Friday, June 3, 2011



Assalamualaikum wbt

Alhamdulillah, hari ini saya diberi kesempatan untuk menulis lagi. Saya pun tidak tahu nak klasifikasikan tajuk entry saya ini sebagai apa, tapi saya hanya membiarkan jari jemari ini menaip dan berfikir.

Semalam, saya sempat berbual dengan rakan seperjuangan JMK, saudara Hafizan. Entah bagaimana kami boleh berbincang pasal topik kewangan terutama gaji yang bakal masuk dalam akaun. Masing-masing menanti gaji pertama yang dijangka masuk pada 10 Jun ini. Alangkah bagus sekiranya gaji masuk awal sekurang-kurangnya ada duit poket untuk ke Pulau Pangkor pada 7-10 Jun ini...hehe (ada kursus di sana)

Semalam keputusan biasiswa KPM juga telah keluar. Tahniah buat sahabat-sahabat yang berjaya.Hanya beberapa program pendidikan yang ditawarkan biasiswa tersebut. Hati sedikit cemburu. Sekurang-kurangnya mereka tidak perlu membayar balik pinjaman duit PTPTN yang berpuluh-puluh ribu.

Tidak mengapalah. Semoga Allah sentiasa melapangkan rezeki dan memenuhi segala kecukupan untuk saya dan rakan-rakan yang lain. Mungkin sekarang ini saya sedang diajar oleh-Nya erti sabar, kuat semangat, bersyukur dan bersederhana dalam kehidupan.


Ummi selalu berpesan supaya kita selalu berdoa kepada Allah agar dimurahkan rezeki. Amalkan solat sunat Dhuha setiap hari dan selalu bersangka baik dengan Allah.

Mungkin ini tarbiyyah dari Allah untuk saya supaya saya mengenal erti kehidupan sebenar. Sejak saya bekerja di Canselori dan menjadi guru tuisyen, barulah saya sedar bahawa bukan mudah ibu bapa kita mencari rezeki. Tambahan pula saya berasal dari keluarga yang besar. Abi dan ummi perlu menanggung kami enam beradik yang masih lagi sedang belajar. Tiga antara kami sudah memasuki universiti. Memerlukan kos yang tinggi. Tiga orang lagi masih berada di sekolah menengah.

Ummi juga pernah berkata kepada saya, walaubagaimana payah sekalipun, ummi dan abi mesti usahakan agar anak-anaknya dapat belajar asalkan kami bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Saya hanya mampu menitiskan air mata saat ummi bercerita.


Saya juga selalu berpesan kepada adik-adik saya supaya mereka belajar bersungguh-sungguh. Hargai jasa ummi dan buatlah ummi dan abi tersenyum bangga melihat kejayaan kita adik-beradik. Jangan sibuk fikir perkara lain, fokus pada study.

Alhamdulillah, kedua-dua orang adik saya yang menuntut di UPM berjaya mendapatkan biasiswa JPA, setidak-tidaknya dapat meringankan bebanan ummi dan abi.


Sehingga sekarang saya masih lagi tidak jemu mencari lubang-lubang penaja atau biasiswa mahupun bantuan dari mana-mana pihak. Saya akui bahawa persaingan amat tinggi terutama dalam kalangan mahasiswi. Sejujurnya, keperluan sebagai seorang student terlalu banyak dan kini harga barang semakin meningkat. Kos sara hidup juga semakin tinggi.

“Duit bukan segala-galanya tetapi segala-galanya memerlukan duit”

Kadang-kadang saya letih berfikir tentang duit. Sehinggakan saya menangis sendiri.

Abi bukanlah seorang kakitangan kerajaan yang mempunyai pencen, manakala ummi adalah seorang guru tadika. Berapalah sangat gaji mereka untuk membiayai kami adik-beradik yang semuanya masih lagi belajar. Seboleh-bolehnya saya tidak mahu meminta duit melainkan di tanya.


Sebagai anak sulung, biarlah saya belajar hidup berdikari tanpa mengharapkan orang lain. Biarlah saya mendidik diri agar menjadi insan yang tabah. Apa yang penting, saya mahu habiskan pengajian ini tepat pada masanya supaya saya dapat menggembirakan hati kedua ibubapa saya dan juga membalas jasa-jasa dan penat lelah mereka. Saya mahu merealisasikan impian saya sebagai seorang pendidik.

Semoga saya diberi peluang untuk menyenangkan hati mereka. Semoga saya diberi peluang untuk membuat mereka rasa sedikit bangga. Semoga saya diberi peluang untuk memberi mereka rasa gaji pertama saya. Semoga saya diberi peluang untuk memberi mereka hidup yang lebih selesa. Semoga saya diberi peluang untuk posting di sekolah berhampiran dengan rumah. Semoga saya diberi peluang untuk memberi yang terbaik buat mereka pula.

Semoga Allah memberi peluang pada saya untuk melaksanakan semua itu. Semoga Allah memudahkan jalan ini. Semoga Allah meminjamkan saya sedikit kekuatan-Nya untuk saya meneruskan perjuangan ini. Semoga Allah merahmati kedua ibubapa saya setiap masa.



Siapa pun anda yang terbaca entri ini, saya mengharapkan doa dari kalian semua agar setiap langkah dalam hidup saya dipermudahkan dan dirahmati-Nya insyaAllah.

Ingatlah, ketika anda merasakan susah, janganlah mengeluh kerana ada lagi yang lebih susah dari anda. Ketika anda berasa senang, janganlah kufur dan melupai Dia. Segalanya milik Allah. Daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya kita kembali.

Semoga saya terus diberi kekuatan.

2 comments:

azwa amani said...

semoga kita semua kuat dan dimurahkan rezeki oleh NYa..

aLysA maIsaRah said...

amin...moga aisyah dalam limpah dan rahmat ALLAh sentiasa....

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails