“Aisyah, ana nak tanya pandangan enti sikit.”
“Sejak bila sopan sangat ni? Biasanya terjah soalan tak ada
pun minta-minta izin.” Aisyah menjawab pertanyaanku dengan gurauan mesra.
Aisyah adalah sahabatku sedari zaman matrikulasi lagi. Teman
sama berusrah, sama ditarbiyyah dan hari ini, sama berjuang. Sikapnya yang
ramah dan ceria sesuai dengan namanya. Tidak pernah lokek memberi pandangan.
Dia sentiasa mempunyai idea yang setidaknya mampu membantu meleraikan kusut
jiwa ini.
“Ana dah buat keputusan, ana nak putuskan hubungan dengan
Luqman.” Datar nadaku.
“Haa..?? Bulan depan dah nak nikah kan? Aisyah terkejut
seperti yang aku jangkakan.
Aku mengangguk lemah. Tidak mampu aku tatap wajah Aisyah
yang kehairanan. Bebola mataku tepat memandang meja yang berselerakan dengan
kertas kerja.
“Farah…apa masalahnya? Cerita dengan jelas dan terang.
InsyaAllah, ana akan beri pandangan yang terbaik.” Jujur Aisyah mahu membantu .
“Ana rasa Luqman bukan yang terbaik untuk ana. Jiwa kami
tidak serasi, matlamat kami tidak sama, impian juga berbeza. Ana sendiri penat
membohongi diri sendiri. Menerimanya atas desakan abi yang risau anaknya masih
belum mempunyai calon teman hidup.” Luahku tulus dari hati.
“Tak serasi macam mana maksud enti? Kenapa selama ini ana
lihat enti tak ada pun, ok je. Atau enti sudah ada pilihan lain? Tanya Aisyah
ingin penjelasan.
“Bukan sebab ana ada pilihan lain. Banyak perkara yang ana
berbeza dengan Luqman…tapi ana tak boleh ceritakan segalanya. Ana minta maaf.”
Aku tidak mahu membuka aib Luqman pada Aisyah.
“Baiklah, ana faham dan menghormati pendirian enti. Cuma
yang mampu ana nasihatkan , istikharah kembali. Mohon dengan tulus dan
bersungguh, Allah tunjukkan jalan keluar pada kerumitan ini. Saat dia melamar
mahu menjadikan enti suri hatinya, enti terima dalam keadaan baik. Jadi
andainya ketenangan enti hanya akan kembali dengan memutuskan hubungan ini,
maka tolaklah dengan cara yang baik juga. Jelaskan pada ummi dan abi. Jangan
sampai keresahan jiwa enti mengeruhkan hubungan dua keluarga. Ana yakin, enti
seorang yang rasional, bertindak dengan akal yang waras dan hati yang bersih.
InsyaAllah keputusan enti nanti menatijahkan sesuatu yang positif.” Tutur
Aisyah satu persatu.
Bergenang kelopak mataku.
Nasihat sahabatku yang penuh hikmah. Aku menggengam tangannya erat. Tidak
terlafaz ucapan terima kasih, hanya gerak laku itu mampu kuzahirkan.
Luqman merupakan pemuda lulusan agama dari IPTA tempatan. Sememangnya
dia seorang yang sangat prihatin. Mudah menzahirkan kerisauan dan mempamerkan
sayangnya. Namun naluri wanitaku tidak senang dengan sikapnya sedemikian. Aku
tidak seperti kebanyakkan wanita. Mudah cair dan hanyut dengan ayat-ayat cinta
yang dilafaz penuh romantis dari Sang Arjuna. Sangat tidak selesa dibelai kata
manja saat segalanya belum halal dizahirkan. Sungguh aku rimas dan dibalut rasa
berdosa.
Dalam usrah, lantang bersuara menegur anak-anak usrah agar
menjaga ikhtilat. Jangan sampai cinta fitrah menjadi fitnah. Jangan sampai
hilang keberkatan bahtera yang bakal dibina. Apatah lagi bahtera itu bahtera
dakwah. Penuh dengan amanah dan tanggungjawab besar. Bukan sahaja untuk membina
keluarga yang bahagia, tetapi menjadikan keluarga pemangkin terus bergerak
dalam arena dakwah. Suami imam yang tidak sekadar memimpin solat, tetapi mampu
membawa ahli keluarga memimpin ummah. Si isteri pula bukan sekadar menjadi
solehah kerana taat kepada suami dan menjadi ibu mithali kepada cahaya mata,
tetapi mampu memimpin para isteri dan ibu lain untuk turut sama menjadi isteri solehah dan ibu mithali. Bahkan zuriat
yang dilahirkan telah diasuh dan terasuh jiwanya dengan roh dan semangat
perjuangan untuk menegakkan Dinullah agar terus memayungi buana.
Sesalnya, Luqman tidak memahami aspirasi diriku. Dia tidak
mahu bersama merealisasikan impian ini. Dia sekadar mahu membina baitul muslim.
Tidak perlu fikir soal ummah. Memadailah sekadar menjaga keharmonian
rumahtangga semata-mata. Katanya takut hilang focus pada keluarga. Isteri
tempatnya di rumah semata. Jaga dan didik anak-anak, jaga makan pakai suami
sudah mencukupi. Acapkali juga aku menerangkan beserta hujah dan bukti nyata.
Meminta dia cuba memahami. Memberi gambaran akan jauhnya ummah hari ini dari
syariatullah.
Bahkan Luqman pula menasihatiku. Tidak payah melibatkan diri
dengan hal-hal sebegini. Semua ini politik katanya. Politik itu pula tiada yang
betul dan penuh dengan kekotoran dari tangan-tangan manusia. Aku semakin kecewa
dengan sikapnya. Fikrahnya jauh berbeza dariku. Aku sudah sebati dengan
tarbiyah dari murabbiku. Dalam usrah kami dididik menjadi muslim yang peduli
ummah. Dalam usrah kami ditarbiyah hidup bukan untuk diri dan keluarga semata.
Aku khuatir tidak lagi berada dalam saf perjuangan ini.
Aku sudah semakin bersedia untuk meluah rasa. Istikharahku
beberapa hari lepas juga memberi isyarat keputusan ini yang terbaik. Ummi dan
abi sudah aku maklumkan semasa kami makan malam bersama kelmarin.
“Kenapa tiba-tiba buat keputusan mengejut?” soal abi sedikit
tegas.
Air muka ummi juga kelihatan keruh. Mujur nasi sudah
dijamah. Kalau tidak, mahu juga terbantut selera orang tuaku mendengar
kejutanku ini. Namun aku menjelaskan satu persatu tanpa selindung. Terang dan
jelas.
“Tapi Luqman tu kan lulusan agama. Takkan dia nak bina
keluarga yang langgar syariat. Lagipun Farah sudah tahun akhir pengajian. Kawan
sebaya Farah dah beranak pinak dah.” Komen abi lagi kurang senang dengan
keputusanku.
“Memang benar abi. Farah tak nafikan, Luqman seorang yang
baik. Farah bukan sekadar nak bina baitul muslim, tetapi Farah nak lebih lagi.
Farah nak bina baitul dakwah. Insyaallah, Farah yakin, Allah Maha Mengetahui.
Soal jodoh sudah tersurat. Farah cuma minta abi dan ummi doakan Farah
dimudahkan urusan jodoh. Bertemu dengan seseorang yang benar-benar dapat
bersama dengan Farah menyelusuri laluan dakwah ini.” Jawabku jujur. Tidak perlu
aku menyembunyikan isi hatiku. Abi waliku. Dia juga pasti mahu yang terbaik
untuk puterinya ini.
“Sebenarnya ummi juga terkejut dengan keputusan mendadak
ini. Apatah lagi Farah sudah pernah berjanji untuk menerima Luqman . Ummi tidak
mahu orang kata kita tidak berpegang pada janji. Tetapi ini soal hidup dan masa
depan Farah. Sekali Farah bersetuju memilih Luqman menjadi suami, ketaatan dan
kesetiaan Farah sudah tidak boleh berbelah bagi. Perkahwinan adalah jambatan
Farah menuju syurgaNya. Redha Allah beriring dengan redha suami. Jika dari awal
lagi Farah sudah yakin tidak punya keserasian dan kesefahaman terutama pula
melibatkan soal fikrah yang ada sangkut pautnya dengan agama, maka memang wajar
Farah menilainya kembali. Ummi ikut saja keputusan Farah, ummi sentiasa
mendoakan yang tebaik untuk anak ummi.” Panjang lebar ummi menghuraikan
pendapatnya. Pandangan yang menyejukan jiwaku. Ternyata naluri keibuannya dan
naluri kewanitaan yang kami kongsi
bersama memudahkan ummi memahami situasiku. Lantas aku memeluk ummi dengan
erat.
Abi juga akhirnya mengangguk tanda setuju. Keputusan kami
capai di meja makan malam itu. Sedari kecil aku memang sudah diasuh, sekecil
mana jua masalah, berbincang terlebih dahulu dengan ummi dan abi.
Kedua orang
tuaku mengingatkanku berulang kali, khabarkan kepada Luqman keputusan mengejut
itu dengan cara baik.
Tepat pukul 9 malam, Luqman menelefonku. Beriring doa di
hati agar dipermudahkan, aku mengangkatnya.
“Assalamualaikum…buat apa permaisuri hati?” ceria suara
Luqman.
“Waalaikumussalam.” Ringkas jawapanku. Berbalut rasa tidak
senang dengan kata ganti diri yang ditujukan untukku.
“Kata tadi ada perkara nak bincang. Apa dia?” tanyanya ingin
tahu.
“Tak apalah, enta nak bincang apa petang tadi, enta mulakan
dulu.” Aku tidak mahu Luqman akan kehilangan bicara saat dia mendengar terlebih
dahulu apa yang aku ingin perkatakan.
“Oh..tak ada apa-apa. Ana sekadar nak bertanya khabar.
Memastikan permaisuri hati ana sentiasa dalam keadaan sihat walafiat.” Rutin
hariannya, menelefonku sekadar bertanya khabar. Tanpa ada hal mustahak dan
penting untuk dibincangkan. Sesuatu yang aku rasa tidak perlu dizahirkan.
Simpan segalanya saat aku benar-benar menjadi miliknya. Bukan cinta begini yang aku dambakan. Bukan
sama sekali.
“Hmm…sebelum bercerita panjang, ana mohon kemaafan terlebih
dahulu. Mungkin apa yang ana luahkan ini akan mengejutkan enta.” Aku memulakan
bicara.
“Bunyi macam penting saja. Ana bersedia mendengar.” Balas
Luqman semakin ingin tahu. Suaranya sudah mulai serius.
“Ana dah buat keputusan, ana tak boleh teruskan hubungan
kita ini. Ana sudah berfikir panjang. Bukan sebab enta tidak baik, tetapi ana
bukan yang terbaik untuk enta. Impian kita tidak sama. Ana tidak mampu
melepaskan ikatan perjuangan yang sudah ana simpul mati dalam diri ana. Ana
tidak mahu mengorbankannya kerana sebuah perkahwinan. Sekali lagi ana mohon
sejuta kemaafan.” Ringkas penjelasanku. Tapi aku pasti cukup jelas isinya,
sebab hal ini bukan pertama kali kami bincangkan. Bezanya malam ini, aku nekad
dengan keputusanku. Talian sepi seketika. Tiada butir bicara Luqman sampai ke
corong telingaku. Aku tidak mahu membayangkan wajahnya. Tidak mahu ada apa-apa
yang akan merubah keputusanku lagi.
“Kalau itu permintaan enti, ana tak boleh kata apa-apa lagi.
Ana akur semuanya. Ana terima ini sebagai suratan takdir. Jodoh kita tiada.
Semoga enti bertemu dengan insan yang sepadan, punya aspirasi dan impian yang
sama.” Luqman akhirnya bersuara. Nadanya tidak lagi ceria, berbaur kesal dan
kecewa.
“Terima kasih atas doanya. Sekali lagi ana mohon maaf
sangat-sangat,” aku mengulangi permohonan maafku. Tidak mahu ada garis luka
dijiwanya. Walau aku tahu itu mustahil.
“Ana pun sama..maaf untuk segalanya. Assalamualaikum.”
Luqman menamatkan perbualan, ada getar dihujung suaranya.
Aku terkedu menggengam telefon bimbitku. Tidak menyangka
seringkas itu perbualan kami. Tanpa pujuk rayu dan hujah balas. Jauh di sudut
hati, aku terus berdoa, jangan ada benci di antara aku dengan Luqman. Apatah
lagi, aku menamatkan perhubungan yang sudah sangat hamper ke gerbang pernikahan
ini. Ada juga terbit rasa bersalah di hatiku, terutama saat mendengar getar
suara Luqman yang tidak mampu menyembunyikan kekecewaannya. Namun aku sudah
tidak boleh berpatah kembali lagi. Jalan inilah yang terbaik untukku. Hasil
musyawarah dengan kedua orang tuaku serta istikharah berulang kali dengan Sang
Pencipta. Tiada ragu lagi.
Aku menarik nafas dalam dan menghembuskannya perlahan.
Syukur Allah permudahkan segalanya. Aku kini bebas dari resah jiwa dan beban
minda. Aku boleh fokus sepenuhnya pada amanah dakwah. Tugas dakwah melebihi
masa yang ada. Tiada ruang aku bermain-main dengan waktu yang berlalu tanpa
mungkin diputar ganti.
Sebelum mata terlena malam itu, sempat aku merenung rembulan
dan bintang bercahaya. Tiada lagi wajah Luqman. Wajah siapa yang akan mengisi
taman hati, aku juga tidak pasti. Tetapi aku yakin, dia akan hadir di sisi. Dia
yang akan memimpin tanganku berlari berkejaran di medan dakwah ini hingga kami
hanya akan berhenti berehat, setelah sampai di taman syurgawi. Aku pasti…DIA
ADA.
1 comment:
assalamualaikum . kak aisyah , nak mintak izin copy post ni :)
Post a Comment