Friday, June 25, 2010

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH


Alhamdulillah, akhirnya Aisyah dapat menghabiskan buku novel sejarah Islam “ Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel” karya Abdul Latip Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip. Aisyah mengambil masa selama 4 hari untuk menghabiskan bacaan biarpun kini sibuk dengan pelbagai urusan. Aisyah bersyukur kerana Allah masih memberikan ruang masa untuk Aisyah menyelami kisah-kisah tokoh Islam terkemuka.

Sebenarnya Aisyah amat tertarik dengan kisah-kisah tokoh Islam terutama karya Pak Latip. Pada ketika itu Aisyah menghadiri wacana ilmu “Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem” bersama Pak Latip di kampus pada tahun lepas. Sejak dari itu, Aisyah mula berjinak-jinak membaca dan membeli buku hasil karya beliau. Aisyah amat berharap agar diri ini dapat istiqamah dalam membaca buku-buku sejarah Islam untuk menambah ilmu di dada dan semoga dapat dikongsikan bersama para pelajar apabila bergelar seorang guru kelak.

Sedikit perkongsian hasil bacaan buku ini.:

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik”- Nabi Muhammad SAW-

Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinopel) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinopel.

Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul ( Islam keseluruhannya), terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan Konstantinopel ditawan oleh orang Islam.

Usaha menakluk kota Konstantinopel yang menjadi kemegahan umat Kristian itu sudah berulang kali dilakukan oleh pemerintah Islam namun semuanya berakhir dengan kegagalan. Bermula dengan Saidina Ali bin Abi Talib sudah mencubanya pada tahun ke-34 hijrah. Tetapi tidak berjaya menawannya. Ramai tentera Islam yang syahid sehingga Ali terpaksa melupakannya. Kemudian pada tahun ke-84 hijrah, Muawiyah pula cuba menaklukinya namun tidak berjaya juga. Usaha itu diteruskan oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 hijrah. Namun masih gagal menembusi kota yang kukuh itu. Kemudian Khalifah Harun al- Rasyid cuba menaklukinya pada tahun ke-165 hijrah dan akhir sekali Sultan Murad (ayahanda Muhammad al-Fateh) sendiri cuba menaklukinya pada tahun ke-825 hijrah namun semuanya berakhir dengan kegagalan.

Lalu Sultan Murad tertanya-tanya, “ Sudah hampir 800 tahun Nabi Muhammad SAW menuturkan hadis itu namun masih belum menjadi kenyataan. Apakah selama ini tidak ada ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik di negara-negara Islam” Sultan Murad mengemukakan persoalan yang sekian lama terpendam dalam hatinya.

Sultan Muhammad al- Fateh sejak di dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin al- Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad ( ayahanda kepada Muhammad al-Fateh), “Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota Konstantinopel, tetapi anak yang di dalam buaian itu,” sambil menunjuk kepada Muhammad al- Fateh yang masih di dalam buaian

Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Selain itu, menurut kisah ini ada seorang sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Ayyub al- Ansari yang pada ketika itu sudah terlalu tua tetapi mahu pergi berperang bersama-sama menawan kota Konstantinopel pada zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah bin Abu Sufian. Semasa berperang, Abu Ayyub al-Ansari jatuh sakit dan beliau meminta agar jenazahnya dimakamkan di bawah dinding kubu kota Konstantinopel atas wasiatnya tersendiri. Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimakamkan di situ, beliau menjawab “ Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel.”

Setelah Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan kota Konstantinopel, beliau berusaha mencari kubur Abu Ayyub al-Ansari dengan petunjuk Allah kerana semasa pemerintahan Maharaja Konstantine memerintahkan agar kubur itu digali lalu dipindahkan ke tempat lain kerana Maharaja berasa takut walaupun mayat itu sudah lama ditanam tetapi utuh seperti orang hidup.

Akhirnya Sultan Muhammad al-Fateh menjumpai makam Abu Ayyub al-Ansari di kawasan hutan yang dinamakan hutan larangan. Maka kerja-kerja mengali dijalankan lalu dipindahkan ke tempat lain.

( Sekiranya sahabat-sahabat ingin tahu pada muka surat 296-297, Aisyah berasa sangat tersentuh membaca kisah Sultan Muhammad al-Fateh apabila terlihat kaki sebelah Abu Ayyub al-Ansar terjulur keluar pada tempat yang digali. Aisyah tidak mampu menceritakan di sini kerana begitu sedih ketika membacanya)

Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian dia membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

Sultan Muhammad Al Fateh yang dilahirkan pada 29 Mac 1432 itu telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun.

Diharapkan agar sahabat-sahabat dapat membaca buku ini dan mencontohi sifat kematangan Sultan Muhammad al- Fateh.

.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails