Assalamualaikum
wbt.
Duhai
hati, apa khabar iman hari ini? Wujudkah Allah dalam detik hati kita saat ini?
Mari kita bermuhasabah. Apa khabar
pembaca setia Aisyah Mawaddah? Syukur diberi kesempatan masa untuk
mencoretkan sesuatu. Ya Allah, berkatilah setiap detik masa yang ada ini agar
tidak menjadi sia-sia.
InsyaAllah,
jika diizinkan Allah, lebih kurang 3 bulan lagi saya akan menamatkan pengajian
dalam Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Matematik dan bakal bergraduasi pada
pertengahan September nanti. Hampir 4 tahun saya bergelar sebagai mahasiswa Universiti
Pendidikan Sultan Idris. Saya gembira kerana bakal menamatkan pengajian dalam
bidang pendidikan dan bergelar seorang pendidik. Itulah cita-cita saya untuk
menjadi seorang guru.
Dada
saya semakin sesak memikirikan masa yang mendatang. Kadang-kadang saya keliru
dengan perasaan saya. Bermacam-macam perkara yang bermain dalam fikiran saya.
Saya merasakan bahawa masih banyak lagi kekurangan
ilmu di dada. Namun, dalam masa yang sama, saya sedih untuk meninggalkan UPSI.
Di sinilah tempat yang banyak mengajar saya pelbagai perkara. Bumi murobbi ini
jugalah yang banyak melakar kenangan pahit dan manis saya meniti zaman remaja
saya dalam mentarbiahkan diri ini untuk menjadi siapa saya sekarang. Dan yang
paling indah, Allah menemukan saya dengan sahabat-sahabat yang sama fikrah,
sama akidah dan sama perjuangan. Di sini
jugalah saya lebih mengenal diri saya dan matlamat hidup saya yang sebenar. Terkadang
saya merasakan terlalu rugi masa-masa yang telah saya bazirkan pada
semester-semester pertama di sini. Jika masa boleh berputar kembali, saya akan
manfaatkan sebaiknya. Oh, saya pasti merindui
UPSI dan segala isinya.
Saya
juga telah merancang akan masa depan saya. Pertama sekali saya teringin sangat
untuk melanjutkan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, Master dan PhD.
Saya pernah mengutarakan hasrat ini kepada ummi, ummi hanya mendiamkan diri.
Saya mengerti perasaan ummi, sebagai anak sulung dalam adik-beradik saya perlu
membantu dalam meringankan beban yang dipikul di atas bahu ummi dan abi dalam
membesarkan kami adik-beradik dan memastikan pelajaran kami terus terjamin. Satu
lagi, ummi bimbang sekiranya saya belajar tinggi-tinggi sangat nanti tiada
siapa yang berani nak masuk meminang. “ Dah habis degree kahwin dulu, then baru
sambung Master & PhD”…hahaha. Calon pun tiada, apatah lagi nak fikir soal
kahwin. Bukan itu sahaja, antara harapan
yang begitu besar buat ummi adalah meminta saya untuk membantu kawasan dalam
gerak kerja dakwah dan politik. Getus dalam diri, “Baru je berangan-angan nak
study kat oversea”. Yang paling lucu, ummi beriya-iya carikan kerja untuk saya.
Ummi kata “Aisyah mengajarlah kat MRSM Parit tu, dekat sikit. Tak payah posting
jauh-jauh. Ummi dah tanya kawan-kawan ummi kat situ, memang ada kekosongan
cikgu Matematik.” Ummi cuba memujuk saya supaya saya tidak ditempatkan mengajar
di sekolah yang jauh terutama Sabah dan Sarawak. Saya hanya mengukir senyuman.
Saya tahu ummi sangat menyayangi saya sebab itu beliau sentiasa memberi
pendapat dan pandangan dalam saya
mengatur perancangan hidup.
Number One For Me |
*p/s : Akibat tidak lama menulis, bila baca semula tidak ubah seperti karangan budak sekolah.
No comments:
Post a Comment