Thursday, December 15, 2011

BUKAN SISTEMNYA..TAPI MANUSIANYA

“Saya tak tahu bagaimana nak buat lagi. Banyak sangat aduan yang diterima. Memeningkan!” keluh seorang staf sebelum waktu makan tengah hari di pejabat tadi.

“Macam-macam dah dibuat. Ada sahaja yang tidak kena dan bermasalah.” keluhnya terus menerus.

Kasihan pula saya melihatnya. Kepalanya hampir botak itu menyebabkan beliau kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya. Merangkap bos saya juga di HEP UPSI biarpun saya ditempatkan di unit yang berbeza.

Saya mengangguk sahaja. Memang benar katanya. Isu pengangkutan bas UPSI dari kolej kediaman ke kampus, ke Taman Bernam dan juga ke Proton City. Kami terpaksa beratur panjang dan menunggu bas dalam jangka waktu yang agak panjang. Perkara biasa jika kami sampai lewat ke kuliah.

“Aisyah ada idea untuk menyelesaikan masalah ini?” tiba-tiba staf tersebut meminta pandangan saya sewaktu saya sedang menyusun surat-surat yang perlu ditandatangani.

Sebagai seorang pelajar yang selalu menggunakan perkhidmatan bas, bagi saya bukan isu bilangan yang tidak mencukupi tetapi sikap pemandu bas itu sendiri!

“Hmm…sejujurnya, sebab utama ialah manusia. Bukan sistem. Sistem yang kita laksanakan sudah cukup tersusun dengan baik.”

“Kenapa begitu? Aisyah maksudkan pemandu bas ke?”

“Yup! Bukankah sudah ada peraturan dalam bekerja, tetapi tidak ada kepatuhan. Bukankah sudah ada yang dikenakan tindakan disiplin tapi tak ada yang berubah juga. Bas sudah disediakan dengan kadar yang mencukupi, tetapi pemandu bas masih lembap. Jadi pada saya, yang kurang bukan pada sistem, bukan juga pada bilangan bas, tetapi pada manusianya.”

“Yalah, manusia malas, yang  tak berdisiplin, memang sukar untuk ditadbir. Segelintir pemandu bas yang curi tulang semasa bekerja. Semasa bekerja, melepak-lepak sambil merokok, curi tidur. Semua ingin kerja mudah, untung atas angin sahaja.”

“Bolehkan sekiranya saya memberi encik sebagai contoh dalam masalah ini?”

“Silakan, saya tak kisah,” ujar staf tersebut. Mujur beliau seorang yang mudah mesra dan dibawa berbincang.

Saya sengaja menimbulkan persoalan kepada staf tersebut. Secara tidak langsung mengingatkan diri saya sendiri yang bergelar staf pelajar bekerja di pejabat HEP. Gaji saya dibayar mengikut jam saya bekerja. Mudah bagi saya untuk mengaitkan perkara-perkara yang hampir dengan kehidupan seharian.

“Katakanlah gaji encik dibayar sebanyak RM 3000 atas masa encik bekerja di pejabat. Apabila terima gaji pada akhir bulan itu bererti termasuk sejam masa yang encik mengular (curi tulang). Sekadar contoh sahaja. Saya tahu encik seorang staf yang beretika. Hehe…”

Staf tersebut tersenyum dan mengangguk perlahan.

“Jika sejam itu ditukar kepada bentuk wang, agaknya berapa?” Tanpa mendapat jawapannya, saya menyambung, “Tak sampai RM 20 kan? Tetapi RM 20 itu cukup untuk membeli  sekilo beras, sekilo gula, dan beberapa ekor ikan bukan?”

Staf tersebut mengangguk lagi.

“Dan beras, gula atau ikan itu kita jadikan makanan untuk diri, isteri dan anak-anak kita.” Saya menyambung lagi, “Apabila wang yang sebegitu digunakan untuk membeli makanan anak isteri kita tentu sahaja hati mereka gelap.”

“Kenapa?”

“Bukankah hati dibentuk oleh makanan? Makanan yang haram akan menggelapkan hati.”

 

Saya teruskan lagi, “Iman kena dikuatkan. Lemah iman punca manusia sukar dikawal. Itu sebabnya ramai yang suka curi tulang semasa bekerja. Kalau dengan Allah pun liar, apalagi dengan manusia. Alangkah indahnya sekiranya mereka bekerja kerana Allah. Kita selesaikan masalah dengan Allah dahulu, mudah-mudahan Allah selesaikan masalah kita dengan manusia.”

Sekian

2 comments:

azwa amani said...

bagus kak aisyah,, smga kata2 kuta dapat merubah hati manusia menjadi lebh baik :)

pelangi sepi said...

muga jadi perangsang

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails