Cuma tinggal 2 bulan sahaja setelah hampir 1 tahun kami bersama. Seorang insan yang selalu mengambil berat dan memanggil diri ini dengan panggilan ‘Aisyah Habibati’. Aisyah amat menyukai dengan panggilan tersebut. Aisyah telah menganggap dirinya sebagai ‘ummi’. Insan tersebut adalah Dr Essmet yang merupakan pensyarah Bahasa Arab yang berasal dari Gaza, Palestin.
Dr Essmet akan menamatkan kontrak sebagai pensyarah di UPSI pada hujung tahun ini. Beliau akan berangkat ke negara asalnya untuk tinggal bersama keluarga tercinta.
Hingga kini,masih ramai pelajar UPSI yang tertanya-tanya macam mana Aisyah boleh rapat dengan Dr Essmet dan selalu sahaja keluar makan bersama-sama sedangkan beliau tidak pernah mengajar Aisyah pun. Tambahan pula Aisyah mengambil jurusan Matematik dan bukannya Bahasa Arab. Macam mana Aisyah boleh berkomunikasi dengan Dr Essmet sedangkan pelajar yang mengambil jurusan bahasa arab pun belum tentu faham apa yang beliau ingin sampaikan.
Biarlah Aisyah menjelaskan segala-segalanya di sini. Pada suatu hari, selepas solat maghrib di surau pada semester yang lepas, Aisyah meminta seorang senior untuk menyemak bacaan berserta tajwid Aisyah. Kebetulan Dr Essmet turut berada di situ. Maklumlah lidah orang Melayu tidak sama seperti orang Arab, maka Dr Essmet pun memperbetulkan bacaan Aisyah. Dari situlah Aisyah mula kenal dan rapat dengan Dr Essmet. Tanpa segan dan silu Aisyah meminta Dr Essmet untuk mengajar Aisyah membaca Al-quran dengan sebutan yang betul. Selain itu, Dr Essmet turut memberi maksud setiap ayat yang dibaca. Secara tidak langsung Aisyah dapat mempelajari Bahasa Arab sekali gus. Jika direnung-renungkan seketika, itulah mukjizat dan hikmah mempelajari Al-quran. Bukan sahaja belajar cara sebutan yang betul malah dapat belajar bahasa arab serta memahami maksud setiap ayat, pahala pun dapat juga. Subhanallah.
Memandangkan Aisyah tidak fasih berbahasa arab, kami hanya berkomunikasi dengan bahasa inggeris sahaja. Sedikit tips yang ingin dikongsikan bersama, sejujurnya Aisyah bukannya hebat sangat bertutur dalam BI tapi kita kena berani bercakap. Apabila kita berkomunikasi, lupakanlah pasal grammar sama ada nak guna ayat past tense ke, present tense ke, future tense dan sebagainya. Bagi Aisyah matlamat berkomunikasi adalah ‘point’ yang ingin disampaikan itu di ‘delivered’. Tidak usah berasa payah dan susah untuk berkomunikasi dalam bahasa inggeris. Itulah sikap orang Melayu yang malu tidak bertempat. Dalam menuntut ilmu ini tidak perlu ada perasaan malu. Kalau tidak tahu, kita perlu bertanya. Bukankah dalam pepatah melayu sendiri pernah berkata, “malu bertanya sesat jalan” tapi mengapa masih tidak dipraktikalkan dalam kehidupan seharian. Tidak mengapa sekiranya guna English broken pun. Ini salah satu meningkatkan soft skills dalam diri. Alhamdulillah berkat sentiasa bercakap dengan bahasa inggeris dengan Dr Essmet setiap hari, markah subjek English semakin meningkat dan berani melontarkan pendapat dalam bahasa inggeris juga. Syukur
Satu lagi, Aisyah memang suka sangat pergi rumah Dr Essmet. Suka berbual-bual dengan beliau kalau tiada apa-apa program dan aktiviti. Setiap kali Aisyah pergi rumah Dr Essmet sudah pasti Dr Essmet akan menyediakan makanan masakan arab untuk Aisyah. Pada mulanya, memang susah nak telan dan tekak terasa kembang. Mungkin selera orang Malaysia tidak sama dengan masyarakat arab. Tapi lama kelamaan Aisyah dah boleh makan masakan orang arab. Banyak menu masakan arab yang Dr Essmet ajar Aisyah. Rasa tidak sabar untuk cuba masak buat keluarga tercinta di Parit, terutama sekali buat umi Aisyah sendiri. Sepanjang Aisyah tinggal dengan Dr Essmet, dia pasti akan mengingati Aisyah untuk berselawat, membaca doa dan zikir sama ada sedang membasuh, memotong, mengacau dan menyenduk makanan. Biarpun makanan itu nampak ringkas tapi sedap sehingga menjilat jari. Makanan yang sedikit pun menjadi berkat dan cukup untuk semua orang. Dr Essmet selalu pesan pada Aisyah, apabila bergelar sudah seorang isteri nanti kena selalu masak untuk suami. Air tangan seorang isteri itu akan membuatkan suami lebih sayang pada kita. Adakalanya Dr Essmet lah orang yang paling beriya-iya suruh Aisyah kahwin awal sekiranya sudah ada calon. Dr Essmet kata, di negaranya ramai gadis-gadis yang sebaya dengan Aisyah sudah pun mendirikan rumah tangga. Bagi Aisyah, biarlah habis belajar dulu kerana Aisyah perlu bantu adik-beradik terlebih dahulu.
Sejujurnya Aisyah sendiri memang suka bergaul dengan orang-orang yang lebih tua atau matang daripada Aisyah. Begitu banyak ilmu yang kita perolehi daripada mereka. Nasihat dan pengalaman diri mereka akan mengajar diri kita untuk bersifat lebih matang dalam menghadapi cabaran-cabaran arus kemodenan serta fitnah-fitnah dunia.
Buat Dr Essmet, I will miss you. You are part and parcel of my life at here.
No comments:
Post a Comment