Friday, November 5, 2010

WARKAH AISYAH

Salam buat sahabat-sahabat yang sentiasa menziarahi blog Aisyah ini. Seperti entri-entri sebelum ini, Aisyah lebih suka memperbaharui blog dengan menulis perkara-perkara yang berlaku disekeliling berdasarkan pengalaman, pendapat dan luahan Aisyah sendiri. Semoga dengan sedikit perkongsian ini memberi manfaat buat antum yang membaca.


Kalau dulu Aisyah selalu diajukan soalan-soalan seperti keputusan peperiksaan, UPSR dapat berapa A? PMR dapat berapa A? SPM dapat berapa A? Dapat belajar kat MRSM mana? Belajar kat matrik mana? Study kat UPSI ke?



Kini usia Aisyah telah menjangkau 20 tahun soalan-soalan tersebut telah berubah kepada bila nak kahwin? Dah ada calon ke? Tak mahu kahwin awal ke? Tak guna Baitul Muslim ke? Apakah ciri-ciri suami yang Aisyah nak? Dan bermacam-macam lagi soalan yang sering ditanya sama ada dari kawan-kawan, saudara-mara, kalangan pensyarah dan tidak terkecuali warga UPSI.



Tiba-tiba jari-jemari ini terasa ingin meluahkan apa yang terbuku di dalam hati buat bakal suami entah siapakah gerangan orangnya. Hanya Allah sahaja yang tahu. Adakalanya Aisyah terfikir adakah bakal suami Aisyah dapat menerima diri ini dapat mengapai apa yang diusahakan selama ini. Aisyah lebih selesa menggunakan kata ganti diri ‘aku’ dalam menulis warkah buat insan yang tidak pernah kukenali



Satu warkah untukmu daripadaku.. (bakal suamiku)





Warkah ini bertujuan untuk memberikan satu pengertian tentang diriku yang mendalam dalam hatimu agar kamu mengetahui bahawa dua frasa iaitu “mengetahui dan mengenali” adalah sesuatu yang berbeza. Aku tahu diri mu hanya ‘mengetahui’ diri ini sahaja yang bernama Aisyah, tinggal dimana, anak sulung dan sekian, sekiannya. Tapi bukan mengenali diriku.



Ku harap usai membaca warkahku ini kamu cukup mengerti apa yang ku ingin sampaikan agar kamu dapat menerima diriku ini seadanya. Ku juga ingin minta maaf andai isi warkah ini ada kekurangan dari segi sudut agama. Sesungguhnya diri ini merupakan insan yang sedang mencari apa yang sepatutnya dimiliki sebagai seorang Islam.



Sebagai seorang wanita aku inginkan seorang pemimpin dalam keluargaku dan diriku adalah sayap kiri bagi dirinya. Ku tahu seorang suami juga mengimpikan isteri yang solehah yang sentiasa meluangkan waktu bersama dirinya dan juga anak-anak. Tapi sebelum itu, aku ingin memohon restu agar dirimu mengizinkan satu permintaanku…



Jalan yang kupilih ini telahku mula laksanakan sejak diriku bergelar mahasiswa lagi. Tanggungjawab yang pikul melebihi masa yang ada. Lantaran, ku mohon agar dirimu tidak akan keberatan untuk mengizinkan ku keluar daripada istana kita. Sesungguhnya jalan yang akan ku pergi merupakan jalan yang sentiasa diredhai-Nya. InsyaAllah, aku berjanji akan ku jaga maruahku, maruah dirimu, maruah keluargaku dan maruah agama kesayanganku selagi aku sedar siapakah diriku walaupun kutahu tugas seorang isteri adalah lebih penting. Syarat untuk menjadi warga syurga bagi seorang isteri cukup baginya jika mentaati suami, menjaga solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan dan menjaga maruahnya. Namun, aku terpanggil untuk berbakti pada agama yang kini semakin berkurang bilangan insan yang mahu menegakkan tiang-Nya. Diri ini telah melalui pelbagai proses tarbiyah dan amatlah rugi andai dikau menjadikan aku sebagai simpanan untuk berada di rumah dan tidak mengizinkan aku berada di medan lapangan jihad.



Diriku tidak boleh duduk diam sahaja di rumah tanpa membuat sesuatu kepada umat Islam. Oleh itu, janganlah kamu bersikap cemburu andai satu masa kamu terlihat diriku berbicara dengan rakan seperjuangan mahupun masyarakat. Mengertilah wahai suamiku bahawa apa yang aku lakukan tidak akan melanggar syariat dan batas-batas kerana diriku adalah isterimu. Diriku adalah milik-Nya, moga kamu akan meletakkan diriku satu tempat yang paling dalam di dalam hatimu untuk kamu memahamiku bahawa tugas yang ingin ku lakukan selepas menjadi milikmu.



Walaupun separuh hari, tugasku adalah mendidik anak bangsa namun ku harap kamu akan bersedia merelakan diriku memberikan bukan separuh masa lagi untuk keluarga kita tetapi mungkin hanya suku sahaja masa. InsyaAllah, akan aku bahagikan masa yang paling cukup untuk memberikan kasihku kepadamu dan anak-anak kita agar ku tetap menjadi tulang belakangmu yang paling kuat menyokong dan ibu yang terbaik disisi anak-anak. Andai satu hari nanti kita saling kesibukan dengan kerjaya masing-masing, ku harap dirimu sudi menyingsing lengan bajumu untuk membantuku mengurus rumahtangga dan anak-anak.



Walaupun ku tahu diriku tidak sempurna, namun ku berharap kamu mampu menjadi pemimpin dalam membentuk keluarga sakinah dalam rumahtangga. Andai aku melakukan kesalahan, tanpa segan silu kau tegurlah aku, apa yang aku mahukan agar bahtera rumahtangga yang kita bina bukan semata-mata atas dasar cinta sahaja kerana itu bukanlah satu perkara yang terbaik dalam membentuk ummah yang sejati.


Pengertian dan kesabaranmu yang paling kuharapkan pada dirimu agar kamu memahami tugasku sebagai seorang anak, kakak, cikgu, isteri, ibu dan da’ie dalam kalangan masyarakat Islam.


Moga kamu mengizinkan permintaanku sejak kamu melafazkan akad penyatuan kita berdua.



Nukilan ikhlas daripada hati


~ Aisyah Mawaddah~

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails