Thursday, July 28, 2011

LATIHAN KEHAMBAAN

Assalamualaikum wbt

Jika sebelum ini kita pernah mengikuti berpuluh-puluh kursus ke, perkhemahan ke, tamrin ke ataupun aktiviti lasak yang berbentuk training untuk melatih kepimpinan dan kepakaran. Maka Ramadhan adalah training yang kita yang sebenar, ‘Latihan Kehambaan’. Yang mana jangka waktunya adalah selama sebulan. Seandainya kita bagi komitmen yang sebenar-benarnya, maka kita akan dapat objektif program tersebut iaitu ‘Taqwa’ dan ‘Malam penganugerahan lailatul qadar’

Ramadhan bulan yang dinanti-nantikan oleh segenap umat Islam tak kira di mana berada. Bulan yang menjanjikan pahala-pahala amalan yang berlipat kali ganda. Bulan yang mana pintu-pintu syurga terbuka luas dan pintu-pintu neraka tertutup rapat. Bulan di mana syaitan-syaitan dibelenggu. Bulan yang di permulaannya rahmat, pertengahannya maghfirah (ampunan) dan di akhirnya pembebasan dari api neraka. Itulah Ramadan Al-Mubarak. Ramadan penuh berkat.

Sempat juga saya membaca majalah SOLUSI sewaktu menunggu kakak-kakak keluar dari dewan SITC. Tiba-tiba saya tertarik dengan ruangan ‘Check List Ramadhan’. Lebih kurang macam jadual Mutaba’ah. Dulu sewaktu belajar di matrikulasi saya pernah menyuarakan pandangan berkaitan cadangan membuat jadual mutaba’ah.

“Mengapa perlu ada jadual mutaba’ah. Pada saya, semua ini bakal mengganggu keikhlasan kita dalam beramal ibadah. Nanti kita beramal semata-mata hendak memenuhkan ruang-ruang kotak dalam jadual mutaba’ah berkenaan.” Tersenyum sendirian. Terkenang zaman usrah di matrikulasi dulu, saya selalu argue dan memberi pandangan sendiri tapi naqibah tidak pernah menyalahkan saya dan mereka selalu berlapang dada malah saya amat berpuas hati dengan jawapan mereka.


Bagus juga Check List Ramadhan ini. Setidak-tidaknya puasa kita ini bukan sekadar menahan lapar dan dahaga malah terisi dengan amalan-amalan yang lain. Setiap umat Islam perlu membuat penilaian terhadap amal ibadah yang dilakukan. Penilaian ini penting bagi membolehkan kita membuat perubahan ke arah yang lebih baik. Kita tentu tidak mahu puasa kita hanya setakat puasa golongan awam selama-lamanya bukan?

Ramadhan bakal menjelang dua hari lagi, sudah pasti ada antara pembaca entry ini sudah meletakkan sasaran dan harapan ramadhan kali ini supaya mutu puasa lebih baik dari tahun-tahun sebelumnya. Selain itu, puasa hendaklah dilaksanakan dengan pakej latihan yang berbentuk ‘hablumminallah dan hablummi annas’. Antara pakej latihan itu ialah solat Tarawih, membaca Al-Quran, memperbanyakkan sedekah, beriktikaf di masjid dan qiamullail. Seperti mana kita buat latihan intensif atau latih tubi bagi menghadapi peperiksaan, begitu juga latih tubi pada bulan Ramadhan. Latihan ini adalah persediaan untuk kita menjadi Muslim yang lebih bertakwa, menghadapi hari-hari penuh cabaran dan ujian selepas Ramadhan nanti.

Sekian

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails