Wednesday, June 30, 2010

NASIHAT SENIORKU




Salam buat sahabat-sahabat yang tidak pernah jemu membaca blog Aisyah yang tidak seberapa ini.

Entri kali Aisyah sekadar mahu bercerita sahaja tentang apa yang Aisyah pelajari dari seorang kakak senior yang satu kuliah matematik dengan Aisyah dalam kursus “Linear Algebra” pada semester lepas. Kini kakak tersebut sudah masuk sem 7 dan bakal praktikum. Apa yang Aisyah ingin coretkan di sini, Aisyah begitu tertarik dengan sifat kakak tersebut dari aspek agama, akademik, dakwah islamiah dan juga taklifan yang dipegang.

Jauh di sudut hati, Aisyah memang teringin sangat untuk mengenali kakak tersebut dengan lebih dekat lagi. Bukan apa, sebelum ini kami hanya kenal gitu-gitu sahaja dan saling menyapa antara satu sama lain. Kalau di dalam kuliah, masing-masing sibuk memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu sesi pembelajaran dan kami tidak berkesempatan untuk berbual dan bercerita. Alhamdulillah, Allah ketemukan kami dalam kumpulan tugasan yang sama. Dari situlah Aisyah berpeluang untuk lebih mengenali kakak tersebut.

Biarlah Aisyah rahsiakan nama kakak tersebut.

Aisyah berasa kagum melihat cara kakak tersebut bekerja dan juga pengurusan masa yang sistematik. Mana tidaknya, dengan assignment, discussion group, usrah ( Rakan Penggerak Ad-din), taklifan dan meeting hampir setiap malam. Semuanya dapat dilakukan dengan cekap.

Perasaan ingin tahu semakin kuat kerana bukan calang-calang orang yang dapat melaksanakan kerja yang banyak dalam satu masa. Sifat ramah kakak tersebut menyebabkan Aisyah berjaya mengorek banyak rahsia dan tips yang amat berguna untuk diguna pakai sepanjang menjadi penuntut di UPSI. Hmm..banyak semester yang perlu Aisyah lalui lagi.Nasihat yang diberi juga begitu terkesan ke dalam hati Aisyah hingga ke hari ini.

Banyak perkara baru yang Aisyah pelajari sejak mengenali senior-senior math seperti kak wana, kak fizah dan juga kak Linda. Merekalah yang selalu memberi Aisyah semangat dan kekuatan setelah ummi Aisyah.

“ Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah pasti menolong kamu” itulah perkataan yang acap kali dikatakan oleh kakak tersebut.

“ Aisyah dalam kita melakukan kerja-kerja dakwah, taklifan yang dipegang, pelajaran dan tugasan memang penat dan sibuk. Masa kita tidak sama dengan pelajar yang biasa. Masa kita sentiasa penuh dan padat. Masa rehat dan tidur pun tidak cukup. Tapi sebenarnya dik, ada hikmah di sebalik kesibukan ini. Aisyah ada masa ke nak tengok movie? Ada masa nak couple? Ada masa nak chatting yang tidak syarie? Ada masa nak mengumpat ke? Semua perkara yang sia-sia itu dapat dielakkan. Apa yang penting kita ikhlaskan hati dalam setiap perkara dan lakukan kerana Allah. Insyaallah Allah akan permudahkan segala urusan kita dik.” terang kakak tersebut.

“ Betul juga tu. Kenapa Aisyah tidak pernah terfikir hikmah di sebalik kesibukan tetapi selalu mengeluh kepenatan sahaja. Terima kasih kak atas nasihat itu.” balas ku

“ Aisyah juga perlu tahu perkara yang mana lebih aula” kata kakak tersebut.

“ Aula..?? Apa maksudnya kak..??” jawabku. Maklumlah banyak vocab bahasa arab yang belum diketahui. Insyaallah kini dalam proses belajar.

“ Aula itu bermaksud utama.. Misalnya meeting Rakan Surau dan meeting JMK dilaksanakan dalam satu masa yang sama, yang mana satu Aisyah nak pergi? Discussion group dan usrah juga dalam satu masa yang sama , Aisyah nak pilih yang mana satu? Mesti Aisyah keliru bukan? Sedangkan semua perkara itu penting buat Aisyah yang sedang mula mengorak langkah untuk menjadi pelapis kami. Kalau diikutkan, kita perlu utamakan agama terlebih dahulu. Tetapi memandangkan taklifan kita dalam JMK sebagai pengarah program manakala taklifan kita dalam Rakan Surau sebagai AJK pelaksana, Aisyah perlu utamakan JMK kerana segala keputusan terletak pada tangan Aisyah. Sekiranya tanpa kehadiran Aisyah dalam meeting JMK maka segala keputusan tidak dapat diputuskan. Sekiranya Aisyah tidak menghadiri meeting Rakan Suran tetapi segala keputusan dapat dijalankan oleh Majlis Tertinggi bukan? Begitu juga sebaliknya. Apa-apa pun Aisyah perlu bijak dalam membuat keputusan agar tidak menyebabkan mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan tindakan kita.”

Aisyah mengangguk faham dengan kata-kata kakak tersebut.

“ Satu lagi, Aisyah perlu bijak mengambil hati rakan-rakan sekuliah atau discussion group. Bukan semua faham situasi kita. Masa kita tidak sama dengan mereka. Sepatutnya kita meluangkan masa selama 2 jam untuk berdiskusi tetapi kita hanya sempat 1 jam setengah kerana kita mempunyai meeting setelah itu. Ketepatan masa untuk menghadiri meeting juga perlu dijaga dalam menjaga imej sebagai seorang pemimpin. Tidak baik membiarkan orang lain menunggu kita lama bukan? Setelah pulang dari meeting, kita perlu siapkan segala tugasan yang dibincangkan dalam diskusi tadi. Dalam kesibukan kita, tugasan kerja yang diberikan juga siap, maka rakan-rakan dalam kumpulan diskusi tentu faham dan mereka sendiri akan segan dengan kita kerana kerja tugasan kita siap terlebih dahulu. Itulah kelebihan sekiranya kita tolong agama Allah, maka Allah akan permudahkan segala urusan kita.”

Aisyah semakin tertarik untuk mendengar nasihat kakak tersebut.

“ Sebagai seorang muslim, segalanya bermula dari kita bangun dari tidur lagi. Sekiranya bangun pagi-pagi sudah kita mengeluh, bagaimana pula dengan sepanjang hari tersebut? Mesti banyak perkara yang tidak selesai. Tetapi sekiranya kita mulakan pagi kita dengan senyuman dan niat untuk menjadikan hari tersebut lebih baik daripada semalam, insyaallah sepanjang hari segala urusan Aisyah dipermudahkan. Percayalah dik.”

Aisyah memikirkan kata-kata kakak tersebut. Ada betulnya juga, segalanya bermula dari kita bangun tidur lagi.

“ Pesanan akak buat Aisyah, dalam kesibukan kita dalam bekerja jangan lupa solat berjemaah, amalkan amalan sunat seperti berpuasa Isnin dan Khamis, membaca Al-quran, dan lakukan solat tahajud. Semuanya itu dapat menguatkan iman kita. Kita bukan mengejar dunia semata-mata, tetapi saham untuk akhirat perlu kita kejar juga ya dik. Ikhtilat antara rakan seorganisasi juga perlu dijaga kerana kita membawa imej sebagai muslimah dan Islam.”

“Aisyah juga kena bijak dalam pengurusan duit PTPTN. Bukan apa, kesibukan yang ada menyebabkan kebanyakan wang pinjaman tersebut digunakan untuk kredit telefon. Banyak orang yang perlu kita berurusan. Mana tidaknya, hantar mesej atau membuat panggilan sesama rakan JMK, Rakan Surau, ahli halaqah, REXCO, kawan-kawan sekuliah dan pihak pengurusan atas tujuan tertentu. Itupun dikira sebagai pengorbanan dan janganlah pernah berkira. Cuba Aisyah fikir, adakah Aisyah pernah guna kredit telefon untuk mesej atau telefon untuk perkara sia-sia seperti mesej kat boyfriend ke, beli caller ringtone ke? Akak percaya Aisyah memang tidak pernah lakukan bukan? Semoga Allah membalas pengorbanan kita ini dik. Insyaallah.”

“ Hidup sebagai mahasiswa ini kita perlu proaktif. Apa yang akak perhatikan kebanyakan pelajar di sini gemar menghabiskan masa mereka dengan menonton movie, chatting yang tidak syarie, berdating dan suka memerap di dalam bilik setelah habis kelas. Kita sebagai guru perlu cari keistimewaan kita sendiri yang dapat membezakan kita dengan pelajar lain. Kalau setakat pandai sahaja tapi bila sudah posting tidak tahu buat kerja, apatah lagi untuk uruskan program tiada gunanya. Apa-apa pun kita perlu seimbang dari segi akademik dan aktiviti luar yang lain.”

Begitu banyak nasihat berguna kakak tersebut kepada Aisyah. Dan kini Aisyah sedang melalui apa yang kakak tersebut pernah lalui. Semoga Allah permudahkan urusan Aisyah.




Sahabat JMK: Aisyah, Zalikha, Fatin dan Halawati

1 comment:

Anonymous said...

Siamo un gruppo di volontari e di partenza una nuova iniziativa in una comunità. Il tuo blog ci ha fornito preziose informazioni su cui lavorare. Avete fatto un lavoro meraviglioso!

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails