Wednesday, January 18, 2012

MASA HADAPAN YANG LEBIH JAUH


Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, cuti semester kembali lagi. Seperti kebiasaan, saya tidak pernah menghabiskan cuti semester saya di rumah. Benar sekali!! Mesti ramai yang tidak akan mempercayainya. Sejak semester satu hinggalah saya bakal memasuki semester 6, setiap kali cuti semester saya mesti berada di UPSI. Masa saya banyak dihabiskan dengan program-program dan bekerja di kampus tercinta ini.

Biarpun cuti semester, jadual harian saya masih padat. Siang bekerja (full time), malam pula mengajar. Anak didik tuisyen semakin bertambah. Ada juga saya kena pergi ‘outstation.’ Syukur, saya diberi ruang waktu yang ada untuk berkongsi sesuatu di dalam blog ini. Saya akui, sudah lama dan jarang-jarang untuk update blog.

Sejak akhir-akhir ini, ramai sahabat sembang atau membicarakan tentang masa depan masing-masing.

Apabila disebutkan berkenaan dengan memandang masa hadapan, apakah yang kita nampak??

Mungkin kerjaya. Mungkin berkahwin. Mungkin harta.

Ingin kerja apa? Ingin berkahwin dengan siapa? Ingin rumah dan kereta yang bagaimana?

Mungkin sewaktu zaman kita sekolah rendah, kita akan fikir di mana hendak bersekolah menengah sama ada SBP ke, SMKA ke, MRSM ke, atau sekolah harian biasa. Setelah kita berada di alam sekolah menengah, kita akan fikir apakah bidang yang akan diceburi dan di manakah universiti yang sepatutnya kita belajar.

Adakah itu semua kita panggil sebagai ‘masa depan yang lebih jauh?’

Manusia yang memandang masa hadapan, adalah manusia yang terbaik. Apabila dia memandang masa hadapan, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya.

Bercita-cita hendak menjadi doktor, jurutera, peguam, maka dia akan merancang perjalanan hidupnya untuk mencapai cita-citanya itu. Sekiranya kita hendak masuk universiti yang kita sukai, maka kita akan bersungguh-sungguh memenuhi kelayakan yang dituntut oleh universiti tersebut.

Pernahkah dalam kalangan kita yang memandang masa hadapan lebih jauh lagi?

Sebagai contoh, “Saya ingin masuk syurga, jadi saya perlu menjadi orang yang soleh, tidak berbuat maksiat, dan taat kepada Allah.”

Manusia yang memandang bahawa akhirat adalah masa hadapannya, maka dia akan menyusun kehidupannya menjadi kehidupan yang terbaik.

Dunia hari ini memisahkan akhirat. Akhirat kita lontar di satu sudut yang jauh. Agama dikatakan hanya perlu dalam masjid, pada musim-musim tertentu, pada waktu-waktu tertentu sahaja. Apabila membicarakan soal atau ilmu akhirat, kita akan dicop sebagai pembakang dan membawa kemunduran.

Islam bukan demikian. Sedangkan, apabila kita mengejar akhirat, insya-Allah kita akan sentiasa berasa bahagia di dunia. Tiada ruginya mengejar akhirat.

Akhirat perlu kita letakkan sebagai matlamat masa hadapan kita, cita-cita utama kita, agar kehidupan kita terbentuk dengan baik. Pengejar akhirat, kehidupannya di dunia adalah kehidupan yang baik.


Peringatan buat diri sendiri yang ada kalanya lalai dan leka dalam menjalani kehidupan sebagai mukmin.



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails