Wednesday, February 23, 2011

NIKMAT SIBUK



Nikmat kesibukkan pada diri Aisyah benar-benar terasa. Mana tidaknya, kini Aisyah melakukan tugas-tugas penajaan sempena program Pesta Buku dan Informasi. Mencari penaja bukanlah satu kerja yang mudah. Bukan mudah nak cari pihak yang sanggup menaja ribuan ringgit sekiranya tidak kena cara yang betul. Belajar menajamkan skill berkomunikasi serta berurusan dengan pengarah-pengarah syarikat terutamanya syarikat penerbit buku. Cuak juga kerana kita membawa nama universiti dalam berurusan dengan pihak luar. Sekiranya ada cacat cela dan kelemahan, buruklah nama universiti. Seperti biasa, urusan surat-menyurat, faks, semak emel bagi menerima maklum balas, follow up penaja untuk confirmation dan sebagainya.Biarpun sekarang ini minggu kritikal dengan tugasan, midterm dan quiz.

Selain itu, selaku Exco Kediaman, biro Aisyah sedang sibuk dengan gerak kerja program ke rumah anak-anak yatim di Bukit Beruntung pada 6 Mac 2011. Tujuan program ini adalah untuk mengajar anak buah atau rakan exco (REXCO) bagaimana untuk melaksanakan sesebuah program dari segi aktiviti, teknikal, pengangkutan, cenderahati, protokol,media,urusan kewangan(bendahari) supaya tidak over bajet yang diperuntukkan dan juga surat-menyurat(s/u). Dalam pada masa yang sama sedang menilai rexco yang bakal menggantikan tempat Aisyah pada sidang akan datang. Maklum sahaja kami JMK akan habis sidang dalam beberapa bulan sahaja nanti. So, kena cari bakal-bakal pengganti dari sekarang dan menerapkan mereka elemen-elemen kepimpinan. Aisyah akui, Aisyah juga masih dalam proses belajar dan kita bukanlah insan yang sempurna, tetapi kita cuba belajar dan kongsikan ilmu serta pengalaman yang kita ada pada orang lain.

Sebenarnya ada sesuatu yang ingin Aisyah kongsikan buat pengunjung-pengunjung blog Aisyah Mawaddah. Entah mengapa terasa banyak perkara untuk diluahkan pada entry kali ini sedangkan banyak kerja yang menanti. Mungkin setelah curahkan segala apa yang terbuku di dalam fikiran, Aisyah akan berasa lega. Rasa-rasanya macam berkaitan dengan apa yang sedang Aisyah alami sekarang ini.

Aisyah ingin petik satu hadis Nabi s.a.w. yang mafhumnya bermaksud:

Daripada Abdullah ibn Abbas r.a. Nabi s.a.w. bersabda: " Dua nikmat yang ramai manusia sering dilupakan oleh manusia: Nikmat kesihatan dan masa lapang." (HR Bukhari)

Dalam sedar atau tidak, menyibukkan diri menjadi salah satu jalan yang dapat kita telusuri agar tidak tergolong dalam dua golongan yang disebut oleh baginda ini.

Menonton movie dari pagi sampai ke petang.

Berjalan-jalan dan merayau-rayau di pusat membeli belah tanpa tujuan.

Melayari internet tanpa memurnikan isinya seperti chatting, facebook, video-vidoe lucah.


Dating dengan ‘pasangan’, maklumlah UPSI ini terkenal dengan title ‘ Universiti Pertemuan Suami Isteri’

Ini juga bentuk-bentuk menyibukkan diri. Namun bukan ini yang Aisyah maksudkan. Sibuk yang Aisyah maksudkan sudah tentu datang dengan syarat-syaratnya. Misalnya, sibukkan diri dengan amal islami.

Masalah ummah ini banyak. Tinggal kita sahaja memilih untuk membantu menyelesaikannya atau sebaliknya.

Tidak keterlaluan untuk Aisyah katakan, menyibukkan diri ini adalah salah satu tanda syukur kita pada Allah. Apabila kita sibuk, tiada ruang untuk kita membazir masa. Tidak sempat kita berbicara yang lagho-lagho. Tidak terlintas di fikiran kita untuk bermaksiat padaNya. Tidak sampai niat kita untuk kita mengumpat dan menzalimi sesiapa.

Namun sibuk itu mestilah yang bersyarat. Sibuk yang melorong kita menggapai redhaNya. Sibuk yang membawa kita menyentuh kasih sayangnya. Sibuk yang di dalamnya terisi penuh dengan program-program yang membuka hati kita betapa luas sifat pengampunanNya. Bukannya sibuk dengan perkara-perkara yang melalaikan dan menjauhkan kita dariNya.

Kata bijak pandai,

“Hanya orang yang sibuk punya masa.”

Berilah kerja kepada orang yang sibuk, necaya dia akan mampu laksanakannya. Seseorang yang sibuk akan lebih peka terhadap masa. Terasa sia-sia menonton televisyen yang rancangannya hiburan semata-mata. Terasa rugi membiarkan lima belas minit masa untuk menunggu bas tidak diisi dengan aktiviti membaca atau berzikir sekurang-kurangnya. Terasa berdosa andai isi percakapannya yang lagho-lagho sahaja. Terasa menyesal andai menyambung tidur selepas Subuh. Menyusun kerja sudah tentu menjadi rutinnya agar setiap tugas yang dibebankan di pundakknya mampu diselesaikan dengan saksama.



Adakalanya, orang-orang yang memegang taklifan, tugasan atau assignment mereka siap terlebih dahulu berbanding dengan mereka yang biasa-biasa sahaja. Biarpun mereka sibuk dengan pilihanraya, rakan penggerak ad-din (usrah), program-program kolej dan universiti namun keputusan peperiksaan mereka masih lagi gempak dan cemerlang. Serta melayakkan mereka posting terlebih dahulu.



Buat sahabat-sahabat yang Aisyah kasihi, jangan takut untuk sibukkan diri dalam perjuangan Islam ini. Kita bukan pencetus dan bukanlah pengakhiran tetapi kita adalah utaian rantai-rantai perjuangan. Masa kita memang tidak sama dengan orang lain. Apabila diri kita telah disenaraikan dalam perjuangan, maka cara hidup kita berubah dan berbeza dengan generasi umum. Sahsiah mesti ditingkatkan, akhlak mesti dijaga, fikrah mesti semakin jelas, daya fikiran mesti semakin matang.

Justeru, rungsinglah hati andai tidak berbuat apa-apa dengan nikmat masa lapang. Sebaliknya syukuri dan nikmatilah peluang sibuk yang Allah berikan buat kita. Andai tidak sibuk, menyibuklah anda dengan kesibukan bersyarat

2 comments:

azwa_amani said...

awin ska bace entry akak..baik tumbesaran...huhuhu

na ana said...

universiti pertemuan suami isteri???huhu

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails