Assalamualaikum wbt.
Entah mengapa sejak akhir-akhir ini saya rajin pula untuk mencoretkan sesuatu di dalam blog ini. Sesekali, melakar kisah dan menulis cerita di dalam monolog sepi memberi kesenangan buat hati kerana kebebasan untuk mencoretkan apa sahaja catatan kehidupan.
Alhamdulillah, sepanjang minggu lepas Allah kirimkan dengan pelbagai berita. Setiap yang Allah hidangkan pastinya disediakan peluang untuk mengaudit diri sendiri (muhasabbah) dan berfikir. Melihat teman-teman yang sudah mendirikan rumah tangga dan memiliki cahaya mata adakalanya membuat saya terfikir.
Saya menuju kearah wanita yang pernah saya kenali sewaktu menuntut di Sekolah Menengah Sultan Shah iaitu Amalina (staf UPSI). Rakan sebaya saya yang sudah memiliki seorang cahaya mata sulung yang sungguh comel seawal usia 21 tahun. Kulit bayi itu putih melepak seperti ibunya. Dia melompat-lompat riang di atas riba ibunya. Sesekali dia memanjat ibunya dan menarik-narik tudung rakan saya yang sudah bergelar ibu muda.
“Comelnya anak Ama. Geram Aisyah tengok dia ini” sambil mencubit pipi gebunya. Saya merenung wajah bayi tersebut. Nampak mudah, mesra dan periang bayi itu.
“Kalau nak baby, kahwinlah cepat-cepat” sambut Amalina sambil membetulkan tudungnya yang ditarik oleh bayinya.
“Belum habis belajar lagi.” jawabku. Lantas bayi itu bertukar tangan dan saya meribanya dengan penuh kasih sayang.
Adakalanya saya menjadi takut apabila terfikirkan sesuatu.
Takut untuk melahirkan zuriat di zaman akan datang yang saya tidak tahu bagaimana situasi dan keadaannya. Adakah lebih baik dari sekarang atau sebaliknya? Dengan pengaruh-pengaruh serta anasir-anasir asing yang kian melarat, akhlak dan moral yang semakin miskin dan juga masalah jenayah yang kian meningkat hari demi hari. Adakah saya mampu mentarbiah amanah-amanah yang Allah berikan itu dengan baik dan sempurna mungkin? Adakah saya mampu menjadikan mereka harta saya yang paling berharga di akhirat kelak? (Getus hati, jauhnya berfikir. Kahwin pun belum lagi, dah fikir soal anak)
Ditambah pula dengan karier saya pada masa akan datang yang masih tidak dapat saya bayangkan bagaimana keadaannya yang sebenar(mungkin jadi pengetua ke? Penolong Kanan ke? Menteri Pelajaran ke?..jauhnya berangan, hehe..cewwahh). Adakah saya punya cukup masa untuk anak-anak? Adakah saya berpeluang melihat setiap perkembangan mereka sepanjang proses mereka membesar? Adakah saya mampu mendidik dan mentarbiah mereka sepertimana ummi dan abi mendidik saya atau mungkin lebih daripada itu? Adakah saya mampu merawat jiwa zahir dan batin anak-anak ketika diperlukan? Oh tidak, saya betul-betul risau.
Rasa takut dan risau itulah yang mendorong diri saya untuk berusaha sebaik mungkin mempercukupkan diri agar bersedia mendidik anak-anak saya dengan sebaik-baik didikan.
Sepertimana apabila bapa Imam Shafie ditanya bagaimana beliau mendidik Imam Shafie sehingga menjadi seorang manusia yang hebat. Beliau menjawab,
"Aku mula mendidiknya sejak 40 tahun sebelum kelahirannya lagi".
Bukankah ini bermaksud, didikan dan pentarbiahan anak bermula daripada diri dan peribadi si ibubapa lagi?
Untuk mendapat zuriat yang baik, diri kita perlu baik terlebih dahulu. Seperti juga jika ingin menanam pokok yang elok, mestilah tanahnya juga elok. Jika tanahnya elok, campaklah apa sahaja biji benih sekalipun maka akan hiduplah benih tersebut menjadi pohon yang subur dan menghijau. Apatah lagi jika benih tadi di siram dengan air yang cukup, dibaja dengan secukupnya dan dijaga dengan penuh rapi, pasti saja pokok itu tampak lebih cantik dan indah.
Jika ditanya sekarang adakah saya sudah bersedia kepada sebuah perkahwinan, Jawapan yang pasti adalah tidak buat masa ini kerana saya masih dalam usaha mempersiapkani. Hingga kini saya masih menganggap selagi usia belum mencecah 23 tahun adalah pra dewasa (terpulang pada individu masing-masing sama ada untuk bersetuju mahupun tidak). Apa yang saya yakini, 'the right time' InsyaAllah akan tiba dan mungkin pada masa itulah tandanya persiapan dan persediaan saya itu sudahpun meyakinkan.
"Usah sibuk mengharap dan berkehendakkan suami yang soleh tetapi sibuklah bina ciri-ciri solehah dalam dirimu terlebih dahulu".
Dan untuk mencari 'the right person' saya mestilah berusaha ke arah untuk menjadi 'the right person' juga. Barulah usaha dan kehendak itu seimbang.
Sekian~
1 comment:
aisyah...wah2...suka2...betapa besar nyer tanggungjawab kter kan.... bler pk2 rasa cam takut p0wn ada...tp, bler pk nikmat pahala kter dapat..bler jaga zurait kter..best nyer...suka2...
bet0wl2..kter kena siapkan diri sendiri..tp, 2 ler aisyah..siah skang nie cam hidup terkapai2 jer... urm..sedih....
Post a Comment