Tuesday, August 27, 2013

JODOH

“Aisyah,  bila hang nak kahwin? Geng-geng kau semua dah kahwin cuma ko je yang belum lagi”.

Tersentap aku mendengar pertanyaan sedemikian. Tup, tup dapat soalan direct tanpa berkias dan muqaddimah. Aku cuba bersifat cool dan tersenyum.

“ Kan Aisyah tengah sambung study ni. Mungkin belum sampai masa lagi. Ko tak payah risau, nanti bila Aisyah dah sedia, I will invite you ok.”

“ Nak sedia apa ke benda? Ko sendiri yang tak pernah usaha dan mencari pasangan. Asyik duk sibuk dengan program, bisnes, study. Takkan sorang pun ko tak berkenan? Ko pun dah sambung master, tak bimbang ke kalo orang lelaki di luar sana takut nak lamar ko?”

Aku cuba menarik nafas sedalam-dalamnya. Aku tidak seperti kebanyakkan wanita. Mudah cair dan hanyut dengan ayat-ayat cinta yang dilafaz penuh romantis dari Sang Arjuna.  Masing-masing punyai pendirian dan pendapat tersendiri tentang jodoh dan perkahwinan.

Perkahwinan adalah dua ikatan dua individu berbeza. Berbeza latar belakang, pendidikan, emosi, cara berfikir, cara bertindak, hubungan kekeluargaan, status ekonomi dan lain lain. Cabaran terbesar perkahwinan adalah menangani perbezaan yang selalu menyebabkan konflik. Jadi cara untuk menyelesaikannya adalah :

1. Rapatkan jurang perbezaan
2. Sentiasa berbincang
3. Bertolak ansur menerima kekurangan masing masing

Kau kahwin dengan budak *ehemehem* atau bukan *ehemehem* sama je perbezaan di atas yang kau akan hadapi. Tapi kalau kau kahwin dengan yang bukan *ehemehem* tambah satu lagi perbezaan yang kau kena selesaikan....iaitu perbezaan fikrah."

Semasa aku masih dalam pengajian degree pernah juga ditempatkan dengan orang roommate yang berlainan fikrah. Ya Allah, betapa tidak serasi dan tidak selesa. Biarpun kami tidak pernah bermasam muka dan bertengkar. Masing- masing membawa diri. Bukan aku tidak pernah mengajak dia keluar bersama, aktiviti bersama, study bersama tetapi zup dan aura belum hadir. Aku cuba bayangkan seandainya bila mana aku sudah berkahwin nanti, pasangan yang bagaimana aku inginkan? Adakah aku dapat menerima dia sepenuh jiwa sekiranya diantara kami sendiri ada perbezaan fikrah?

Jika saat ini kita masih sendiri, itu bukan bererti JODOH terlambat datang, tapi waktunya saja yg belum tiba buatmu menemukan dirinya pasangan tulang rusukmu. Usah risau dgn sendirimu, usah bertanya-tanya yang hanya membuatmu kian gusar & gelisah.

Tapi sebaiknya, cubalah terus perBAIKI diri, bergaul dgn orang² BAIK & SOLEH/AH, jangan lupa JAGA prasangka & niatmu utk menemukannya krn dari sanalah sesungguhnya akan mendekatkan dirimu pd apa yang kita cari, kita inginkan & kita harapkan.


Monday, March 11, 2013

UPTA



Assalamualaikum wbt.

Duhai hati, apa khabar iman hari ini? Wujudkah Allah dalam detik hati kita saat ini? Mari kita bermuhasabah. Apa khabar  pembaca setia Aisyah Mawaddah? Syukur diberi kesempatan masa untuk mencoretkan sesuatu. Ya Allah, berkatilah setiap detik masa yang ada ini agar tidak menjadi sia-sia.

InsyaAllah, jika diizinkan Allah, lebih kurang 3 bulan lagi saya akan menamatkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dan bakal bergraduasi pada pertengahan September nanti. Hampir 4 tahun  saya bergelar sebagai mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris. Saya gembira kerana bakal menamatkan pengajian dalam bidang pendidikan dan bergelar seorang pendidik. Itulah cita-cita saya untuk menjadi seorang guru.

Dada saya semakin sesak memikirikan masa yang mendatang. Kadang-kadang saya keliru dengan perasaan saya. Bermacam-macam perkara yang bermain dalam fikiran saya. Saya merasakan bahawa masih banyak lagi kekurangan ilmu di dada. Namun, dalam masa yang sama, saya sedih untuk meninggalkan UPSI. Di sinilah tempat yang banyak mengajar saya pelbagai perkara. Bumi murobbi ini jugalah yang banyak melakar kenangan pahit dan manis saya meniti zaman remaja saya dalam mentarbiahkan diri ini untuk menjadi siapa saya sekarang. Dan yang paling indah, Allah menemukan saya dengan sahabat-sahabat yang sama fikrah, sama akidah dan  sama perjuangan. Di sini jugalah saya lebih mengenal diri saya dan matlamat hidup saya yang sebenar. Terkadang saya merasakan terlalu rugi masa-masa yang telah saya bazirkan pada semester-semester pertama di sini. Jika masa boleh berputar kembali, saya akan manfaatkan sebaiknya. Oh, saya pasti merindui  UPSI dan segala isinya.

Saya juga telah merancang akan masa depan saya. Pertama sekali saya teringin sangat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Master dan PhD. Saya pernah mengutarakan hasrat ini kepada ummi, ummi hanya mendiamkan diri. Saya mengerti perasaan ummi, sebagai anak sulung dalam adik-beradik saya perlu membantu dalam meringankan beban yang dipikul di atas bahu ummi dan abi dalam membesarkan kami adik-beradik dan memastikan pelajaran kami terus terjamin. Satu lagi, ummi bimbang sekiranya saya belajar tinggi-tinggi sangat nanti tiada siapa yang berani nak masuk meminang. “ Dah habis degree kahwin dulu, then baru sambung Master & PhD”…hahaha. Calon pun tiada, apatah lagi nak fikir soal kahwin.  Bukan itu sahaja, antara harapan yang begitu besar buat ummi adalah meminta saya untuk membantu kawasan dalam gerak kerja dakwah dan politik. Getus dalam diri, “Baru je berangan-angan nak study kat oversea”. Yang paling lucu, ummi beriya-iya carikan kerja untuk saya. Ummi kata “Aisyah mengajarlah kat MRSM Parit tu, dekat sikit. Tak payah posting jauh-jauh. Ummi dah tanya kawan-kawan ummi kat situ, memang ada kekosongan cikgu Matematik.” Ummi cuba memujuk saya supaya saya tidak ditempatkan mengajar di sekolah yang jauh terutama Sabah dan Sarawak. Saya hanya mengukir senyuman. Saya tahu ummi sangat menyayangi saya sebab itu beliau sentiasa memberi pendapat dan pandangan  dalam saya mengatur perancangan hidup.


Number One For Me

Ummi yang banyak memberi suntikan semangat buat saya tidak kira dalam akademik mahupun dakwah.
*p/s : Akibat tidak lama menulis, bila baca semula tidak ubah seperti karangan budak sekolah.  

Tuesday, January 22, 2013

AISYAH CRAFT




Assalamualaikum wbt.

Sudah lama tidak menulis di sini. Dah bersawang pun blog ni. Sejak akhir-akhir ini, saya agak jarang menjengah blog. Baik blog sendiri, mahupun blog sahabat-sahabat lain. Mungkin kerana Facebook lebih mendapat sambutan, lebih mudah dan lebih cepat & banyak update. Mungkin.  Saya pun, bukanlah selalu punya 'masa lebih' untuk melayan alam maya (konon). Setiap masa yang ada, terisi dengan tuntutan tersendiri. Ya Allah, berkatilah setiap detik masa ada ini, agar tidak sia-sia.

Alhamdulillah, diberi kesempatan masa menulis. Maklumlah hari ini bos tiada di pejabat. Outstation..hehe. Mengambil peluang yang ada ini untuk mencoret sesuatu.

Sebenarnya saya dah lama start cuti sejak bulan Oktober  yang lepas. Tapi dalam kamus hidup saya tiada istilah cuti. Lepas habis praktikal terus masuk kerja. Orang famous memang sentiasa menjadi rebutan. (Perasan…). Seperti biasa jadual pejabat masuk 8.00 pagi habis kerja jam 5.00 petang. Yang paling seronok rakan sekerja saya adalah sahabat-sahabat JMK. Waduh, kami dah kenal sejak semester 1 lagi. Boleh dikatakan kami agak rapat, biarpun selalu je bergaduh. Teettt…!! Yang paling gembira result praktikal kami semua dapat 4.00 flat. Syukur sangat.

Bagi yang mengenali diri saya, mungkin mereka tahu bagaimana sikap dan tingkah laku saya. Hahaha… biarpun saya ini boleh dianggap paling muda (perasan lagi, yelah…dorang semua lahir tahun 1989 tapi saya 1990), saya akan cuba mencari sesuatu perkara atau idea yang best agar hari-hari yang kami lalui di UPSI ini menarik.  Ada sahaja cadangan idea yang saya lontarkan.

Kali ini saya cadangkan kawan-kawan untuk berniaga. Tak perlu modal besar pun. Kalau perasan di facebook saya, saya ada upload gambar-gambar felt craft. Sebenarnya saya tak sangka saya ni amat berbakat dalam bidang jahitan rupanya… (Perasan lagi…lalala). Kami share duit beli barang-barang craft seperti kain felt, benang, butang, fibre, hiasan yang comel2.  Tak sampai pun RM 100 pun modal yang kami keluarkan. Saya mencari supplier yang jual murah sahaja. Kebanyakkan barang saya beli online.

Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan, ramai yang tempah hasil craft kami. Sampai tak menang tangan nak buat. Tapi saya akan stop sementara mulai bulan Feb hingga Jun untuk memberi laluan masa menghabiskan semester terakhir saya di UPSI. Insyaallah saya akan teruskan jahitan craft sementara menunggu posting or sambung master. Doakan saya ye.






Wednesday, August 8, 2012

VISI HIDUP


Alhamdulillah biarpun cuti hanya 3 hari, saya sempat bertemu beberapa orang sahabat dan ketemu adik-adik sefikrah dan seperjuangan. Bertanya khabar sesama sendiri.Melihat ketekunan mereka melaksanakan program itu dan ini, mengingatkan saya akan zaman memegang taklifan suatu ketika dahulu. Bermacam-macam perkara yang saya pelajari.

“Kak Aisyah, saya teringin nak jadi macam akak.” Ujar salah seorang adik.

“Aik…?? Kenapa nak jadi macam akak pula?” soalku.

“Saya tengok Kak Aisyah ni selalu ceria, gembira dan macam tak de masalah. Senyum sokmo. Lepas tu macam mana akak boleh buat banyak kerja dalam satu masa?”

Pada ketika itu agak berat untuk saya memberikan jawapan. Mungkin tiada skema jawapan kot. Mungkin. Hmm…

Sedarlah, dunia ini tempat ujian, maka hati memerlukan visi yang jelas untuk menuntunnya sampai penghujung usia. Memiliki visi yang jelas dan terang membolehkan hati menzahirkan peradaban yang utuh bagi menggambarkan jiwa seseorang.

Saya juga merupakan seorang manusia yang lemah dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Saya selalu meletakkan bahawa saya mampu melakukan biarpun tidak tahu. Yang penting kena cuba dan rajin sahaja.

Nabi saw juga bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah menyukai seorang hamba yang melakukan kerja dengan tekun.”

Tekun di sini bererti teliti, cermat, berkualiti, terancang dan rapi. Kerja pula merangkumi segala aspek, sama ada kerja dunia, mahupun ibadah khusus seperti solat dan puasa. Agama Islam menuntut penganutnya rajin bekerja, sentiasa berusaha dengan tidak mengabaikan amalan fardhu. Islam membenci manusia yang pemalas dan memberikan sejuta alasan untuk berkhidmat. Insyaallah, dengan belajar dan bekerja dengan tekun, natijahnya adalah kejayaan.

Pelajaran yang cemerlang dan profesion yang mantap mampu menjadikan muslim itu lebih baik. Dengan adanya generasi Mukmin yang membudayakan kesungguhan dan kegigihan ini, maka zahirlah wajah Islam yang indah dan teguh. Inilah visi untuk hati yang harus direalisasi.

Akhir kalam, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan tahniah dan takziah buat sahabat-sahabat seperjuangan dalam memegang taklifan pada sesi kali ini. Semoga kita semua dapat menjadi sebuah pasukan yang menjadi ikon dalam bergerak kerja.

Sunday, August 5, 2012

NUZUL QURAN


Assalamualaikum wbt.

Sudah 17 Ramadhan,its Nuzul Quran.

Al-Quran adalah Kitab Allah (Kitabullah). Al-Quran mengandungi wahyu atau ayat-ayat Allah  yang diturunkan secara langsung oleh Allah melalui malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w

Oleh itu Al-Quran tidak boleh disamakan dengan kitab-kitab yang lain. Membaca Al-Quran adalah satu amalan ibadah yang sangat utama. Orang yang membaca Al-Quran hendaklah mengamalkan adab-adab membaca Al-Quran supaya dapat mengambil manfaat sebanyak mungkin daripada pembacaannya.

Begitu tinggi kedudukan orang yang membaca Al-Quran di sisi Allah sehingga Allah menyebut orang yang membaca Al-Quran itu di dalam ayat yang sama dengan orang yang mengerjakan solat dan menginfakkan (mendermakan) harta. Orang yang membaca Al-Quran berserta dengan adab-adabnya akan disempurnakan pahala dan ditambahkan kurnia oleh Allah.

Rasulullah bersabda:
خيركم من تعلم القرآن وعلمه
“Sebaik-baik orang di antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.”

Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu bahawa beliau berkata: “Saya mendengar Nabi Sallallahu’alaihiwasallam berkata:
اقرؤا القرآن فانه يأتى يوم القيامة شفيعا لاصحابه
“Bacalah olehmu sekalian akan Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu akan menjadi penolong bagi para pembacanya pada Hari Kiamat.”

Jatuh cinta dengan orang yang jatuh cinta dengan ALQURAN. Kecintaan pada AlQuran adalah kecintaan kepada Agama. Kecintaan kepada Agama adalah kecintaan kepada Allah. Dan sungguh, kecintaan kepada Allah adalah segala-galanya.


Sejuk mata melihat pelajar-pelajar membawa dan membaca Al-Quran ke hulu ke hilir, mengimarahkan bulan berkah dengan bacaan Al Quran.

Alhamdulillah, biah sebegini ini ada di sekolah saya.

Salam Ramadhan Kareem.

TARBIYATUL AULAD


Assalamualaikum wbt.

Terasa lama tidak berkongsi sesuatu di blog ini. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini saya begitu tertarik melihat anak-anak kecil terutama anak murid ummi saya di PASTI. Saya juga pernah berpengalaman mengajar anak-anak PASTI setelah menamatkan pengajian peringkat matrikulasi sebelum mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang pendidikan.

Sejuk hati ini melihat kerenah mereka.  Sedari kecil telah didik dengan erti jihad dan perjuangan. Tiba-tiba perasaan memiliki anak-anak seperti itu menerpa ke dalam diri. Bercita-cita mempunyai anak-anak yang diberi tarbiyatul aulad.

Sangat menarik bila kita mengambil contoh nyata dari aplikasi Sang syahid Dr Abdullah Azzam bagaimana beliau cuba menjauhkan anak-anaknya dari cinta dunia yang menjadi punca utama kemalapan api jihad. Dalam wasiatnya beliau menyeru :

Wahai kaum wanita!
Jauhilah kehidupan mewah dan megah kerana kemewahan itu musuh disamping akan merosak jiwa manusia. Hindarilah barang-barang yang tidak terlalu penting dan cukupkanlah dengan keperluan primer. Binalah anak-anak kalian untuk menjadi orang yang berani dan siap berjihad. Tanamkanlah jiwa anak-anak kalian cinta jihad dan perjuangan. Hiduplah dengan penuh perhatian terhadap masalah kaum muslimin. Biasakanlah paling tidak sehari dalam sepekan hidup menyerupai kehidupan kaum Muhajirin dan Mujahidin yang hanya memakan sekerat roti kering dan beberapa teguk air.

Wahai anak-anak!
Jauhkanlah diri kalian dari bualan lagu-lagu dan muzik-muzik orang-orang pengumbar nafsu. Jauhkanlah punggung kalian dari kasur orang-orang yang hidup bermewah-mewahan.

Seruan ini sangat relevan dan boleh diaplikasikan. Ini semua bergantung dan terpulang kepada ibubapa yang benar-benar serius dan benar-benar cintakan perjuangan ini. Ia hanya boleh diaplikasikan oleh mereka yang mengerti benar bahawa kecenderungan kepada duniawi hanya menyeret jiwa-jiwa manusia yang mudah tertipu dengannya agar melupakan kewajipan besar yang menunggu.

Apabila bibit-bibit jihad telah menyerap ke dalam jiwa anak-anak, kita mengharapkan semoga Allah SWT terus membuka hati dan ruang yang luas kepada mereka untuk berjuang bagi mengembalikan izzah Islam dan umatnya.

Disamping itu perlu ditekankan bahawa jihad dakwah ini mestilah beriringan dengan islah diri sendiri dengan mengambil semangat dari kata-kata, “Perbaiki diri kamu dan serulah orang lain.”

Wednesday, May 16, 2012

KARTUN


Assalamualaikum wbt.

Terlebih rajin pula nak update entry blog hari ini. Saya akui, saya tidak aktif seperti dulu atas kekangan masa. Insyaallah pada kali ini, saya cuba untuk manfaatkan masa yang ada untuk berkongsi dengan pembaca setia blog Aisyah Mawaddah.

Kalau sebelum ini, rumah saya 1-1-14 menjadi tumpuan kanak-kanak terutama anak pensyarah selaku felo memandangkan rumah kami ini terletak di aras yang special sikit. Balik sahaja sekolah, terus kanak-kanak menerpa ke rumah saya. Dari luar jelas kedengaran,

 “Assalamualaikum Kak Aisyahhh….buka pintu boleh?”

Tu diaa…depa dah mai (getus dalam hati).

Sejujur dengan kehadiran mereka dapat mengubat segala keresahan yang melanda di dalam jiwa biarpun terlalu banyak tugasan. Melihat muka mereka, semua masalah dan kebuntuan terus hilang. Itulah, wajah-wajah anak yang masih suci bersih tanpa secalit dosa.

Memandangkan mereka suka sangat bertandang ke rumah saya, tup tup ummi mereka meminta saya untuk mengajar tuisyen dan membantu mereka dalam membuat kerja sekolah. Melihat keletah mereka membuatkan saya dan housemate tidak kering gusi. Cerdik sungguh!!

Adakalanya, kami melayan mereka dengan menonton cerita kartun. Masa saya kecil juga saya turut meminati kartun, maka tidak hairanlah mengapa kanak-kanak hari ini suka menonton kartun sampaikan housemate bilik sebelah turut terheret sama.

Individu-individu yang suka datang bilik saya...comel kan?? 

Kartun penuh dengan dunia khayalan. Kadang-kadang perkara yang tak logik pun berlaku. Contohnya, jatuh dari tempat yang tinggi tapi tak mati mati pun. Paling-paling pun penyek sekejap, then boleh bangun balik. Kalau kulit dia luka atau koyak, cepat je baik balik. Kalau kepala terhantuk atau di pukul, kepala benjol atau kemek atau pecah, lepastu sekejap je elok balik.

Macam tak logik kan? Sampaikan dulu-dulu saya rasa boleh percaya bahawa dunia kartun itu wujud.( 14 tahun yang lepas)

Tapi sekarang, kadang-kadang bila tengok cartoons dan cuba menilai dan mengambil pengajaran yang terbaik, perkara yang seems ridiculous tu la yang boleh remind us about something.

Ye ke? How?

It happens in Hereafter. Dan Allah ada menyatakannya dalam Al-Quran perihal azab api neraka.

"Sungguh, orang-orang yang kafir kepada ayat-ayat Kami, kelak Kami akan masukkan ke dalam api neraka. Setiap kali kulit mereka hangus, Kami ganti dengan kulit yang lain, agar mereka merasakan azab. Sungguh, Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana" (An-Nisa :56)

Dan ingatkah kita pada peristiwa yang berlaku semasa Rasulullah s.a.w di Mikrajkan dari Baitul Maqdis hingga ke langit ke tujuh untuk bertemu Allah s.w.t?

Peristiwa di mana Allah s.w.t memperlihatkan pelbagai gambaran kejadian aneh dan pelik sebagai balasan Allah s.w.t kepada hamba-hambaNya terhadap apa yang telah mereka lakukan semasa hayat mereka.

Dan antara kejadian pelik dan aneh itu adalah Baginda di perlihatkan sekumpulan manusia yang memecahkan kepalanya sendiri. Kemudian kepala mereka elok semula. Dan kemudian mereka memecahkan kembali kepala mereka lagi. Dan ia berlaku berulang-ulang.

Juga sekumpulan manusia yang memotong lidahnya sendiri. Kemudian lidah mereka elok semula. Dan mereka memotongnya lagi. Dan ia berlaku berterusan.

Dahsyat kan? Lagi dahsyat dari cerita yang dalam karton tu.

Sekarang, logik tak?



SELAMAT HARI GURU



Bismillahirrahmanirrahim.

Selamat Hari Guru saya ucapkan buat semua insan bergelar pendidik secara formal mahupun tidak formal.

Ucapan ini saya layangkan khas buat ummi tercinta, Puan Rushida bt Elias, guru PASTI Parit serta warga pendidik SK Subang Jaya, SK Seksyen 19, Shah Alam, SK Taman Cuepacs Cheras, SK Iskandar Shah Parit, SMK Sultan Muhammad Shah Parit, MRSM Pasir Salak, Kolej Matrikulasi Perak dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Tidak lupa buat semua sahabat yang bakal bergelar pendidik terutama teman-teman UPSI dan IPG. Terasa sweet kot apabila kalian membalas ucapan ‘Selamat Hari Guru’.

Akhir sekali, terima kasih buat semua insan yang hadir dalam kisah kehidupan saya,anda juga mengajar saya tentang sesuatu walaupun kadang-kadang saya tidak menyedarinya.:)

Terima Kasih atas ilmu yang dicurahkan.

Semoga Allah membalas jasa kalian semua.

Thursday, April 26, 2012

TEMAN MENCERMINKAN DIRI KITA


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah diberi ruang dan peluang waktu untuk mencoretkan sesuatu di blog ini. Hari ini saya ingin berkongsi berkaitan sahabat ataupun teman.

Buat pembaca blog yang dikasihi sekalian.
Memilih teman sangat penting kerana teman bukan sekadar bermain dan belajar sahaja, malahan ia mencerminkan siapa kita. Sayidina Abdullah bin Mas’ud pernah berkata, “Nilailah seseorang dengan temannya. Ini kerana seseorang hanya berteman dengan orang yang satu jenis dengannya.”

Buat adik-adik yang bakal melanjutkan pelajaran ke IPTA, kolej matrikulasi, sama ada di dalam mahupun di luar negara, ingatlah bahawa kita mesti bijak dalam memilih sahabat. Berteman dengan cerdik pandai mengajar kita menggunakan masa dengan efektif. Tokoh yang berjaya dalam hidup sangat memilih dalam pergaulan. Ia sedar, tersilap memilih teman dapat merosakkan akhlak dan budi pekerti, bahkan merosakkan hidup seluruhnya.

Jadi, siapakah orang yang boleh kita jadikan teman? Untuk menjawab persoalan ini, mari kita hayati nasihat-nasihat para ulama berikut:

Berkata Imam al-Syafie: “Sesiapa yang tidak menyukai ilmu, maka tiada kebaikan pada dirinya. Maka, janganlah ada ikatan perkenalan dan persahabatan antara dirimu dengan dirinya.” Diriwayatkan al-Baihaqi dalam Kitab ‘Manaqib al-Syafie’.

Tanpa ilmu, manusia tidak berbeza dengan haiwan. Ia tidak mengenal Allah dan tidak tahu hukum-hukum agama. Pemuda Islam yang cinta akan ilmu suka bergaul dengan orang berilmu yang menambah dan mencambahkan ilmunya. Ia tidak suka berteman dengan orang yang tidak mencintai ilmu kerana orang seperti ini hanya mengganggu langkahnya menuju Allah swt.

Selain berilmu, seorang teman yang baik mestilah memiliki sifat-sifat yang disebutkan oleh Ibn Ataillah al-Sakandari. Beliau berkata, “Janganlah berteman dengan orang yang tidak meningkatkan keimananmu, dan ucapannya tidak menunjukkan dirimu kepada Allah.” Demikian ucapan beliau sebagaimana dalam kitab ‘Al-Hikam’.

Ini bermakna, kita perlu mencari teman-teman yang dekat hubungannya dengan Allah. Yakni, teman yang apabila kita lihat perbuatannya, membuat kita ingin mengikut dan meneladaninya. Jika kita mendengar ucapannya, ia mengingatkan kita kepada Allah, Rasul-Nya dan hari akhirat.

Jika ada orang seperti ini, maka jadikan ia teman kerana ia akan memberi manfaat kepada kita di dunia dan akhirat. Sesiapa yang merindukan kawan seperti ini, hendaklah ia mempraktikkan semua sifat ini terlebih dahulu pada dirinya. Jadilah seseorang yang anda cari, nescaya orang itu akan dating kepada anda.

Friday, April 20, 2012

APABILA PELAJAR MENEGUR


Sebuah mesej memasuki kantung pesanan Facebook. Sejak meninggalkan sekolah itu, pelajar-pelajar masih tetap menghubungi saya menggunakan pelbagai medium. Ternyata mereka amat memanfaatkan kecanggihan teknologi.

“Ustazah, bagaimana mahu menegur guru-guru perempuan supaya menutup aurat dengan sempurna? Saya sukar hendak belajar apabila guru perempuan memasuki kelas. Tumpuan saya terganggu,” luah pelajar lelaki yang semakin meningkat remaja itu.

“Kenapa?”

“Ustazah faham-fahamlah. Saya dan kawan-kawan terpaksa memejamkan mata kerana pakaian guru yang nipis serta jarang. Jadi, untuk mengelak melihat aurat mereka, kami memerhatikan bayang-bayang tangan mereka sahaja sewaktu mengajar.”

Saya terpempan. Tidak menduga pelajar yang baru belasan tahun sudah begitu peka deria imannya.
Sebagai jalan terakhir, pelajar tersebut tadi telah berpakat bersama kawan-kawannya untuk menulis sebuah pesanan bagi diletakkan di atas meja guru perempuan tersebut sebagai sebuah teguran.


“Guru, bagi kami kamulah ibu. Meski kami bukanlah daripada kantung rahimmu, tetapi hakikat kamu sebagai ‘ibu yang mendidik’ langsung tidak kami ragui. Tanpa dirimu siapalah kami, pasti dalam kebutaan dan kejahilan selamanya. Terima kasih ibu dan guru! Tetapi, tahukah kamu wahai ibu, anak-anakmu ini dilanda kesedihan dan kerisauan yang berat. Setiap kali kamu memasuki kelas, hati kami gembira. Namun, apabila kamu mula menulis di atas papan putih bersih itu, kami mulai bimbang. Bagaimana tidak, andai setiap kali kamu mahu mencurah ilmu, kamu turut mendedahkan auratmu yang sepatutnya ditonjolkan hanya kepada suami dan orang yang halal untukmu. Meyakini kamu tidak menyedari perkara ini, kami mengambi kesempatan ini untuk memberitahu. Tolonglah wahai ibu, kami menyayangimu dan tidak mahu kamu terus-terusan ‘dihukum’ atas perbuatan mulia yang kamu lakukan (mengajar). Dan, bantulah kami agar perasaan dan hati kami tenteram semula ketika belajar. Wahai guru, semoga kamu dapat menerima kata-kata anak-anakmu ini dengan rela hati. Tidaklah kami melakukan ini melainkan kerana menyayangimu. Halalkanlah ilmu yang telah kamu curahkan, wahai ibu! 


Pelajar Tingkatan 4 ABM di SMK Vokasional Slim River

Sesi P&P (Makroteaching)

Fasa sesi penilaian. Matematik itu Mudah


LinkWithin

Related Posts with Thumbnails