Thursday, March 8, 2012

PEMERGIAN DUA SAHABAT SEPERJUANGAN


Telah tiba saat waktu kau tinggalkan kami,
Kerana takdir yang Maha Esa telah menetapkan,
Sedih rasanya hati ini bila mengenangkan,
Kau sahabatku kau teman sejati.

Allahurabbi…terasa benar akan kehilangan sahabat yang sama-sama satu universiti, satu persatuan, satu organisasi.

Namun, yang lebih amat diingati,

Sahabat satu perjuangan bersama, sahabat satu aqidah,

Semoga dirimu bahagia di sana..

Saya masih ingat, hampir setiap hari saya akan menerima mesej darinya. Seorang sahabat yang sentiasa follow up gerak kerja perjuangan, makluman perjumpaan persatuan, memberi mesej nasihat dan tazkirah. Hingga hari ini, saya masih terngiang-ngiang bunyi mesej masuk (inbox), pasti mengharap itu adalah mesej darinya.

Dialah yang bersemangat melontarkan idea dan pendapat setiap kali perjumpaan, agar sahabat-sahabat sentiasa thabat dalam perjuangan.

Akhirnya pada tanggal 6 Mac 2012 Allah menjemput mereka dahulu. Masih terkejut akan berita ini. Seakan tidak percaya tapi itu semua takdir Allah buat mereka.

Masih ingat lagi, pada ketika itu saya dan beberapa orang muslimat UPSI mengadakan usrah pagi, kami antara yang awal menerima berita ini bila mana salah seorang sahabat yang terlibat dalam kemalangan menghubungi sahabat kami yang berada di Kolej Kediaman Ungku Omar. Detik cemas ketika itu, lantas kami menghubungi kesemua mereka (seramai 5 orang menaiki kereta) yang dalam perjalanan pulang dari Kedah ke UPSI. Akhirnya telefon itu dijawab seorang lelaki yang memberitahu bahawa 2 orang sahabat kami sudah tiada lagi.

Terpenjam mata seketika akibat terkejut dengan berita yang diterima .

“Ya Allah, sekelip mata saja Kau mampu mengambil semula nyawa hambaMu yg dipinjamkan buat sementara.

Hanya DOA yang mampu kukirimkan buat kalian berdua.



Semoga Allahyarhamah Hidayah dan Fatini tergolong dalam kalangan orang-orang yang soleh

Keadaan kereta Perodua Viva yang terlibat dalam kemalangan yang mengorbankan 2 sahabat siswi UPSI

Monday, February 13, 2012

TERIMA KASIH


Assalamualaikum wbt.

Selamat berjumpa lagi. Anda apa khabar? Sihat? Syukur. Kurang sihat? Pun syukur. Takkan disebabkan tidak sihat kita nak kufur pulak. Kita tetap bersyukur sebab kesakitan dan penyakit yang menimpa adalah kifarah.

Alhamdulillah diberi kesempatan untuk bernafas tatkala usia baru sahaja mencecah 22 tahun. Jutaan terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang bertalu-talu wish dan mendoakan kesejahteraan diri ini. Yang belanja makan, yang beri hadiah. Makasih banyak-banyak ye. Termasuk juga individu-individu yang ingin menjadi orang pertama yang wish ulang tahun buat saya di wall facebook!

Sebelum itu, saya ingin menyusun sepuluh jari atas kelewatan untuk membalas semua ucapan dan mesej wish. Buat makluman sahabat-sahabat sekalian, pada ketika itu saya berada di dalam hutan (camping). Tahu-tahu je lah, bukan ada line sangat dalam hutan.

Hadiah yang paling berharga dan istimewa buat saya adalah menerima ucapan dari ummi tercinta. Mendengar suara ummi sudah cukup membuatkan hati saya berbunga-bunga. Ceria sepanjang hari.

“Ummi, terima kasih kerana melahirkan Aisyah. Mendidik Aisyah penuh kasih sayang sehingga dewasa. Sentiasa menghadiahkan kata-kata tarbiyah buat Aisyah.”





Tuesday, January 31, 2012

PERAYAAN HARI VALENTINE


Assalamualaikum wbt.

Menjelang bulan Februari, pasti ramai anak-anak muda yang sedang hangat dilamun cinta tidak sabar untuk meraikan ketibaan Hari Kekasih atau Hari Valentine yang jatuh pada tanggal 14 Februari. Bahangnya makin terasa.Kita boleh lihat banyak iklan, promosi dan tawaran hebat diadakan bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kekasih. Ramai orang memilih tarikh ini sebagai tarikh bersejarah dalam hidup mereka. Tidak kiralah untuk kali pertama dating, untuk melamar, untuk bertunang, untuk berkahwin dah sebagainya.

Perayaan yang datangnya daripada agama lain, akhirnya diiukuti oleh masyarakat sedunia. Tidak terkecuali rakyat Malaysia.

Perayaan Hari Valentine ini sah-sah bukan daripada Islam. Bagi saya, Hari Valentine hanya membuka pintu kepada kemungkaran. Hubungan lelaki dan perempuan yang tidak terkawal dan akhirnya mengheret kepada kehancuran moral, nasab keturunan dan diri. Ditambah lagi perayaan ini membuka pintu kepada maksiat seperti ikhtilat dan zina, maka sesungguhnya perayaan ini menjadi satu perayaan yang terkeluar daripada sambutan orang Islam.

Usul penyambutan Hari Valentine adalah terang-terangan haram. Sebagaimana haramnya menyambut Tahun Baru ( Happy New Year), Krimas, Deepavali dan apa juga perayaan yang lain. Sebagai orang Islam tidak sesekali menyambutnya. Cuma kita menghormati sesiapa yang menyambutnya dengan penghormatan sebagai manusia dengan manusia. Untuk menyambutnya tidak sekali-kali.

Namun, saya tetap menyambut 14 Febuari sebagai hari penting kerana hari itu merupakan tarikh hari lahir kepada beberapa orang sahabat karib saya. Semoga mereka panjang umur dan dimurahkan rezeki.

Sekian.


Wednesday, January 25, 2012

JALAN SESAK


Teringat sewaktu perjalanan pulang dari Kampung Lonek, Negeri Sembilan ke Tanjong Malim. Jalan sangat sesak. Berjam-jam lamanya kami berada di lebuh raya. Perjalanan yang memakan masa lebih kurang 4 jam bertukar menjadi 8 jam. Tu diaaa 2 kali ganda kami sangkut. Huhu...Kebetulan pada waktu tersebut ramai yang pulang ke kampung halaman masing-masing sempena musim cuti perayaan Tahun Baru Cina.

Orang kata, rakyat Malaysia merupakan masyarakat yang sangat prihatin. Anda percaya???
Ya, saya sangat percaya. Apa buktinya? Buktinya lebuh raya selalu sesak...sesesak-sesaknya. Apa pasal? Pasal semua orang nak balik kampung. Kalau diikutkan apalah sangat yang ada di kampung tu? Yela, kalau di bandar macam-macam ada. Betul tak?

Saya kagum dengan budaya di Malaysia yang tidak ada di negara-negara lain. Sangat luar biasa. Memang betul-betul budaya yang cukup baik, cukup cantik. Asal cuti sahaja, semua pakat untuk pulang ke kampung. Masa musim perayaan tak usah cakaplah, tak kira raya kaum apa, mesti nak balik kampung.

Ini menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sangat prihatin terhadap ibu bapa yang ada di kampung. Ada juga yang prihatin pada buah durian, rambutan, manggis dan macam-macam buah lagi.

Kesimpulannya, kampung adalah destinasi rakyat Malaysia setiap kali cuti.

Sekian.



Tuesday, January 24, 2012

BLOGGER


Pernah satu ketika seorang sahabat bertanya kepada saya.

“Apakah tujuan Aisyah berblog?”

“Hmm...pada mulanya sekadar suka-suka sahaja. Maklumlah, terlalu banyak pengalaman yang ingin saya kongsikan. Tambahan pula bila saya dah tua kelak, bolehlah cucu-cucu saya baca ‘Open Diary’ opahnya...haha. Selain itu, dengan berblogging, saya dapat menyampaikan mesej kepada rakan-rakan mahupun pembaca setia blog ini sama ada dari sudut agama, isu semasa, pengalaman sekali gus meluaskan network kenalan di alam maya.”

Blog bukan semata-mata satu riadah pemikiran. Ada orang gunakan blog untuk berbisnes. Ada juga yang berblogging untuk mencari kenalan sehinggakan mencecah ribuan follower.

Ada juga yang menjadikan blog sebagai medan dakwah. Ya, saya sangat bersetuju. Ini kerana kita menyedari bahawa blog mempunyai satu gapaian yang luas dan mampu untuk kita transformasikan sebagai alat dakwah kepada masyarakat dan pembaca.

Dalam menyebarkan dakwah Islam, tidak semestinya perlu dalam bentuk artikel yang panjang-panjang. Puisi pun boleh, cerpen pun boleh, novel bersiri pun boleh, diari pun boleh, pengalaman pun boleh, macam-macamlah.

Nampak?

Anda minat apa? Tulis diari? Okey. Anda ini apa? Pelajar lagi ke. Okey.

Jadi kita buat begini. Apa kata anda tulis diari anda sebagai seorang pelajar, sahabat baik anda, guru anda, penglibatan anda di sekolah atau kampus, peristiwa-peristiwa sekitar sekolah atau kampus itu, dan anda cuba ekstrak pengajaran-pengajaran daripadanya, dan hubungkan dengan Allah. Itu sahaja sudah cukup memberi kesan kepada pembaca atau follower blog anda.

“Sampaikanlah ilmu walaupun sepotong ayat.”

Justeru kewujudan blog-blog dakwah adalah satu perkara dan sangat perlu pada zaman ini.

Akhir sekali, jadikanlah blog kita sebagai  ‘medan memperbaiki diri dan medan mengajak orang lain ke arah yang sama.’
Senantiasa online di mana sahaja 


InsyaAllah, manfaatkanlah minat berblog ini.

Wednesday, January 18, 2012

MASA HADAPAN YANG LEBIH JAUH


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, cuti semester kembali lagi. Seperti kebiasaan, saya tidak pernah menghabiskan cuti semester saya di rumah. Benar sekali!! Mesti ramai yang tidak akan mempercayainya. Sejak semester satu hinggalah saya bakal memasuki semester 6, setiap kali cuti semester saya mesti berada di UPSI. Masa saya banyak dihabiskan dengan program-program dan bekerja di kampus tercinta ini.

Biarpun cuti semester, jadual harian saya masih padat. Siang bekerja (full time), malam pula mengajar. Anak didik tuisyen semakin bertambah. Ada juga saya kena pergi ‘outstation.’ Syukur, saya diberi ruang waktu yang ada untuk berkongsi sesuatu di dalam blog ini. Saya akui, sudah lama dan jarang-jarang untuk update blog.

Sejak akhir-akhir ini, ramai sahabat sembang atau membicarakan tentang masa depan masing-masing.

Apabila disebutkan berkenaan dengan memandang masa hadapan, apakah yang kita nampak??

Mungkin kerjaya. Mungkin berkahwin. Mungkin harta.

Ingin kerja apa? Ingin berkahwin dengan siapa? Ingin rumah dan kereta yang bagaimana?

Mungkin sewaktu zaman kita sekolah rendah, kita akan fikir di mana hendak bersekolah menengah sama ada SBP ke, SMKA ke, MRSM ke, atau sekolah harian biasa. Setelah kita berada di alam sekolah menengah, kita akan fikir apakah bidang yang akan diceburi dan di manakah universiti yang sepatutnya kita belajar.

Adakah itu semua kita panggil sebagai ‘masa depan yang lebih jauh?’

Manusia yang memandang masa hadapan, adalah manusia yang terbaik. Apabila dia memandang masa hadapan, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya.

Bercita-cita hendak menjadi doktor, jurutera, peguam, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya untuk mencapai cita-citanya itu. Sekiranya kita hendak masuk universiti yang kita sukai, maka kita akan bersungguh-sungguh memenuhi kelayakan yang dituntut oleh universiti tersebut.

Pernahkah dalam kalangan kita yang memandang masa hadapan lebih jauh lagi?

Sebagai contoh, “Saya ingin masuk syurga, jadi saya perlu menjadi orang yang soleh, tidak berbuat maksiat, dan taat kepada Allah.”

Manusia yang memandang bahawa akhirat adalah masa hadapannya, maka dia akan menyusun kehidupannya menjadi kehidupan yang terbaik.

Dunia hari ini memisahkan akhirat. Akhirat kita lontar di satu sudut yang jauh. Agama dikatakan hanya perlu dalam masjid, pada musim-musim tertentu, pada waktu-waktu tertentu sahaja. Apabila membicarakan soal atau ilmu akhirat, kita akan dicop sebagai pembakang dan membawa kemunduran.

Islam bukan demikian. Sedangkan, apabila kita mengejar akhirat, insya-Allah kita akan sentiasa berasa bahagia di dunia. Tiada ruginya mengejar akhirat.

Akhirat perlu kita letakkan sebagai matlamat masa hadapan kita, cita-cita utama kita, agar kehidupan kita terbentuk dengan baik. Pengejar akhirat, kehidupannya di dunia adalah kehidupan yang baik.


Peringatan buat diri sendiri yang ada kalanya lalai dan leka dalam menjalani kehidupan sebagai mukmin.



Wednesday, December 28, 2011

KEMBALI BERSEMANGAT


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, selamat tiba di Tanjong Malim setelah meluangkan sedikit  masa bersama adik-adik saya yang belajar kat UPM. Kami mengambil keputusan untuk tidak pulang ke rumah sempena cuti ‘study week’. Dah faham dengan perangai masing-masing, confirm tak study punya! Justeru itu, kami merancang untuk keluar bersantai sesama adik-beradik sebelum bermulanya final exam. Sebagai kakak sulung, saya harus mengalah dengan mereka untuk turun ke Serdang dengan menaiki KTM. Dua lawan satu, semestinya kena ikut mereka. Kalau nak berjalan-jalan di Tanjong Malim, bukannya ada tempat yang menarik sangat…huhu.

Sebenarnya, saya  ingin mencari mood study yang tidak mucul-muncul lagi. Parah dah ni! Kebetulan adik saya tinggal di kolej 17, di mana kebanyakkan pelajar di situ mengambil jurusan perubatan. Setahu saya, pelajar medik ini skema belaka. Termasuk dengan adik saya sendiri.  Asyik study 24 jam! Manalah tahu, kot2 aura study mereka boleh meresap ke dalam diri saya ini.

Memang betul! Tak dengar bunyi bising langsung. (Mungkin ramai yang pulang bercuti). Hanya kedengaran bunyi siren ambulan je kerana kolej kediaman K17 mereka bersebelahan dengan Hospital Serdang. Melihat ketekunan dan kesungguhan mereka study bagai nak mati, terus saya dapat aura tersebut. Saya kembali bersemangat!!!

Buat Adibah dan Ahmad, buat yang terbaik untuk final exam. All the best. Doakan untuk Kak Cho sekali!

 
With my sis & bro

Friday, December 23, 2011

ALKISAH

Assalamualaikum wbt.

Hari ini jari-jemari yang tidak begitu nak runcing ingin menaip dan berkongsi sesuatu.

Minggu depan bermulalah ‘Study week’. Semester ini saya bakal menduduki 4 kertas sahaja bagi peperiksaan akhir semester.

Complex Variables – 7 Januari 2012
Lukisan Kejuruteraan – 11 Januari 2012
Ordinary Differential Equations – 13 Januari 2012
Trends and Issues in Education for Mathematical Sciences – 16 Januari 2012

Seperti kebiasaan, pelbagai agenda yang dirancang dalam study week. Pergi program ke sana sini, rehlah, mesyuarat, buat jamuan bagai. Nekad betul! Seolah-olah macam exam dah habis je.
.
Eh, apa yang sudah merepek ini??

Berbalik semula pada tujuan entry ini. Hari ini saya tiada kuliah, so mengambil keputusan untuk masuk pejabat. Buat apa yang patut. Biasalah, kalau kerja di pejabat ini menghadap komputer lah kerjanya. Sempat juga mata ini menjeling-jeling buka FB (amaran : Dah siap kerja baru buka FB). Ingin dijadikan cerita, saya menerima satu mesej dari salah seorang ‘friends’ di FB yang merupakan pelajar sekolah menengah. Saya pun sendiri tidak tahu bagaimana saya boleh approve adik tersebut. Adik tersebut menceritakan masalah dan bertanyakan hukum agama kepada situasi yang dialaminya. Pada mulanya saya agak terperanjat berikutan saya adalah bukan insan yang layak dan arif berkaitan ilmu agama Islam secara mendalam. Apatah lagi apabila ditanya soal hukum. Walaubagaimana pun selagi mana saya boleh jawab persoalan dan permasalahan saya akan cuba memberikan jawapan yang terbaik.

Mungkin adik tersebut malu untuk bertanya kepada ibu bapa, rakan-rakan dan guru. Lalu merujuk saya sebagai insan yang tidak mengenalinya, mungkin lebih selesa. Mungkin. Satu hari juga setelah saya bergelar pendidik, saya juga akan menerangkan perkara sama juga. Perkara biasa bagi remaja membincangkan soal jawab berkaitan baligh.

Baligh menjadi sempadan antara fasa kanak-kanak dan fasa dewasa. Mengikut Islam, baligh menjadi penanda asas bermulanya taklif, di mana seseorang individu bertanggungjawab atas setiap pilihan dan tindakannya. Akil baligh juga adalah satu peringkat di mana tubuh kita berubah dari seorang kanak-kanak ke seorang dewasa. Selepas ini, ketinggian naik mendadak, saiz otot badan bertambah, tubuh makin sasa dan suara pula semakin dalam dan garau (bagi lelaki).

Kalau sebelum ini, sekiranya adik-adik ada tinggalkan solat, puasa, buat jahat, buat baik, emak dan ayah yang tanggung semua. Tapi setelah mencapai usia baligh kita sudah kena tanggung sendiri. Bagi perempuan kita sudah diwajibkan untuk menutup aurat. Pesanan saya buat adik-adik, apabila pertama kali dapat tanda baligh, kita harus memberitahu kepada ibu (bagi perempuan) dan bapa (bagi lelaki) supaya boleh diberi nasihat, bimbingan, panduan dan pedoman bagaimana untuk hidup sebagai seorang lelaki muda dan gadis yang sudah mencecah usia baligh terutama dalam bab mandi wajib!

Akhir kata,apabila kita sudah baligh, maknanya kita kena patuh semua perintah Allah, tidak boleh nak main-main lagi. Apa yang Allah suka, kita buat. Dan apa yang Allah larang kita tinggalkan. Semoga adik-adik akan berusaha gigih untuk jadi insan yang soleh solehah dan musleh hendaknya. Sekian.

Saturday, December 17, 2011

CERPEN TRAVELISTA 1


Assalamualaikum wbt buat pembaca-pembaca setia blog Aisyah Mawaddah. Hasrat di hati ingin menyambung travelog Kembara Ilmu ke Ho Chi Minh Part 2, tapi tiba-tiba mood menulis cerpen menerpa. Sejujurnya saya lebih suka menggunakan nama saya sendiri dalam penulisan cerpen kerana saya lebih menjiwai watak tersebut dan jalan cerita. Hehe

*********************************************************
“Selamat ulang tahun sayang.”

Aisyah terpana sebentar. Ulang tahun? Hari ini…Masya-Allah.

“Haha. Abang dah agak dah, Aisyah mesti lupa. Sibuk sangat menyemak buku pelajar, sampai tarikh ulang tahun perkahwinan sendiri pun lupa. Azmi ketawa sendiri.

“Percutian ini adalah hadiah sempena ulang tahun perkahwinan kita.”

Tiba-tiba air mata Aisyah menitis.

“Eh, mengapa sayang menangis?”

“Terima kasih. Aisyah benar-benar gembira dan terharu sangat. Abang begitu baik.”

Azmi menggeleng. “Abang yang patut ucap terima kasih sebab Aisyah sudi kahwin dengan abang, sentiasa berada di sisi abang.”

“Menyesal tidak?” Tiba-tiba Aisyah melontarkan soalan, mengundang angkatan dua kening Azmi.

Azmi tersengih. Kemudian menggeleng. “Tidak pernah menyesal.”

“Betul? Kahwin dengan orang tidak pandai masak, tidak banyak hafal al-Quran, tajwid pun tidak hebat, hari-hari asyik kena kejut Subuh, tidak menonjol dalam dakwah dan tarbiah.” Aisyah mengangkat satu persatu jarinya seakan membilang. Azmi mendengar setia.

“Tidak romantik, ibadah sunat pun kurang, asyik belajar sahaja, tidak …” Bicara Aisyah terhenti di situ. Jari telunjuk Azmi sudah melekat pada bibirnya.

“Abang tidak perlukan semua itu. Bukankah abang sudah kata sebelum kahwin, yang abang mahu hanyalah Aisyah berada di sisi abang sahaja. Abang tidak minta lebih daripada itu. Biar abang yang masak. Biar abang yang kemas rumah. Biar abang yang baca al-Quran untuk Aisyah. Biar abang yang hari-hari kejut Aisyah Subuh. Biar abang yang romantik. Biar abang yang ambil berat. Biar abang yang buat semua.” Azmi menyempurnakan bicaranya.

“Aisyah bukanlah seorang mujahidah segigih dan sefaqih Aisyah isteri Rasulullah SAW. Bukan juga hebat beribadah seperti Rabiatul Adawiyyah. Setahun setengah ini, sudah banyak Aisyah susahkan abang. Lebih-lebih lagi dalam hal dakwah dan tarbiah. Isteri-isteri sahabat abang semuanya hebat-hebat. Semua kehadapan sama-sama. Aisyah…” Aisyah menunduk.

“Aisyah lah orang yang paling banyak bantu dalam dakwah dan tarbiah. Apabila Aisyah ada di sisi abang, abang jadi kuat, abang lebih bersemangat dalam melaksanakan gerak kerja Islam berjalan dengan lancar, insya-Allah, ramai orang yang akan mendapat manfaat.”

Aisyah terpana, wajah Aisyah kemerahan.

“Tapi..”

“Tidak ada tapi-tapi lagi. Nanti serabut kepala. Hari ini abang masak special, sotong masak sambal kegemaran isteri abang tercinta.” Sambil mencuit hidung Aisyah. Azmi menghulurkan tangan, Aisyah pula menyambut tangan suaminya itu. Mereka berjalan beriringan ke dapur. Aisyah damai di bahu Azmi.

Azmi gembira. Di dalam hati, dia bahagia dan tidak henti mengucap hamdalah. Bahagia apabila bidadari jiwanya bahagia. Entah mengapa Allah memberikan perasaan ini padanya. Kepada seorang isteri tercinta. Kebahagiaan ini, memang tiada bandingnya. Aisyah memang bukan Aisyah pada zaman Rasulullah. Namun dia adalah Aisyah, bidadari di jiwa, yang Allah salurkan kekuatan dan kehidupan kepadanya.

 

Coretan hati : Rata-rata hari ini orang terbiasa dengan kesempurnaan fantasi. Mencari hanya yang sempurna. Kemudian kecewa apabila melihat kecacatan selepas berkahwin. Terimalah pasangan kita dengan seadanya.

Thursday, December 15, 2011

BUKAN SISTEMNYA..TAPI MANUSIANYA

“Saya tak tahu bagaimana nak buat lagi. Banyak sangat aduan yang diterima. Memeningkan!” keluh seorang staf sebelum waktu makan tengah hari di pejabat tadi.

“Macam-macam dah dibuat. Ada sahaja yang tidak kena dan bermasalah.” keluhnya terus menerus.

Kasihan pula saya melihatnya. Kepalanya hampir botak itu menyebabkan beliau kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya. Merangkap bos saya juga di HEP UPSI biarpun saya ditempatkan di unit yang berbeza.

Saya mengangguk sahaja. Memang benar katanya. Isu pengangkutan bas UPSI dari kolej kediaman ke kampus, ke Taman Bernam dan juga ke Proton City. Kami terpaksa beratur panjang dan menunggu bas dalam jangka waktu yang agak panjang. Perkara biasa jika kami sampai lewat ke kuliah.

“Aisyah ada idea untuk menyelesaikan masalah ini?” tiba-tiba staf tersebut meminta pandangan saya sewaktu saya sedang menyusun surat-surat yang perlu ditandatangani.

Sebagai seorang pelajar yang selalu menggunakan perkhidmatan bas, bagi saya bukan isu bilangan yang tidak mencukupi tetapi sikap pemandu bas itu sendiri!

“Hmm…sejujurnya, sebab utama ialah manusia. Bukan sistem. Sistem yang kita laksanakan sudah cukup tersusun dengan baik.”

“Kenapa begitu? Aisyah maksudkan pemandu bas ke?”

“Yup! Bukankah sudah ada peraturan dalam bekerja, tetapi tidak ada kepatuhan. Bukankah sudah ada yang dikenakan tindakan disiplin tapi tak ada yang berubah juga. Bas sudah disediakan dengan kadar yang mencukupi, tetapi pemandu bas masih lembap. Jadi pada saya, yang kurang bukan pada sistem, bukan juga pada bilangan bas, tetapi pada manusianya.”

“Yalah, manusia malas, yang  tak berdisiplin, memang sukar untuk ditadbir. Segelintir pemandu bas yang curi tulang semasa bekerja. Semasa bekerja, melepak-lepak sambil merokok, curi tidur. Semua ingin kerja mudah, untung atas angin sahaja.”

“Bolehkan sekiranya saya memberi encik sebagai contoh dalam masalah ini?”

“Silakan, saya tak kisah,” ujar staf tersebut. Mujur beliau seorang yang mudah mesra dan dibawa berbincang.

Saya sengaja menimbulkan persoalan kepada staf tersebut. Secara tidak langsung mengingatkan diri saya sendiri yang bergelar staf pelajar bekerja di pejabat HEP. Gaji saya dibayar mengikut jam saya bekerja. Mudah bagi saya untuk mengaitkan perkara-perkara yang hampir dengan kehidupan seharian.

“Katakanlah gaji encik dibayar sebanyak RM 3000 atas masa encik bekerja di pejabat. Apabila terima gaji pada akhir bulan itu bererti termasuk sejam masa yang encik mengular (curi tulang). Sekadar contoh sahaja. Saya tahu encik seorang staf yang beretika. Hehe…”

Staf tersebut tersenyum dan mengangguk perlahan.

“Jika sejam itu ditukar kepada bentuk wang, agaknya berapa?” Tanpa mendapat jawapannya, saya menyambung, “Tak sampai RM 20 kan? Tetapi RM 20 itu cukup untuk membeli  sekilo beras, sekilo gula, dan beberapa ekor ikan bukan?”

Staf tersebut mengangguk lagi.

“Dan beras, gula atau ikan itu kita jadikan makanan untuk diri, isteri dan anak-anak kita.” Saya menyambung lagi, “Apabila wang yang sebegitu digunakan untuk membeli makanan anak isteri kita tentu sahaja hati mereka gelap.”

“Kenapa?”

“Bukankah hati dibentuk oleh makanan? Makanan yang haram akan menggelapkan hati.”

 

Saya teruskan lagi, “Iman kena dikuatkan. Lemah iman punca manusia sukar dikawal. Itu sebabnya ramai yang suka curi tulang semasa bekerja. Kalau dengan Allah pun liar, apalagi dengan manusia. Alangkah indahnya sekiranya mereka bekerja kerana Allah. Kita selesaikan masalah dengan Allah dahulu, mudah-mudahan Allah selesaikan masalah kita dengan manusia.”

Sekian

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails