Sunday, August 21, 2011
Setiap hari saya cuba untuk menghabiskan bacaan saya. Masih ada beberapa buah buku yang belum saya buka lagi pembalut plastik. Saya sentiasa merasakan pembacaan saya begitu lambat. Mungkin kerana sejak azali saya memang kurang minat membaca. Atau mungkin kerana setiap ayat yang saya baca, saya ulang berkali-kali sehingga saya faham. Atau kekangan masa, mungkin.
Alhamdulillah, saya usai sahaja membaca sebuah novel ‘Di Sini Kami Berteduh’. Saya amat menyukai jalan cerita novel ini kerana watak utama sama seperti diri saya kini, seorang guru tuisyen dalam subjek Matematik. Hehe…Tatkala membaca buku ini, saya meletakkan diri saya sebagai watak tersebut (perasan..hihi). Cuma yang bezanya adalah saya belum berkahwin dan belum memiliki cahaya mata lagi (^_^)
Novel ini mengisahkan seorang guru tuisyen Matematik yang bernama Tasnim Jawahir, berhajatkan pendidikan agama yang mantap untuk anaknya. Namun suaminya Azam menentang hasratnya untuk menyekolahkan anak mereka di sekolah agama yang mundur. Azam juga memandang sinis usaha isterinya membantu murid-murid sekolah itu dalam akademik.
Saya tertarik dengan petikan ini yang menaikkan semangat saya sebagai seorang guru tuisyen juga.
“Cuma di dalam hati saya ini, saya sentiasa ingin melihat anak-anak Melayu beragama Islam maju ke hadapan. Tiada niat lain. Biarlah Allah Taala yang menilai semua ini.” (m/s 355)
Ibu bapa zaman sekarang ini meletakkan 100 % pada guru dalam mendidik anak mereka. Sekiranya anak mereka membuat kesalahan disiplin maka ibu bapa akan menunding jari kepada guru-guru. Alangkah baiknya sekiranya semua ibu bapa berfikir seperti ini dan tidak menyalahkan pihak sekolah dalam mendidik generasi harapan negara.
“Ini masalah sikap anak kita dan didikan kita, bukannya masalah sekolah agama itu. Mana abang tahu ustaznya tidak menasihatkan pelajar-pelajarnya? Ustaz dan ustazah bukannya pendidik utama. Silap kita adalah sering menyerahkan tanggungjawab mendidik kepada mereka, padahal sepatutnya kita sebagai ibu bapa yang mendidik mereka.” (m/s 164)
Sebagai guru kepada murid-murid dan ibu kepada anak-anak, kita tidak terlepas daripada melakukan tugas-tugas hakiki di rumah seperti membasuh, memasak dan mengemas biarpun kita sibuk dengan kerjaya.
“Mengapa ibu tidak ambil pembantu rumah baru. Ibu tidak letihkah?”
Puan Tasnim yang baru selesai menyusun pinggan mangkuk itu turut menarik kerusi supaya lebih mendekati anaknya. Dia membalas pertanyaan itu dengan sebuah cerita. “Rasulullah pernah menasihatkan anaknya Fatimah, supaya berzikir Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar, setiap satunya sebelum tidur sebanyak tiga puluh tiga kali. Waktu itu Sayidatina Fatimah amat keletihan menyelesaikan tugas dapur dan meminta agar Rasulullah memberikan seorang hamba untuk membantunya. Berzikir itu menenangkan fikiran, menguatkan tubuh badan, dan banyak kebaikannya lagi. Alhamdulillah, menjawab pertanyaan Hanan itu, ibu sememangnya tidak berasa letih.” (m/s 308)
Saya menyarankan kepada sahabat-sahabat untuk membaca novel ini. Sebuah kisah yang sangat bagus dan bermanfaat. Nak pinjam dari saya pun boleh juga. Dialu-alukan.
Entry yang simple.
Sekian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment