Thursday, April 26, 2012

TEMAN MENCERMINKAN DIRI KITA


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah diberi ruang dan peluang waktu untuk mencoretkan sesuatu di blog ini. Hari ini saya ingin berkongsi berkaitan sahabat ataupun teman.

Buat pembaca blog yang dikasihi sekalian.
Memilih teman sangat penting kerana teman bukan sekadar bermain dan belajar sahaja, malahan ia mencerminkan siapa kita. Sayidina Abdullah bin Mas’ud pernah berkata, “Nilailah seseorang dengan temannya. Ini kerana seseorang hanya berteman dengan orang yang satu jenis dengannya.”

Buat adik-adik yang bakal melanjutkan pelajaran ke IPTA, kolej matrikulasi, sama ada di dalam mahupun di luar negara, ingatlah bahawa kita mesti bijak dalam memilih sahabat. Berteman dengan cerdik pandai mengajar kita menggunakan masa dengan efektif. Tokoh yang berjaya dalam hidup sangat memilih dalam pergaulan. Ia sedar, tersilap memilih teman dapat merosakkan akhlak dan budi pekerti, bahkan merosakkan hidup seluruhnya.

Jadi, siapakah orang yang boleh kita jadikan teman? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita hayati nasihat-nasihat para ulama berikut:

Berkata Imam al-Syafie: “Sesiapa yang tidak menyukai ilmu, maka tiada kebaikan pada dirinya. Maka, janganlah ada ikatan perkenalan dan persahabatan antara dirimu dengan dirinya.” Diriwayatkan al-Baihaqi dalam Kitab ‘Manaqib al-Syafie’.

Tanpa ilmu, manusia tidak berbeza dengan haiwan. Ia tidak mengenal Allah dan tidak tahu hukum-hukum agama. Pemuda Islam yang cinta akan ilmu suka bergaul dengan orang berilmu yang menambah dan mencambahkan ilmunya. Ia tidak suka berteman dengan orang yang tidak mencintai ilmu kerana orang seperti ini hanya mengganggu langkahnya menuju Allah swt.

Selain berilmu, seorang teman yang baik mestilah memiliki sifat-sifat yang disebutkan oleh Ibn Ataillah al-Sakandari. Beliau berkata, “Janganlah berteman dengan orang yang tidak meningkatkan keimananmu, dan ucapannya tidak menunjukkan dirimu kepada Allah.” Demikian ucapan beliau sebagaimana dalam kitab ‘Al-Hikam’.

Ini bermakna, kita perlu mencari teman-teman yang dekat hubungannya dengan Allah. Yakni, teman yang apabila kita lihat perbuatannya, membuat kita ingin mengikut dan meneladaninya. Jika kita mendengar ucapannya, ia mengingatkan kita kepada Allah, Rasul-Nya dan hari akhirat.

Jika ada orang seperti ini, maka jadikan ia teman kerana ia akan memberi manfaat kepada kita di dunia dan akhirat. Sesiapa yang merindukan kawan seperti ini, hendaklah ia mempraktikkan semua sifat ini terlebih dahulu pada dirinya. Jadilah seseorang yang anda cari, nescaya orang itu akan dating kepada anda.

Friday, April 20, 2012

APABILA PELAJAR MENEGUR


Sebuah mesej memasuki kantung pesanan Facebook. Sejak meninggalkan sekolah itu, pelajar-pelajar masih tetap menghubungi saya menggunakan pelbagai medium. Ternyata mereka amat memanfaatkan kecanggihan teknologi.

“Ustazah, bagaimana mahu menegur guru-guru perempuan supaya menutup aurat dengan sempurna? Saya sukar hendak belajar apabila guru perempuan memasuki kelas. Tumpuan saya terganggu,” luah pelajar lelaki yang semakin meningkat remaja itu.

“Kenapa?”

“Ustazah faham-fahamlah. Saya dan kawan-kawan terpaksa memejamkan mata kerana pakaian guru yang nipis serta jarang. Jadi, untuk mengelak melihat aurat mereka, kami memerhatikan bayang-bayang tangan mereka sahaja sewaktu mengajar.”

Saya terpempan. Tidak menduga pelajar yang baru belasan tahun sudah begitu peka deria imannya.
Sebagai jalan terakhir, pelajar tersebut tadi telah berpakat bersama kawan-kawannya untuk menulis sebuah pesanan bagi diletakkan di atas meja guru perempuan tersebut sebagai sebuah teguran.


“Guru, bagi kami kamulah ibu. Meski kami bukanlah daripada kantung rahimmu, tetapi hakikat kamu sebagai ‘ibu yang mendidik’ langsung tidak kami ragui. Tanpa dirimu siapalah kami, pasti dalam kebutaan dan kejahilan selamanya. Terima kasih ibu dan guru! Tetapi, tahukah kamu wahai ibu, anak-anakmu ini dilanda kesedihan dan kerisauan yang berat. Setiap kali kamu memasuki kelas, hati kami gembira. Namun, apabila kamu mula menulis di atas papan putih bersih itu, kami mulai bimbang. Bagaimana tidak, andai setiap kali kamu mahu mencurah ilmu, kamu turut mendedahkan auratmu yang sepatutnya ditonjolkan hanya kepada suami dan orang yang halal untukmu. Meyakini kamu tidak menyedari perkara ini, kami mengambi kesempatan ini untuk memberitahu. Tolonglah wahai ibu, kami menyayangimu dan tidak mahu kamu terus-terusan ‘dihukum’ atas perbuatan mulia yang kamu lakukan (mengajar). Dan, bantulah kami agar perasaan dan hati kami tenteram semula ketika belajar. Wahai guru, semoga kamu dapat menerima kata-kata anak-anakmu ini dengan rela hati. Tidaklah kami melakukan ini melainkan kerana menyayangimu. Halalkanlah ilmu yang telah kamu curahkan, wahai ibu! 


Pelajar Tingkatan 4 ABM di SMK Vokasional Slim River

Sesi P&P (Makroteaching)

Fasa sesi penilaian. Matematik itu Mudah


Wednesday, April 11, 2012

DIA PASTI ADA




“Aisyah, ana nak tanya pandangan enti sikit.”

“Sejak bila sopan sangat ni? Biasanya terjah soalan tak ada pun minta-minta izin.” Aisyah menjawab pertanyaanku dengan gurauan mesra.

Aisyah adalah sahabatku sedari zaman matrikulasi lagi. Teman sama berusrah, sama ditarbiyyah dan hari ini, sama berjuang. Sikapnya yang ramah dan ceria sesuai dengan namanya. Tidak pernah lokek memberi pandangan. Dia sentiasa mempunyai idea yang setidaknya mampu membantu meleraikan kusut jiwa ini.

“Ana dah buat keputusan, ana nak putuskan hubungan dengan Luqman.” Datar nadaku.

“Haa..?? Bulan depan dah nak nikah kan? Aisyah terkejut seperti yang aku jangkakan.

Aku mengangguk lemah. Tidak mampu aku tatap wajah Aisyah yang kehairanan. Bebola mataku tepat memandang meja yang berselerakan dengan kertas kerja.

“Farah…apa masalahnya? Cerita dengan jelas dan terang. InsyaAllah, ana akan beri pandangan yang terbaik.” Jujur Aisyah mahu membantu .

“Ana rasa Luqman bukan yang terbaik untuk ana. Jiwa kami tidak serasi, matlamat kami tidak sama, impian juga berbeza. Ana sendiri penat membohongi diri sendiri. Menerimanya atas desakan abi yang risau anaknya masih belum mempunyai calon teman hidup.” Luahku tulus dari hati.

“Tak serasi macam mana maksud enti? Kenapa selama ini ana lihat enti tak ada pun, ok je. Atau enti sudah ada pilihan lain? Tanya Aisyah ingin penjelasan.

“Bukan sebab ana ada pilihan lain. Banyak perkara yang ana berbeza dengan Luqman…tapi ana tak boleh ceritakan segalanya. Ana minta maaf.” Aku tidak mahu membuka aib Luqman pada Aisyah.

“Baiklah, ana faham dan menghormati pendirian enti. Cuma yang mampu ana nasihatkan , istikharah kembali. Mohon dengan tulus dan bersungguh, Allah tunjukkan jalan keluar pada kerumitan ini. Saat dia melamar mahu menjadikan enti suri hatinya, enti terima dalam keadaan baik. Jadi andainya ketenangan enti hanya akan kembali dengan memutuskan hubungan ini, maka tolaklah dengan cara yang baik juga. Jelaskan pada ummi dan abi. Jangan sampai keresahan jiwa enti mengeruhkan hubungan dua keluarga. Ana yakin, enti seorang yang rasional, bertindak dengan akal yang waras dan hati yang bersih. InsyaAllah keputusan enti nanti menatijahkan sesuatu yang positif.” Tutur Aisyah satu persatu.

Bergenang kelopak mataku. Nasihat sahabatku yang penuh hikmah. Aku menggengam tangannya erat. Tidak terlafaz ucapan terima kasih, hanya gerak laku itu mampu kuzahirkan.


Luqman merupakan pemuda lulusan agama dari IPTA tempatan. Sememangnya dia seorang yang sangat prihatin. Mudah menzahirkan kerisauan dan mempamerkan sayangnya. Namun naluri wanitaku tidak senang dengan sikapnya sedemikian. Aku tidak seperti kebanyakkan wanita. Mudah cair dan hanyut dengan ayat-ayat cinta yang dilafaz penuh romantis dari Sang Arjuna. Sangat tidak selesa dibelai kata manja saat segalanya belum halal dizahirkan. Sungguh aku rimas dan dibalut rasa berdosa.

Dalam usrah, lantang bersuara menegur anak-anak usrah agar menjaga ikhtilat. Jangan sampai cinta fitrah menjadi fitnah. Jangan sampai hilang keberkatan bahtera yang bakal dibina. Apatah lagi bahtera itu bahtera dakwah. Penuh dengan amanah dan tanggungjawab besar. Bukan sahaja untuk membina keluarga yang bahagia, tetapi menjadikan keluarga pemangkin terus bergerak dalam arena dakwah. Suami imam yang tidak sekadar memimpin solat, tetapi mampu membawa ahli keluarga memimpin ummah. Si isteri pula bukan sekadar menjadi solehah kerana taat kepada suami dan menjadi ibu mithali kepada cahaya mata, tetapi mampu memimpin para isteri dan ibu lain untuk turut sama menjadi  isteri solehah dan ibu mithali. Bahkan zuriat yang dilahirkan telah diasuh dan terasuh jiwanya dengan roh dan semangat perjuangan untuk menegakkan Dinullah agar terus memayungi buana.

Sesalnya, Luqman tidak memahami aspirasi diriku. Dia tidak mahu bersama merealisasikan impian ini. Dia sekadar mahu membina baitul muslim. Tidak perlu fikir soal ummah. Memadailah sekadar menjaga keharmonian rumahtangga semata-mata. Katanya takut hilang focus pada keluarga. Isteri tempatnya di rumah semata. Jaga dan didik anak-anak, jaga makan pakai suami sudah mencukupi. Acapkali juga aku menerangkan beserta hujah dan bukti nyata. Meminta dia cuba memahami. Memberi gambaran akan jauhnya ummah hari ini dari syariatullah.

Bahkan Luqman pula menasihatiku. Tidak payah melibatkan diri dengan hal-hal sebegini. Semua ini politik katanya. Politik itu pula tiada yang betul dan penuh dengan kekotoran dari tangan-tangan manusia. Aku semakin kecewa dengan sikapnya. Fikrahnya jauh berbeza dariku. Aku sudah sebati dengan tarbiyah dari murabbiku. Dalam usrah kami dididik menjadi muslim yang peduli ummah. Dalam usrah kami ditarbiyah hidup bukan untuk diri dan keluarga semata. Aku khuatir tidak lagi berada dalam saf perjuangan ini.
Aku sudah semakin bersedia untuk meluah rasa. Istikharahku beberapa hari lepas juga memberi isyarat keputusan ini yang terbaik. Ummi dan abi sudah aku maklumkan semasa kami makan malam bersama kelmarin.

“Kenapa tiba-tiba buat keputusan mengejut?” soal abi sedikit tegas.

Air muka ummi juga kelihatan keruh. Mujur nasi sudah dijamah. Kalau tidak, mahu juga terbantut selera orang tuaku mendengar kejutanku ini. Namun aku menjelaskan satu persatu tanpa selindung. Terang dan jelas.

“Tapi Luqman tu kan lulusan agama. Takkan dia nak bina keluarga yang langgar syariat. Lagipun Farah sudah tahun akhir pengajian. Kawan sebaya Farah dah beranak pinak dah.” Komen abi lagi kurang senang dengan keputusanku.

“Memang benar abi. Farah tak nafikan, Luqman seorang yang baik. Farah bukan sekadar nak bina baitul muslim, tetapi Farah nak lebih lagi. Farah nak bina baitul dakwah. Insyaallah, Farah yakin, Allah Maha Mengetahui. Soal jodoh sudah tersurat. Farah cuma minta abi dan ummi doakan Farah dimudahkan urusan jodoh. Bertemu dengan seseorang yang benar-benar dapat bersama dengan Farah menyelusuri laluan dakwah ini.” Jawabku jujur. Tidak perlu aku menyembunyikan isi hatiku. Abi waliku. Dia juga pasti mahu yang terbaik untuk puterinya ini.

“Sebenarnya ummi juga terkejut dengan keputusan mendadak ini. Apatah lagi Farah sudah pernah berjanji untuk menerima Luqman . Ummi tidak mahu orang kata kita tidak berpegang pada janji. Tetapi ini soal hidup dan masa depan Farah. Sekali Farah bersetuju memilih Luqman menjadi suami, ketaatan dan kesetiaan Farah sudah tidak boleh berbelah bagi. Perkahwinan adalah jambatan Farah menuju syurgaNya. Redha Allah beriring dengan redha suami. Jika dari awal lagi Farah sudah yakin tidak punya keserasian dan kesefahaman terutama pula melibatkan soal fikrah yang ada sangkut pautnya dengan agama, maka memang wajar Farah menilainya kembali. Ummi ikut saja keputusan Farah, ummi sentiasa mendoakan yang tebaik untuk anak ummi.” Panjang lebar ummi menghuraikan pendapatnya. Pandangan yang menyejukan jiwaku. Ternyata naluri keibuannya dan naluri kewanitaan  yang kami kongsi bersama memudahkan ummi memahami situasiku. Lantas aku memeluk ummi dengan erat.

Abi juga akhirnya mengangguk tanda setuju. Keputusan kami capai di meja makan malam itu. Sedari kecil aku memang sudah diasuh, sekecil mana jua masalah, berbincang terlebih dahulu dengan ummi dan abi. 

Kedua orang tuaku mengingatkanku berulang kali, khabarkan kepada Luqman keputusan mengejut itu dengan cara baik.

Tepat pukul 9 malam, Luqman menelefonku. Beriring doa di hati agar dipermudahkan, aku mengangkatnya.

“Assalamualaikum…buat apa permaisuri hati?” ceria suara Luqman.

“Waalaikumussalam.” Ringkas jawapanku. Berbalut rasa tidak senang dengan kata ganti diri yang ditujukan untukku.

“Kata tadi ada perkara nak bincang. Apa dia?” tanyanya ingin tahu.

“Tak apalah, enta nak bincang apa petang tadi, enta mulakan dulu.” Aku tidak mahu Luqman akan kehilangan bicara saat dia mendengar terlebih dahulu apa yang aku ingin perkatakan.

“Oh..tak ada apa-apa. Ana sekadar nak bertanya khabar. Memastikan permaisuri hati ana sentiasa dalam keadaan sihat walafiat.” Rutin hariannya, menelefonku sekadar bertanya khabar. Tanpa ada hal mustahak dan penting untuk dibincangkan. Sesuatu yang aku rasa tidak perlu dizahirkan. Simpan segalanya saat aku benar-benar menjadi miliknya.  Bukan cinta begini yang aku dambakan. Bukan sama sekali.

“Hmm…sebelum bercerita panjang, ana mohon kemaafan terlebih dahulu. Mungkin apa yang ana luahkan ini akan mengejutkan enta.” Aku memulakan bicara.

“Bunyi macam penting saja. Ana bersedia mendengar.” Balas Luqman semakin ingin tahu. Suaranya sudah mulai serius.

“Ana dah buat keputusan, ana tak boleh teruskan hubungan kita ini. Ana sudah berfikir panjang. Bukan sebab enta tidak baik, tetapi ana bukan yang terbaik untuk enta. Impian kita tidak sama. Ana tidak mampu melepaskan ikatan perjuangan yang sudah ana simpul mati dalam diri ana. Ana tidak mahu mengorbankannya kerana sebuah perkahwinan. Sekali lagi ana mohon sejuta kemaafan.” Ringkas penjelasanku. Tapi aku pasti cukup jelas isinya, sebab hal ini bukan pertama kali kami bincangkan. Bezanya malam ini, aku nekad dengan keputusanku. Talian sepi seketika. Tiada butir bicara Luqman sampai ke corong telingaku. Aku tidak mahu membayangkan wajahnya. Tidak mahu ada apa-apa yang akan merubah keputusanku lagi.

“Kalau itu permintaan enti, ana tak boleh kata apa-apa lagi. Ana akur semuanya. Ana terima ini sebagai suratan takdir. Jodoh kita tiada. Semoga enti bertemu dengan insan yang sepadan, punya aspirasi dan impian yang sama.” Luqman akhirnya bersuara. Nadanya tidak lagi ceria, berbaur kesal dan kecewa.

“Terima kasih atas doanya. Sekali lagi ana mohon maaf sangat-sangat,” aku mengulangi permohonan maafku. Tidak mahu ada garis luka dijiwanya. Walau aku tahu itu mustahil.

“Ana pun sama..maaf untuk segalanya. Assalamualaikum.” Luqman menamatkan perbualan, ada getar dihujung suaranya.

Aku terkedu menggengam telefon bimbitku. Tidak menyangka seringkas itu perbualan kami. Tanpa pujuk rayu dan hujah balas. Jauh di sudut hati, aku terus berdoa, jangan ada benci di antara aku dengan Luqman. Apatah lagi, aku menamatkan perhubungan yang sudah sangat hamper ke gerbang pernikahan ini. Ada juga terbit rasa bersalah di hatiku, terutama saat mendengar getar suara Luqman yang tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya. Namun aku sudah tidak boleh berpatah kembali lagi. Jalan inilah yang terbaik untukku. Hasil musyawarah dengan kedua orang tuaku serta istikharah berulang kali dengan Sang Pencipta. Tiada ragu lagi.

Aku menarik nafas dalam dan menghembuskannya perlahan. Syukur Allah permudahkan segalanya. Aku kini bebas dari resah jiwa dan beban minda. Aku boleh fokus sepenuhnya pada amanah dakwah. Tugas dakwah melebihi masa yang ada. Tiada ruang aku bermain-main dengan waktu yang berlalu tanpa mungkin diputar ganti.

Sebelum mata terlena malam itu, sempat aku merenung rembulan dan bintang bercahaya. Tiada lagi wajah Luqman. Wajah siapa yang akan mengisi taman hati, aku juga tidak pasti. Tetapi aku yakin, dia akan hadir di sisi. Dia yang akan memimpin tanganku berlari berkejaran di medan dakwah ini hingga kami hanya akan berhenti berehat, setelah sampai di taman syurgawi. Aku pasti…DIA ADA.








Tuesday, April 3, 2012

SAHABATKU PERHATIKAN SAHABATMU


Seseorang yang sentiasa bergurau senda di hadapanmu,
Ketahuilah dialah seorang pemurung tatkala sendirian.

Seseorang yang sentiasa menyuntik kata-kata semangat dan perangsang kepadamu,
Ketahuilah tatkala itu dia sedang menyulam hatinya yang retak seribu.

Seseorang yang sentiasa kelihatan kuat di hadapanmu,
Ketahuilah dialah yang sentiasa mengadu lemah di hadapan Tuhannya.

Seseorang yang ketawanya menceriakan harimu,
Ketahuilah tatkala itu dia sedang membalut duka di dadanya.

Seseorang yang sering memberi hadiah kepadamu,
Ketahuilah dialah insan yang tidak pernah mendapatkannya.

Seseorang yang bebas mengeluarkan cetusan fikirannya,
Ketahuilah dialah seorang 'petapa setia' yang tidak mampu bersuara tatkala sendirian.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails