“Saya tak tahu bagaimana nak buat lagi. Banyak sangat aduan
yang diterima. Memeningkan!” keluh seorang staf sebelum waktu makan tengah hari
di pejabat tadi.
“Macam-macam dah dibuat. Ada sahaja yang tidak kena dan
bermasalah.” keluhnya terus menerus.
Kasihan pula saya melihatnya. Kepalanya hampir botak itu
menyebabkan beliau kelihatan lebih tua daripada usia sebenarnya. Merangkap bos
saya juga di HEP UPSI biarpun saya ditempatkan di unit yang berbeza.
Saya mengangguk sahaja. Memang benar katanya. Isu pengangkutan
bas UPSI dari kolej kediaman ke kampus, ke Taman Bernam dan juga ke Proton
City. Kami terpaksa beratur panjang dan menunggu bas dalam jangka waktu yang
agak panjang. Perkara biasa jika kami sampai lewat ke kuliah.
“Aisyah ada idea untuk menyelesaikan masalah ini?” tiba-tiba
staf tersebut meminta pandangan saya sewaktu saya sedang menyusun surat-surat
yang perlu ditandatangani.
Sebagai seorang pelajar yang selalu menggunakan perkhidmatan
bas, bagi saya bukan isu bilangan yang tidak mencukupi tetapi sikap pemandu bas
itu sendiri!
“Hmm…sejujurnya, sebab utama ialah manusia. Bukan sistem.
Sistem yang kita laksanakan sudah cukup tersusun dengan baik.”
“Kenapa begitu? Aisyah maksudkan pemandu bas ke?”
“Yup! Bukankah sudah ada peraturan dalam bekerja, tetapi
tidak ada kepatuhan. Bukankah sudah ada yang dikenakan tindakan disiplin tapi
tak ada yang berubah juga. Bas sudah disediakan dengan kadar yang mencukupi,
tetapi pemandu bas masih lembap. Jadi pada saya, yang kurang bukan pada sistem,
bukan juga pada bilangan bas, tetapi pada manusianya.”
“Yalah, manusia malas, yang
tak berdisiplin, memang sukar untuk ditadbir. Segelintir pemandu bas
yang curi tulang semasa bekerja. Semasa bekerja, melepak-lepak sambil merokok,
curi tidur. Semua ingin kerja mudah, untung atas angin sahaja.”
“Bolehkan sekiranya saya memberi encik sebagai contoh dalam
masalah ini?”
“Silakan, saya tak kisah,” ujar staf tersebut. Mujur beliau
seorang yang mudah mesra dan dibawa berbincang.
Saya sengaja menimbulkan persoalan kepada staf tersebut.
Secara tidak langsung mengingatkan diri saya sendiri yang bergelar staf pelajar
bekerja di pejabat HEP. Gaji saya dibayar mengikut jam saya bekerja. Mudah bagi
saya untuk mengaitkan perkara-perkara yang hampir dengan kehidupan seharian.
“Katakanlah gaji encik dibayar
sebanyak RM 3000 atas masa encik bekerja di pejabat. Apabila terima gaji pada
akhir bulan itu bererti termasuk sejam masa yang encik mengular (curi tulang).
Sekadar contoh sahaja. Saya tahu encik seorang staf yang beretika. Hehe…”
Staf tersebut tersenyum dan
mengangguk perlahan.
“Jika sejam itu ditukar kepada bentuk
wang, agaknya berapa?” Tanpa mendapat jawapannya, saya menyambung, “Tak sampai RM
20 kan? Tetapi RM 20 itu cukup untuk membeli
sekilo beras, sekilo gula, dan beberapa ekor ikan bukan?”
Staf tersebut mengangguk lagi.
“Dan beras, gula atau ikan itu
kita jadikan makanan untuk diri, isteri dan anak-anak kita.” Saya menyambung
lagi, “Apabila wang yang sebegitu digunakan untuk membeli makanan anak isteri
kita tentu sahaja hati mereka gelap.”
“Kenapa?”
Saya teruskan lagi, “Iman kena
dikuatkan. Lemah iman punca manusia sukar dikawal. Itu sebabnya ramai yang suka
curi tulang semasa bekerja. Kalau dengan Allah pun liar, apalagi dengan
manusia. Alangkah indahnya sekiranya mereka bekerja kerana Allah. Kita
selesaikan masalah dengan Allah dahulu, mudah-mudahan Allah selesaikan masalah
kita dengan manusia.”
Sekian
2 comments:
bagus kak aisyah,, smga kata2 kuta dapat merubah hati manusia menjadi lebh baik :)
muga jadi perangsang
Post a Comment