Wednesday, December 28, 2011

KEMBALI BERSEMANGAT


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, selamat tiba di Tanjong Malim setelah meluangkan sedikit  masa bersama adik-adik saya yang belajar kat UPM. Kami mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah sempena cuti ‘study week’. Dah faham dengan perangai masing-masing, confirm tak study punya! Justeru itu, kami merancang untuk keluar bersantai sesama adik-beradik sebelum bermulanya final exam. Sebagai kakak sulung, saya harus mengalah dengan mereka untuk turun ke Serdang dengan menaiki KTM. Dua lawan satu, semestinya kena ikut mereka. Kalau nak berjalan-jalan di Tanjong Malim, bukannya ada tempat yang menarik sangat…huhu.

Sebenarnya, saya  ingin mencari mood study yang tidak mucul-muncul lagi. Parah dah ni! Kebetulan adik saya tinggal di kolej 17, di mana kebanyakkan pelajar di situ mengambil jurusan perubatan. Setahu saya, pelajar medik ini skema belaka. Termasuk dengan adik saya sendiri.  Asyik study 24 jam! Manalah tahu, kot2 aura study mereka boleh meresap ke dalam diri saya ini.

Memang betul! Tak dengar bunyi bising langsung. (Mungkin ramai yang pulang bercuti). Hanya kedengaran bunyi siren ambulan je kerana kolej kediaman K17 mereka bersebelahan dengan Hospital Serdang. Melihat ketekunan dan kesungguhan mereka study bagai nak mati, terus saya dapat aura tersebut. Saya kembali bersemangat!!!

Buat Adibah dan Ahmad, buat yang terbaik untuk final exam. All the best. Doakan untuk Kak Cho sekali!

 
With my sis & bro

Friday, December 23, 2011

ALKISAH

Assalamualaikum wbt.

Hari ini jari-jemari yang tidak begitu nak runcing ingin menaip dan berkongsi sesuatu.

Minggu depan bermulalah ‘Study week’. Semester ini saya bakal menduduki 4 kertas sahaja bagi peperiksaan akhir semester.

Complex Variables – 7 Januari 2012
Lukisan Kejuruteraan – 11 Januari 2012
Ordinary Differential Equations – 13 Januari 2012
Trends and Issues in Education for Mathematical Sciences – 16 Januari 2012

Seperti kebiasaan, pelbagai agenda yang dirancang dalam study week. Pergi program ke sana sini, rehlah, mesyuarat, buat jamuan bagai. Nekad betul! Seolah-olah macam exam dah habis je.
.
Eh, apa yang sudah merepek ini??

Berbalik semula pada tujuan entry ini. Hari ini saya tiada kuliah, so mengambil keputusan untuk masuk pejabat. Buat apa yang patut. Biasalah, kalau kerja di pejabat ini menghadap komputer lah kerjanya. Sempat juga mata ini menjeling-jeling buka FB (amaran : Dah siap kerja baru buka FB). Ingin dijadikan cerita, saya menerima satu mesej dari salah seorang ‘friends’ di FB yang merupakan pelajar sekolah menengah. Saya pun sendiri tidak tahu bagaimana saya boleh approve adik tersebut. Adik tersebut menceritakan masalah dan bertanyakan hukum agama kepada situasi yang dialaminya. Pada mulanya saya agak terperanjat berikutan saya adalah bukan insan yang layak dan arif berkaitan ilmu agama Islam secara mendalam. Apatah lagi apabila ditanya soal hukum. Walaubagaimana pun selagi mana saya boleh jawab persoalan dan permasalahan saya akan cuba memberikan jawapan yang terbaik.

Mungkin adik tersebut malu untuk bertanya kepada ibu bapa, rakan-rakan dan guru. Lalu merujuk saya sebagai insan yang tidak mengenalinya, mungkin lebih selesa. Mungkin. Satu hari juga setelah saya bergelar pendidik, saya juga akan menerangkan perkara sama juga. Perkara biasa bagi remaja membincangkan soal jawab berkaitan baligh.

Baligh menjadi sempadan antara fasa kanak-kanak dan fasa dewasa. Mengikut Islam, baligh menjadi penanda asas bermulanya taklif, di mana seseorang individu bertanggungjawab atas setiap pilihan dan tindakannya. Akil baligh juga adalah satu peringkat di mana tubuh kita berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang dewasa. Selepas ini, ketinggian naik mendadak, saiz otot badan bertambah, tubuh makin sasa dan suara pula semakin dalam dan garau (bagi lelaki).

Kalau sebelum ini, sekiranya adik-adik ada tinggalkan solat, puasa, buat jahat, buat baik, emak dan ayah yang tanggung semua. Tapi setelah mencapai usia baligh kita sudah kena tanggung sendiri. Bagi perempuan kita sudah diwajibkan untuk menutup aurat. Pesanan saya buat adik-adik, apabila pertama kali dapat tanda baligh, kita harus memberitahu kepada ibu (bagi perempuan) dan bapa (bagi lelaki) supaya boleh diberi nasihat, bimbingan, panduan dan pedoman bagaimana untuk hidup sebagai seorang lelaki muda dan gadis yang sudah mencecah usia baligh terutama dalam bab mandi wajib!

Akhir kata,apabila kita sudah baligh, maknanya kita kena patuh semua perintah Allah, tidak boleh nak main-main lagi. Apa yang Allah suka, kita buat. Dan apa yang Allah larang kita tinggalkan. Semoga adik-adik akan berusaha gigih untuk jadi insan yang soleh solehah dan musleh hendaknya. Sekian.

Saturday, December 17, 2011

CERPEN TRAVELISTA 1


Assalamualaikum wbt buat pembaca-pembaca setia blog Aisyah Mawaddah. Hasrat di hati ingin menyambung travelog Kembara Ilmu ke Ho Chi Minh Part 2, tapi tiba-tiba mood menulis cerpen menerpa. Sejujurnya saya lebih suka menggunakan nama saya sendiri dalam penulisan cerpen kerana saya lebih menjiwai watak tersebut dan jalan cerita. Hehe

*********************************************************
“Selamat ulang tahun sayang.”

Aisyah terpana sebentar. Ulang tahun? Hari ini…Masya-Allah.

“Haha. Abang dah agak dah, Aisyah mesti lupa. Sibuk sangat menyemak buku pelajar, sampai tarikh ulang tahun perkahwinan sendiri pun lupa. Azmi ketawa sendiri.

“Percutian ini adalah hadiah sempena ulang tahun perkahwinan kita.”

Tiba-tiba air mata Aisyah menitis.

“Eh, mengapa sayang menangis?”

“Terima kasih. Aisyah benar-benar gembira dan terharu sangat. Abang begitu baik.”

Azmi menggeleng. “Abang yang patut ucap terima kasih sebab Aisyah sudi kahwin dengan abang, sentiasa berada di sisi abang.”

“Menyesal tidak?” Tiba-tiba Aisyah melontarkan soalan, mengundang angkatan dua kening Azmi.

Azmi tersengih. Kemudian menggeleng. “Tidak pernah menyesal.”

“Betul? Kahwin dengan orang tidak pandai masak, tidak banyak hafal al-Quran, tajwid pun tidak hebat, hari-hari asyik kena kejut Subuh, tidak menonjol dalam dakwah dan tarbiah.” Aisyah mengangkat satu persatu jarinya seakan membilang. Azmi mendengar setia.

“Tidak romantik, ibadah sunat pun kurang, asyik belajar sahaja, tidak …” Bicara Aisyah terhenti di situ. Jari telunjuk Azmi sudah melekat pada bibirnya.

“Abang tidak perlukan semua itu. Bukankah abang sudah kata sebelum kahwin, yang abang mahu hanyalah Aisyah berada di sisi abang sahaja. Abang tidak minta lebih daripada itu. Biar abang yang masak. Biar abang yang kemas rumah. Biar abang yang baca al-Quran untuk Aisyah. Biar abang yang hari-hari kejut Aisyah Subuh. Biar abang yang romantik. Biar abang yang ambil berat. Biar abang yang buat semua.” Azmi menyempurnakan bicaranya.

“Aisyah bukanlah seorang mujahidah segigih dan sefaqih Aisyah isteri Rasulullah SAW. Bukan juga hebat beribadah seperti Rabiatul Adawiyyah. Setahun setengah ini, sudah banyak Aisyah susahkan abang. Lebih-lebih lagi dalam hal dakwah dan tarbiah. Isteri-isteri sahabat abang semuanya hebat-hebat. Semua kehadapan sama-sama. Aisyah…” Aisyah menunduk.

“Aisyah lah orang yang paling banyak bantu dalam dakwah dan tarbiah. Apabila Aisyah ada di sisi abang, abang jadi kuat, abang lebih bersemangat dalam melaksanakan gerak kerja Islam berjalan dengan lancar, insya-Allah, ramai orang yang akan mendapat manfaat.”

Aisyah terpana, wajah Aisyah kemerahan.

“Tapi..”

“Tidak ada tapi-tapi lagi. Nanti serabut kepala. Hari ini abang masak special, sotong masak sambal kegemaran isteri abang tercinta.” Sambil mencuit hidung Aisyah. Azmi menghulurkan tangan, Aisyah pula menyambut tangan suaminya itu. Mereka berjalan beriringan ke dapur. Aisyah damai di bahu Azmi.

Azmi gembira. Di dalam hati, dia bahagia dan tidak henti mengucap hamdalah. Bahagia apabila bidadari jiwanya bahagia. Entah mengapa Allah memberikan perasaan ini padanya. Kepada seorang isteri tercinta. Kebahagiaan ini, memang tiada bandingnya. Aisyah memang bukan Aisyah pada zaman Rasulullah. Namun dia adalah Aisyah, bidadari di jiwa, yang Allah salurkan kekuatan dan kehidupan kepadanya.

 

Coretan hati : Rata-rata hari ini orang terbiasa dengan kesempurnaan fantasi. Mencari hanya yang sempurna. Kemudian kecewa apabila melihat kecacatan selepas berkahwin. Terimalah pasangan kita dengan seadanya.

Thursday, December 15, 2011

BUKAN SISTEMNYA..TAPI MANUSIANYA

“Saya tak tahu bagaimana nak buat lagi. Banyak sangat aduan yang diterima. Memeningkan!” keluh seorang staf sebelum waktu makan tengah hari di pejabat tadi.

“Macam-macam dah dibuat. Ada sahaja yang tidak kena dan bermasalah.” keluhnya terus menerus.

Kasihan pula saya melihatnya. Kepalanya hampir botak itu menyebabkan beliau kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya. Merangkap bos saya juga di HEP UPSI biarpun saya ditempatkan di unit yang berbeza.

Saya mengangguk sahaja. Memang benar katanya. Isu pengangkutan bas UPSI dari kolej kediaman ke kampus, ke Taman Bernam dan juga ke Proton City. Kami terpaksa beratur panjang dan menunggu bas dalam jangka waktu yang agak panjang. Perkara biasa jika kami sampai lewat ke kuliah.

“Aisyah ada idea untuk menyelesaikan masalah ini?” tiba-tiba staf tersebut meminta pandangan saya sewaktu saya sedang menyusun surat-surat yang perlu ditandatangani.

Sebagai seorang pelajar yang selalu menggunakan perkhidmatan bas, bagi saya bukan isu bilangan yang tidak mencukupi tetapi sikap pemandu bas itu sendiri!

“Hmm…sejujurnya, sebab utama ialah manusia. Bukan sistem. Sistem yang kita laksanakan sudah cukup tersusun dengan baik.”

“Kenapa begitu? Aisyah maksudkan pemandu bas ke?”

“Yup! Bukankah sudah ada peraturan dalam bekerja, tetapi tidak ada kepatuhan. Bukankah sudah ada yang dikenakan tindakan disiplin tapi tak ada yang berubah juga. Bas sudah disediakan dengan kadar yang mencukupi, tetapi pemandu bas masih lembap. Jadi pada saya, yang kurang bukan pada sistem, bukan juga pada bilangan bas, tetapi pada manusianya.”

“Yalah, manusia malas, yang  tak berdisiplin, memang sukar untuk ditadbir. Segelintir pemandu bas yang curi tulang semasa bekerja. Semasa bekerja, melepak-lepak sambil merokok, curi tidur. Semua ingin kerja mudah, untung atas angin sahaja.”

“Bolehkan sekiranya saya memberi encik sebagai contoh dalam masalah ini?”

“Silakan, saya tak kisah,” ujar staf tersebut. Mujur beliau seorang yang mudah mesra dan dibawa berbincang.

Saya sengaja menimbulkan persoalan kepada staf tersebut. Secara tidak langsung mengingatkan diri saya sendiri yang bergelar staf pelajar bekerja di pejabat HEP. Gaji saya dibayar mengikut jam saya bekerja. Mudah bagi saya untuk mengaitkan perkara-perkara yang hampir dengan kehidupan seharian.

“Katakanlah gaji encik dibayar sebanyak RM 3000 atas masa encik bekerja di pejabat. Apabila terima gaji pada akhir bulan itu bererti termasuk sejam masa yang encik mengular (curi tulang). Sekadar contoh sahaja. Saya tahu encik seorang staf yang beretika. Hehe…”

Staf tersebut tersenyum dan mengangguk perlahan.

“Jika sejam itu ditukar kepada bentuk wang, agaknya berapa?” Tanpa mendapat jawapannya, saya menyambung, “Tak sampai RM 20 kan? Tetapi RM 20 itu cukup untuk membeli  sekilo beras, sekilo gula, dan beberapa ekor ikan bukan?”

Staf tersebut mengangguk lagi.

“Dan beras, gula atau ikan itu kita jadikan makanan untuk diri, isteri dan anak-anak kita.” Saya menyambung lagi, “Apabila wang yang sebegitu digunakan untuk membeli makanan anak isteri kita tentu sahaja hati mereka gelap.”

“Kenapa?”

“Bukankah hati dibentuk oleh makanan? Makanan yang haram akan menggelapkan hati.”

 

Saya teruskan lagi, “Iman kena dikuatkan. Lemah iman punca manusia sukar dikawal. Itu sebabnya ramai yang suka curi tulang semasa bekerja. Kalau dengan Allah pun liar, apalagi dengan manusia. Alangkah indahnya sekiranya mereka bekerja kerana Allah. Kita selesaikan masalah dengan Allah dahulu, mudah-mudahan Allah selesaikan masalah kita dengan manusia.”

Sekian

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails