Monday, June 20, 2011

SEBUAH PAKSAAN

Assalamualaikum wbt.

Sejak saya mula bekerja sambilan, saya benar-benar menikmati kesibukkan bekerja semula setelah saya tidak lagi memegang jawatan sebagai JMK. Saya masuk pejabat pada pukul 8 pagi dan pulang pada pukul 5.15 petang. Bekerja dari hari Isnin sehingga Jumaat. Pada sebelah malam pula saya mengajar tuisyen. Pada hujung minggu saya berkesempatan berehat di rumah dan melakukan aktiviti mengemas, membasuh pakaian, memasak dan sebagainya.

Ingin dijadikan cerita, baru-baru ini saya telah diminta untuk menjadi baby sitter kepada anak murid tuisyen saya kerana ibunya terpaksa out station selama beberapa hari. Bapanya pula bekerja di Pahang. Saya perlu menjaga seramai lima orang anaknya. Adui, satu pengalaman yang baru dalam hidup saya biarpun belum berkahwin lagi dan tidak mempunyai pengalaman menjaga anak kecil.


Banyak juga peristiwa-peristiwa baru buat saya. Hehe.

Peristiwa 1
Selesai waktu pejabat dalam jam 5.15 petang, saya bergegas pulang untuk menyediakan makanan malam untuk mereka. Agak kelam-kabut juga kerana kebiasaannya mereka akan makan malam setelah pulang dari sekolah agama. Adui, menu apakah yang mudah, cepat dan sedap? Tanpa berlengah, saya cuba lakukan semua perkara dalam waktu yang serentak. Masak nasi, sotong masak tepung dan ayam masak kicap (mereka semua ini anti-sayur…huhu, menu wajib adalah ayam!). Lebih kurang dalam 30 minit, semua siap dimasak. Rekod terbaru buat saya. Hehe

Peristiwa 2
Saya harus memastikan rumah sentiasa berada dalam keadaan kemas. Susun kasut sekolah, susun beg sekolah, baju-baju sekolah letak dalam mesin basuh, memastikan mereka semua sudah mandi, menunaikan solat maghrib dan isyak (saya akan huraikan perkara ini sebentar lagi) dan membantu mereka menyiapkan kerja sekolah ( ajar tuisyen sekali). Sebelum tidur, saya harus memastikan semua baju sekolah kebangsaan dan sekolah agama telah siap digosok, buku-buku telah disusun mengikut jadual. Fuh, baru saya faham tugas ummi selama ini.

Peristiwa 3
Saya bangun seawal jam 5 pagi bagi menyiapkan segala keperluan sebelum mereka ke sekolah. Mengejutkan mereka bangun dari tidur dan menyuruh mereka segera mandi. Setelah itu, saya harus menyiapkan sarapan buat mereka. Semua perkara ini mengimbau kenangan saya sewaktu zaman sekolah rendah dan segala jasa ummi. Huhu

Paksaan
Satu perkara yang sangat mencabar buat saya sepanjang menjaga anak murid tuisyen saya adalah menjaga waktu solat mereka.

“Latihlah anak-anak kamu bersolat ketika usianya 7 tahun, dan pukullah mereka (jika tidak mahu menunaikan solat) diwaktu telah berumur 10 tahun, dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara lelaki dan perempuan)”

Anak-anak yang masih liat untuk mendirikan solat saat usianya sudah mencecah 10 tahun, boleh dipukul oleh ibu bapa dalam usaha mendidik. Namun, ada syarat-syarat memukul yang perlu dipatuhi oleh ibu bapa.

Tidak keterlaluan untuk saya katakan bahawa perkataan ‘memukul’ di sini merupakan salah satu bentuk paksaan. Paksaan yang bermaksud mendidik.

Mungkin pada peringkat awal, anak-anak mendirikan solat kerana terpaksa.


Sewaktu kecil dahulu, ketika ummi menyuruh saya menunaikan solat, saya akan memberontak. Apabila hendak turun sujud, saya akan hentak lutut kuat-kuat agar berdentum-dentum bunyi papan rumah, sebagai tanda protes (padahnya, lutut sendiri yang sakit). Tersenyum sendiri saat mengimbas kembali zaman kanak-kanak. Hehe

Paksaan itu saya lihat lebih kepada maksud mendidik. Salah satu bentuk melembutkan jiwa. Namun, paksaan ini harus datang dengan penjelasan-penjelasan yang sewajarnya, agar tidaklah membuta tuli dan menjadi amalan ritual semata-mata. Bertaklid tanpa ilmu, kosong maknanya.

Apabila berbicara tentang paksaan, akan hadir bersama dalam perbincangan itu persoalan keikhlasan.

Sukar lagi payah untuk melahirkan keikhlasan dalam melakukan apa-apa sahaja tidak hanya tertumpu pada aspek ibadah. Walaupun begitu, satu perkara yang harus kita ingat bahawa ikhlas ini tidak datang bergolek. Tidak jatuh dari langit buta-buta sahaja, tidak dapat dikutip mudah-mudah di tepian pantai.

Perlu ada usaha yang dilakukan untuk mengecap nikmat ikhlas.

Ikhlasnya, andai dahulu saya tidak dipaksa oleh ummi untuk bersolat, tentu saat ini kewajipan lima waktu itu masih lompang-lompang kerana tidak dikerjakan.

Andai dahulu, senior saya tidak memaksa saya mengikuti program-program tarbiyyah mungkin hari ini saya tidak dapat menikmati indahnya hidup berjemaah.

Demikian antara kemanisan-kemanisan yang dikecapi kini. Hasil dari sebuah paksaan. Justeru, apa yang dapat saya simpulkan, disebalik paksaan itu, terselit kemanisan. Kemanisan itu perlu dicari dan disuluh dengan penjelasan serta ilmu.

Sekian

2 comments:

azwa amani said...

pandainya kak aisyah jaga anak...hehehe...boleh kawin dah tuu..

Aisyah Mawarddah said...

amboi...ada byk perkara yg lebih aula lagi dik.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails