RM 1. Cukup-cukup sahaja, supaya kami tidak beli makanan ringan terutama pulang dari sekolah. Kalau bawa bekal ke sekolah, ummi tidak beri duit belanja. Yang paling penting air masak wajib bawa ( sampai sekarang still bawa botol air ke kuliah~). P/s: Ummi tidak akan sesekali membenarkan kami minum air yang telah dimasuki semut.

Memandangkan beza umur antara kami adik-beradik cuma setahun-setahun bermula dari saya (puteri sulung) hingga adik Aqilah (anak kelima) manakala jarak usia adik bongsu dengan adik yang ke-5 adalah 4 tahun. Setiap kali musim exam, ummi lah yang paling risau. Mana tidaknya, setiap tahun anak-anaknya berturut-turut dan berderet-deret yang akan mengambil peperiksaan besar, UPSR, PMR, SPM, peperiksaan semester university (exam sem pun termasuk juga ke..??). Ummi sentiasa memastikan kami makan makanan tambahan untuk kecerdasan minda dan daya pemikiran seperti kismis, produk-produk IQ, vitamin dan yang seumpama dengannya. Sampai sekarang pun, ummi masih mengingati kami agar tidak lupa untuk makan makanan tambahan tersebut. Setidak-tidaknya makan kismis (“Ummi, stok kismis Kak Cho dah nak habis…”).

Ummi sangat menitik beratkan disiplin kami. Selepas solat Subuh, tidak boleh tidur semula.Ummi dan Abi akan paksa kami untuk baca buku dan siapkan kerja sekolah. No television. No computer game. Cuci kasut sekolah. Ummi juga selalu check beg dan buku sekolah kami. Kalau dapat markah paper exam ke, ujian ke, memang tidak boleh sorok. (ummi sediakan fail soalan peperiksaan setiap seorang sebagai revision). Soalan peperiksaan, buku dan nota (especially anak sulung) akan past kepada adik-adik berikutnya. Tradisi. Pernah juga kantoi sebab pernah gagal ujian subjek matematik (time form 2). Sepanjang hari saya menangis dalam kelas dan di rumah kerana tidak boleh terima hakikat (menghampakan perasaan seorang guru). Ummi akan soal seperti polis supaya saya buka mulut untuk cerita perkara sebenar. Bila ummi dapat tahu bahawa saya gagal subjek Matematik, sejak itu ummi akan paksa saya buat latihan matematik banyak-banyak dan beli buku rujukan tambahan. Ummi juga selalu teman saya dan adik-adik sampai malam sehingga kami siapkan kerja sekolah. Setiap pagi ummi pasti akan bacakan doa dan beberapa surah pada umbun-umbun kepala kami sebelum kami pergi ke sekolah.

Sepanjang saya membesar, banyak perkara yang saya belajar dari ummi. Tingkah lakunya. Pemikirannya. Keyakinannya. Kesabarannya. Ketabahannya. Kini perlahan-lahan meresap dalam jiwa. Ringkasnya, dalam diri saya, jika tidak banyak pun, pasti ada sedikit tentang dirinya. Yang paling membanggakan adalah ramai kata bahawa muka saya memang seiras dengan ummi berbanding adik-adik yang lain. ( Adibah, Ahmad, Yusri, Aqilah, Zuhdi jangan jeles dengan Kak Cho ye..hehe)

Susah untuk saya berenggang dengannya (sebab tu asyik dapat tempat belajar kat dalam Perak je..hehe). Saya suka dengar suaranya. Saya suka bersama-sama dengannya.

Pernah saya bertanya tidakkah ummi rindu Aisyah tika berjauhan (belajar kat Tanjong Malim je kot bukannya jauh mana pun dengan Parit). Ummi tersenyum. Entahlah katanya. Mungkin sebab saya kerap menghubunginya dan selalu balik kampung, maka ummi tidak pernah rasa saya jauh darinya. Malahan sentiasa rasa dekat.

Saya bangga punyai ummi dalam hidup. Dan saya sentiasa berdoa, semoga rahmat Allah sentiasa bersamanya.

Setiap hari saya mahu dekat dengannya. Ke mana saja ummi pergi, saya mahu ikut bersama(pergi kedai kat pekan pun nak ikut juga). Setiap malam kami duduk bersama. Bercerita dan bercerita. Dan seperti biasa, ummi lebih banyak mendengar. Saya yang banyak berbicara. Yang pastinya, ummi faham bahawa anak perempuan sulungnya ini suka cakap laju. 170 km/j (hihi). Ummi tidak suka bercakap-cakap kosong.Percakapannya penuh dengan senyum dan tawa kecil.




"Wahai Allah, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah menyayangiku sedari aku kecil"

Tuesday, April 5, 2011

DULU GURU KINI TEMAN RAPAT

Bersama Ustazah Naemah


Assalamualaikum wbt



‘ Syah, ustazah dah sampai kat UPSI. Sekarang ustazah ada taklimat kat bangunan E-Learning, kemudian ada perjumpaan kat Pusat Islam. Tengah hari nanti kita jumpa ye. Ustazah rindu kat Aisyah.’



Betapa terujanya Aisyah bila dapat mesej tersebut. Mana tidaknya, hampir 2 tahun tidak jumpa setelah Aisyah tamat pengajian di Matrikulasi Perak. Pernah lost contact juga (lebih kurang 7 bulan, gara-gara handset rosak. Semua nombor hilang…huhu)



Dulunya hubungan kami sekadar guru dan pelajar. Tetapi kini berubah menjadi kawan rapat. Segala masalah Aisyah lebih suka berkongsi dan bercerita dengannya. Insan yang Aisyah maksudkan adalah Ustazah Naemah. Hampir 8 tahun. Satu tempoh masa yang agak lama. Bermula seawal usia Aisyah berada di alam sekolah menengah sehinggalah berada di universiti (kini)



Ustazah Naemah pernah mengajar Aisyah subjek Pendidikan Islam (tingkatan satu) dan Kelas Kemahiran Quran KKQ (tingkatan satu hingga tingkatan tiga). Tingkatan 4 & 5 Aisyah bertukar ke MRSM Pasir Salak. Alhamdulillah, Allah ketemukan kami semula di Matrikulasi Perak (ustazah jadi pensyarah Pendidikan Islam). Dengan izin Allah, tahun ini kami dapat berjumpa semula (sebelum ini kami selalu bermesej je).



“Dah semakin tinggi ustazah tengok Aisyah sekarang ini. Dulu kecil-kecil je. Tak sangka dah besar-besar anak murid ustazah sekarang.” kata ustazah (sangat suka bila orang kata saya semakin tinggi...hehe.. p/s: syaza, jgn jeles ye)



Teringat zaman di matrikulasi dulu, ramai kawan-kawan sangka Aisyah adik kepada ustazah sebab (muka kami ada iras-iras sikit..hehe). Setiap malam Aisyah akan bermalam di rumah ustazah (jarang tidur kat asrama. Buat assignment dan tutorial pun kat rumah ustazah. Baru disiplin sikit..hehe), kalau pergi kuliah ustazah yang tolong hantarkan. Setiap pagi mesti kami pergi cafeteria untuk sarapan bersama-sama. Hujung minggu pula ustazah mesti ajak Aisyah untuk temankan dia jalan-jalan (selalunya pergi kedai buku dan butik pakaian). Ustazah suka belanja Aisyah makan tomyam dan sate kat medan Gopeng (sebab itu pipi semakin naik time kat matrik).



Dalam tempoh satu tahun di matrikulasi, ustazah banyak membantu Aisyah dalam semua perkara terutama dalam bab-bab agama. Ustazah pernah beritahu bahawa ustazah sangat suka batch kelas Agama(03-05) kami. Ustazah kata kelas kami memang sentiasa meriah, suka menyakat, suka ketawa dan kelas yang paling hyperaktif. Mengimbau kisah-kisah lucu Ain yang selalu disakat oleh Falihin, Hanafi Zulhelmi, Hamdan, Aqeef, Rahman dan Hafis Badu. Ilya pula suka baling botol dalam kelas, Zaharah dan Siti suka menyanyi, Wani ketua kelas yang paling garang, Syaza yang suka tidur, Diyana suka berbedak setiap kali masuk tandas, Hanafi Adnan dan Hairiezal pelajar skema, Aqila dan Kaiyisah pendiam orangnya. Bermacam-macam ragam dan kenangan.



Biarpun pertemuan yang singkat tadi, sempat ustazah berpesan kepada Aisyah terutama tanggungjawab sebagai daie di dalam kampus. Bukan mudah untuk memikul dan menggalas tugas tersebut. Ustazah berharap agar Aisyah dapat dipostingkan di Matrik Perak (doa seorang guru).



Sekian.




Friday, April 1, 2011

Assalamualaikum wbt.

Minggu ini terlalu banyak rungutan yang diluahkan oleh para pelajar UPSI. Tempoh hari berkaitan isu penginapan kolej kediaman kerana ramai pelajar yang tidak dapat penempatan kolej pada semester hadapan. Semalam, isu slip peperiksaan yang tidak meletakkan perkataan ‘Pendidikan’ pada slip exam. Hari ini pula semua pelajar Fakulti Sains dan Matematik dikejutkan dengan isu lebihan guru bagi subjek Sains dan Matematik yang adakalanya melemahkan semangat kami untuk terus berada di landasan ini. Pelbagai keluhan yang Aisyah dengar daripada rakan-rakan seangkatan. Mungkin sesetengah menganggap ia merupakan isu yang wajar diperjuangkan kepada pihak atasan. (sangat setuju, tapi selalunya jawapan yang diterima agak mengecewakan. Biasalah birokrasi)

Entahlah, mungkin ada hikmah di sebalik semua ini. Bukan mudah untuk menjadi seorang pendidik. Saringan demi saringan, tapis atas tapis. Aisyah bukanlah seorang yang bijak berkata-kata dan memberikan hujah-hujah serta berdebat dalam isu ini. Sebelum itu, maaflah ye. Beberapa hari ini Aisyah tiada mood untuk post entry yang ilmiah. Menulis sekadar berkongsi apa yang dirasa.

Teringat pula kata-kata seorang teman (senior, sem 6 jurusan pendidikan bimbingan dan kaunseling). Sangat bersetuju dengan pendapatnya.

“ Akak pun tak faham dengan dorang ni. Inilah perangai bakal-bakal guru zaman kini. 4K betul…!!!” luah kakak tersebut sewaktu datang bertandang ke rumah Aisyah.

“4K…?? Stand for what kak?” soalku

“ KAMPUS, KOLEJ, KULIAH, KAFE.” balasnya sambil siap dengan gaya tangan sekali ala-ala pemidato(akak ni memang pendebat universiti dan selalu mewakili UPSI)

“ Setuju tu. Tapi kan, sebenarnya ada 5K lah kak. K yang satu lagi tu ‘KAPEL’ yang dimelayukan daripada perkataan ‘COUPLE’…hehe.” Ujarku dengan muka selamba je, entah macam mana boleh terkeluar dari mulut.

Hari Isnin yang lepas, bertalu-talu mesej yang masuk dalam inbox sehingga Aisyah tidak larat untuk membacanya.

‘Kak Aisyah, saya tak dapat stay kolej sem depan…huhu.’

‘Macam mana ni Aisyah? Susahlah kalo kena menyewa rumah kat luar.’

‘ Saya pun telah banyak mengharumkan nama KHAR tapi kenapa saya tidak layak untuk tinggal di kolej’

‘ Kak Aisyah, saya memang bergantung sepenuhnya pada duit PTPTN. Ibu bapa saya sudah uzur, mereka tidak mampu untuk menyara kos saya di sini. Bayaran sewa rumah di luar memang agak tinggi. Kasihan pada saya kak’.

Itulah antara mesej-mesej yang Aisyah terima daripada pelajar. Ramai pelajar menyangka bahawa pemilihan penempatan kolej pada semester hadapan di susun oleh Aisyah atau JMK sendiri yang memegang portfolio Biro Kediaman. (terutama, junior-junior semester 2). Sebenarnya perkara tersebut di luar bidang kuasa JMK untuk menentukan penempatan kolej. Perkara ini juga telah sedia maklum kepada semua pelajar KHAR. Aisyah juga tidak mahu memberikan jawapan yang boleh menjerat diri sendiri (bunyi agak kasar di situ). Bukan apa, sekiranya Aisyah atau mana-mana JMK mengeluarkan statement, berkemungkinan akan merumitkan lagi keadaan. Sekadar memberi jawapan “ Sila rujuk pejabat. Maaf bukan bidang kuasa kami.” (kerana perkara ini melibatkan urusan pentadbiran kolej dan universiti). Walau bagaimanapun kami tetap akan berusaha untuk membantu. Senarai nama yang latest akan dikeluarkan pada 15 April 2011 ( sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa)

Sekarang dah masuk bulan April. Pantas masa berlalu. Terima kasih kepada MPP atas usaha anda meletakkan banner-banner berkaitan ‘April Fool Bukan Budaya Kita’ di serata kampus dan kolej-kolej kediaman UPSI.

Peperiksaan semakin hampir, stress jugalah (stress sebab banyak tak study lagi). Setiap kali habis waktu kuliah, singgah library jap. Memperuntukkan masa sejam dua untuk study, setidak-tidaknya ada juga baca buku dan buat sedikit revision. Malam pula duk sibuk dengan meeting, gerak kerja dan amali KH di bengkel.

2 April 2011 – Malam Anugerah Kolej-Kolej Kediaman kali ke-7 di Hotel D’Palma, Ampang Selangor (as VIP)

3 April 2011 - Program Khidmat Siswa PDK Sungai Coh Serendah, Selangor (as penyelaras unit makanan)

4 April 2011 – Ustazah Naemah nak jumpa kerana kebetulan ada seminar di UPSI bersama pensyarah pensyarah matrikulasi Gopeng, Perak
- Malam Anugerah Inspirasi Mahasiswa (as VIP too, all the best untuk calon-calon JMK yang baru)

9-10 April 2011 – Majlis Tilawah Al-quran (as penyelaras unit cenderahati)

16-30 April 2011 – Final Exam (don’t disturb me ya….hehe)

Tak ada masa untuk diri sendiri pun sebenarnya. Akademik adalah hak bersama walaupun diuruskan sendiri. Berat sama dipikul ringan sama dijinjing, walau tak semua yang faham. Seboleh mungkin untuk difahamkan. Akademik tetap akademik yang perlu di titik beratkan. Meeting adalah tempat bermu'yasyah. Masa berpogram adalah masa bersantai. Disitulah kepuasan pada erti memberi. Disitulah tempat bergembira. Tiada kegembiraan yang lebih hebat selain kegembiraan bersama sahabat. Dan tiada kesedihan yang lebih berat, selain perpecahan.

Sungguh Allah telah menjanjikan nikmat yang hebat buat hambaNya yang berkasih sayang.

Sekian


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails