Monday, March 11, 2013

UPTA



Assalamualaikum wbt.

Duhai hati, apa khabar iman hari ini? Wujudkah Allah dalam detik hati kita saat ini? Mari kita bermuhasabah. Apa khabar  pembaca setia Aisyah Mawaddah? Syukur diberi kesempatan masa untuk mencoretkan sesuatu. Ya Allah, berkatilah setiap detik masa yang ada ini agar tidak menjadi sia-sia.

InsyaAllah, jika diizinkan Allah, lebih kurang 3 bulan lagi saya akan menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dan bakal bergraduasi pada pertengahan September nanti. Hampir 4 tahun  saya bergelar sebagai mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya gembira kerana bakal menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan dan bergelar seorang pendidik. Itulah cita-cita saya untuk menjadi seorang guru.

Dada saya semakin sesak memikirikan masa yang mendatang. Kadang-kadang saya keliru dengan perasaan saya. Bermacam-macam perkara yang bermain dalam fikiran saya. Saya merasakan bahawa masih banyak lagi kekurangan ilmu di dada. Namun, dalam masa yang sama, saya sedih untuk meninggalkan UPSI. Di sinilah tempat yang banyak mengajar saya pelbagai perkara. Bumi murobbi ini jugalah yang banyak melakar kenangan pahit dan manis saya meniti zaman remaja saya dalam mentarbiahkan diri ini untuk menjadi siapa saya sekarang. Dan yang paling indah, Allah menemukan saya dengan sahabat-sahabat yang sama fikrah, sama akidah dan  sama perjuangan. Di sini jugalah saya lebih mengenal diri saya dan matlamat hidup saya yang sebenar. Terkadang saya merasakan terlalu rugi masa-masa yang telah saya bazirkan pada semester-semester pertama di sini. Jika masa boleh berputar kembali, saya akan manfaatkan sebaiknya. Oh, saya pasti merindui  UPSI dan segala isinya.

Saya juga telah merancang akan masa depan saya. Pertama sekali saya teringin sangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Master dan PhD. Saya pernah mengutarakan hasrat ini kepada ummi, ummi hanya mendiamkan diri. Saya mengerti perasaan ummi, sebagai anak sulung dalam adik-beradik saya perlu membantu dalam meringankan beban yang dipikul di atas bahu ummi dan abi dalam membesarkan kami adik-beradik dan memastikan pelajaran kami terus terjamin. Satu lagi, ummi bimbang sekiranya saya belajar tinggi-tinggi sangat nanti tiada siapa yang berani nak masuk meminang. “ Dah habis degree kahwin dulu, then baru sambung Master & PhD”…hahaha. Calon pun tiada, apatah lagi nak fikir soal kahwin.  Bukan itu sahaja, antara harapan yang begitu besar buat ummi adalah meminta saya untuk membantu kawasan dalam gerak kerja dakwah dan politik. Getus dalam diri, “Baru je berangan-angan nak study kat oversea”. Yang paling lucu, ummi beriya-iya carikan kerja untuk saya. Ummi kata “Aisyah mengajarlah kat MRSM Parit tu, dekat sikit. Tak payah posting jauh-jauh. Ummi dah tanya kawan-kawan ummi kat situ, memang ada kekosongan cikgu Matematik.” Ummi cuba memujuk saya supaya saya tidak ditempatkan mengajar di sekolah yang jauh terutama Sabah dan Sarawak. Saya hanya mengukir senyuman. Saya tahu ummi sangat menyayangi saya sebab itu beliau sentiasa memberi pendapat dan pandangan  dalam saya mengatur perancangan hidup.


Number One For Me

Ummi yang banyak memberi suntikan semangat buat saya tidak kira dalam akademik mahupun dakwah.
*p/s : Akibat tidak lama menulis, bila baca semula tidak ubah seperti karangan budak sekolah.  

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails