Saturday, January 22, 2011

BERCINTA DI HARI LAHIR


Salam. Entry kali ini sekadar untuk berkongsi link yang Aisyah baru baca tadi. Kebetulan nama watak heroin sama dengan Aisyah pula.

Sebenarnya Aisyah ingin sahabat-sahabat semua tahu, mengapa Aisyah suka menghadiahkan buku dan bukannya teddy bear, bunga, frame gambar dan sebagainya. Buku nota kecil kira ok lah tu (khas buat anak murid Cikgu Aisyah sahaja)

KLIK DI SINI
Bercinta Di Hari Lahir | iluvislam.com + discover the beauty of islam

Friday, January 21, 2011

JANUARI INI


Salam buat sahabat-sahabat yang setia mengunjungi blog Aisyah Mawaddah ini. Hampir 3 minggu Aisyah tidak mencoretkan sesuatu sebagai entry baru. Follower pun semakin bertambah. Alhamdulillah, bila ada insan yang membaca tulisan kita, itu bererti dia menghargai usaha yang kita lakukan. Harapan Aisyah, semoga apa yang ditulis ini akan menjadi manfaat untuk diri Aisyah dan sahabat-sahabat sekalian.

Alhamdulillah, program besar JMK untuk bulan ini sudah selesai cuma selepas ini kami akan berkursus sahaja pada hujung bulan. Insyaallah. Sepanjang bulan Januari ini Aisyah memang agak sibuk sehinggakan Aisyah dilarang untuk menderma darah pada Karnival Insaniah Bestari kerana kurang tidur dari 5 jam. Alhamdulillah, Aisyah kini telah sembuh dari demam, batuk dan juga sakit tekak. Terima kasih buat teman-teman yang sentiasa mendoakan kesejahteraan kesihatan Aisyah. Hanya ungkapan ribuan terima kasih yang mampu Aisyah berikan. Syukran.

Bukan mudah untuk kita thabat dalam perjuangan. Bagi Aisyah segalanya bermula dari dalaman kita sendiri. Motivasi dan disiplin diri perlu kuat. Hubungan kita dengan Allah perlu dijaga. Sekarang ini Aisyah sedang belajar ilmu kesabaran, ketabahan, kecekalan yang tidak terdapat di dalam bilik-bilik kuliah. Apabila Aisyah menyoroti dan membaca kisah-kisah pejuang wanita, Aisyah berasa sangat cemburu kerana mereka semua begitu kuat dalam menghadapi segala mehnah yang diberikan. Mereka menjadi sayap kiri kepada mujahid dan mengorbankan segala jiwa, harta, masa, kehidupan untuk syahid ke jalanNya. Aisyah tidak mampu menjadi seperti mereka tetapi Aisyah ingin bekerja keras seperti mereka.

Terima kasih buat kakak-kakak dan sahabat-sahabat kerana sudi pinjamkan bahu kalian untuk diri ini. Tidak lupa juga kawan lama yang Aisyah kenal dari bangku sekolah lagi yang turut memberi kata-kata nasihat , “ Jangan biarkan urusan kepimpinan membuatkan kita terabai dalam menjaga hubungan dengan Allah dan lupa untuk menambah ilmu. Jangan kita hanya asyik membuat program untuk orang lain sehingga kita abaikan program dan aktiviti yang telah Allah susun untuk kita.”

Sekian.

Wednesday, January 19, 2011

ARAHAN YANG MUDAH


Jangan baca artikel ini. Artikel ini tidak mengandungi sebarang formula matematik mahupun fakta-fakta sains. Jadi, hentikan bacaan anda kalau anda masih membaca artikel ini. Arahan saya cukup mudah. Anda hanya membuang masa anda. Jika maklumat penting dan menarik yang anda cari, di sini bukan tempatnya. Berhenti membaca sekarang. Jangan baca artikel ini. Saya ulangi kali kedua jika anda masih belum mencerna arahannya. Jangan degil. Untuk pengetahuan anda, anda masih membaca artikel ini. Sudah saya katakan, jangan baca artikel ini. Susahkah untuk menuruti sebuah arahan mudah? Seperti saya katakan tadi, anda hanya membuang masa anda. Tiada apa yang anda cari di sini. Sedar atau tidak anda sebenarnya masih membaca artikel ini. Kali terakhir saya mohon, agar jangan baca artikel ini. Nampaknya arahan saya ternyata sia-sia. Sudah dapat apa yang anda cari?


Artikel di atas sengaja dinukilkan untuk menguji sejauh mana anda mampu mengikut arahan. Bagi sesiapa yang berjaya menghentikan bacaan dengan hanya membaca ayat pertama, tahniah diucapkan. Bagi yang tidak, fikir-fikirkan...

***

Allah suruh tutup aurat, jangan pakai ketat-ketat
Allah suruh jauhi maksiat, jangan duduk rapat-rapat
Allah larang kita buat jahat, jangan suka khianat
tapi apa kita buat?

Susahkah nak ikut arahan Allah?
Nak tunggu matahari terbit di baratkah baru nak berubah?

Friday, December 31, 2010

TAHUN 2011


Selamat Tahun Baru buat pengunjung-pengunjung sekalian. Mulakan azam tahun baru anda untuk memperbaiki diri. Eh, adakalanya Aisyah terfikir juga mengapa Tahun Baru Hijri orang tidak berapa nak sambut? Tahun baru Masihi pula bersungguh dan beriya-iya pula. - Jajahan pemikiran yang berlarutan. Cara hidup Islam seolah diibaratkan tidak sesuai dalam diri kita. Kesan sebeginilah yang dikehendaki oleh orientalis barat.



~Fikir-fikirkanlah~



Sekian.

PELAJAR CIKGU AISYAH

Pelangi-pelangi ,
Alangkah indahmu,
Merah Kuning Hijau,
Di langit yang biru,
Pelukismu Agung,
Siapa gerangan,
Pelangi-pelangi,
Ciptaan Tuhan,
Allahuakbar!

Itulah lagu tema yang Aisyah ajar kepada pelajar-pelajar dari negara Kemboja sebelum tamat kelas Matematik pada setiap hari. Kini, hampir dua bulan Aisyah mengajar mereka. Alhamdulillah, peningkatan mereka dalam subjek matematik semakin bagus. Syukur. Hanya tinggal sebulan sahaja untuk mereka berada di UPSI bagi melengkapkan kursus pendidikan sebelum mereka bergelar guru di Kemboja.

~Impian diri untuk menjadi seorang pensyarah~

Mesti anda semua tertanya-tanya, adakah Aisyah mengajar pelajar –pelajar lingkungan belasan tahun bukan? Sebenarnya pelajar-pelajar Aisyah adalah lebih tua berbanding umur Aisyah sendiri. Usia mereka dalam lingkungan 22-29 tahun. Mereka semua adalah bakal guru di Kemboja kelak. Pihak UPSI telah bekerjasama dengan Kemboja bagi membantu taraf pendidikan di negara tersebut. Sementara pembinaan sekolah sedang dijalankan, pada jangka masa yang sama pihak UPSI perlu sediakan guru-guru yang terlatih bagi meningkatkan kualiti pendidikan sejurus pembinaan sekolah tersebut telah siap dibangunkan.

Pihak UPSI telah memilih beberapa orang dari kalangan penduduk Kemboja yang beragama Islam untuk berkhidmat sebagai pendidik. Bahasa Melayu dijadikan sebagai bahasa pengantar. Dari segi silibus atau sukatan pelajaran yang diguna pakai adalah tidak sama seperti di Malaysia.

Berdasarkan pengalaman Aisyah sendiri sebagai tenaga pengajar bagi subjek Matematik sukatan pelajaran digunakan adalah standard seperti sekolah rendah. Pada permulaannya, Aisyah agak sukar untuk berkomunikasi dengan mereka kerana hanya segelintir sahaja yang faham Bahasa Melayu apatah lagi bahasa Inggeris kerana rata-rata antara mereka tidak mahir berkomunikasi dalam kedua-dua bahasa tersebut . Agak lucu juga kerana kami berkomunikasi dengan menggunakan isyarat atau gaya sahaja.

Alhamdulillah,mereka semua begitu rajin, tekun dan berusaha dalam menuntut ilmu. Tidak susah untuk mengajar mereka.Mereka sentiasa bertanya sekiranya mereka tidak faham. Aisyah selalu berbual dengan Ali dan Yusuf bagi mengetahui sistem pendidikan di negara Kemboja kerana mereka adalah antara pelajar yang boleh bercakap Bahasa Melayu biarpun agak sedikit tunggang-langgang, asalkan faham cukuplah.

Buat masa ini Aisyah sendiri yang merangka sukatan pelajaran bagi subjek matematik berdasarkan kemampuan dan kefahaman mereka dalam tempoh masa 3 bulan. Selain itu, Aisyah turut mengajar mereka teknik-teknik mengira dengan pantas dan mudah agar dapat dipraktikan di Kemboja kelak.

Yang paling lucu sekali, memandangkan semua pelajar Aisyah adalah lelaki, mereka semua sangka Aisyah ini Cikgu Datin Aisyah dan sudah berkahwin dengan seorang Dato’ (tak pernah wujud pun). Aisyah tidak merasa kekok pun sepanjang mengajar mereka, mereka begitu hormat sekali pada guru-guru lain termasuk subjek BM dan BI.

Satu lagi, tidak dilupakan jasa baik Pn. Norhayati kerana memberi peluang dan memilih saya untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar bagi pelajar-pelajar asing antara kalangan ratusan pelajar UPSI Program Pendidikan Matematik. Peluang yang diberikan ini tidak akan saya sia-siakan bagi menimba pengalaman sebagai seorang pendidik kelak.

Kelas malam


Tekun membuat latihan yang diberikan


Yusof, 28, antara pelajar yang fasih berbahasa Melayu

Thursday, December 23, 2010

PMR 2010


Salam buat pengunjung-pengunjung blog Aisyah Mawaddah ini. Semoga kalian sentiasa di bawah lembayung rahmat Ilahi.

Entri kali ini Aisyah ingin mengucapkan tahniah buat adik-adik yang telah meraih keputusan cemerlang dalam PMR 2010 yang telah diumumkan semalam. Teruskan usaha kepada yang sederhana, usah kecewa kepada yang gagal selagi anda berbaik sangka dengan Allah. Teruskan usaha dan kesungguhan anda dalam menuntut ilmu. Jadikan guru sebagai mentor dan rujukan.

Tiba-tiba Aisyah teringat kenangan manis bersama teman-teman kelas 3 Agama sewaktu hendak mengambil keputusan peperiksaan PMR 2005 dulu. Alhamdulillah kami beroleh keputusan yang cukup mengembirakan. Sebenarnya di belakang kejayaan seorang pelajar ialah doa ibubapa dan insan pendidik yang tidak pernah jemu mengajar anak didiknya.

Sekian.

UMUR


Salam buat pengunjung-pengunjung setia blog Aisyah Mawaddah. Sudah terasa begitu lama Aisyah tidak memperbaharui blog dengan entry yang baru. Tup-tup bila buka blog, follower semakin bertambah daripada 40 dah jadi 67 follower.

Alhamdulillah, Allah masih memberi kesempatan untuk diri ini mencoretkan satu perkongsian buat sahabat-sahabat yang tidak pernah putus-putus membaca blog Aisyah ini.

Entri kali ini Aisyah ingin berbicarakan mengenai ‘Umur’. Ya, umur kita sekarang ini khususnya buat pelajar-pelajar UPSI. Sebelum Aisyah mengorak penulisan dengan lebih jauh lagi, terlebih dahulu Aisyah ingin memohon ribuan kemaafan seandainya ada yang tidak bersetuju dengan pandangan Aisyah ini. Ini sekadar pandangan sahaja.
Inilah fenomena yang berlaku di sekeliling Aisyah.

A : “ Hai Kak Aisyah. Nak pergi mana tu..?

B : “Ishh…kenapa panggil kakak? Aisyah sebaya dengan kitalah. Aisyah tu lepasan matrik, sebab tu dia masuk awal setahun berbanding ngn kita.

A : “Oh yeke? Minta maaf ye Aisyah, kami baru je tahu yang Aisyah ini sebaya.

Aisyah : “ Tak pelah, nak panggil Kak Aisyah boleh je. Lagipun saya kan senior semester kamu berdua.”

Itulah antara perbualan pelajar semester 1 lepasan STPM apabila bertemu pelajar semester 3 lepasan Matrikulasi. Masing-masing teragak-agak nak panggil nama atau kena panggil ‘Kakak’. Umur masing-masing adalah sebaya cuma yang berbeza hanyalah semester sahaja.

Ada sesetengah rakan-rakan Aisyah begitu mengambil berat berkaitan umur dan panggilan ini, tapi bagi Aisyah buat apa nak selidik latar belakang pendidikan mereka sama ada mereka itu lepasan SPM ke, STPM ke, Matrik ke mahupun lepasan diploma. Panggil sahaja ‘Cikgu’. Mudahkan? Lagipun kita semua ini bakal guru, guna sahaja gelaran itu.

Sejujurnya, Aisyah kurang selesa memanggil senior lelaki dengan panggilan ‘Abang’ melainkan Keluarga JMK itupun 4 orang sahaja kerana Aisyah menganggap mereka seperti adik-beradik sendiri. Kami akan memegang saf kepimpinan JMK selama satu sidang, jadi kami kena wujudkan cara bekerja seperti satu keluarga. Senior-senior lelaki yang lain Aisyah memanggil mereka dengan panggilan ‘cikgu’ ataupun ‘ustaz’.

Itu baru mukadimmah sahaja, point yang ingin Aisyah sampaikan belum masuk lagi. Sebelum itu, Aisyah ingin sahabat-sahabat sekalian tanya pada diri sendiri, bagaimanakah anda memandang umur anda sendiri?

“La, aku 19 tahun lagi”

“ Tahun ni aku masuk sweet 17 la”

“ Saya baru masuk 20 tahun”

Itulah jawapan yang biasa akan kita dengar apabila membicarakan mengenai tanggungjawab, kematangan, keseriusan dalam hidup mahupun melakukan sesuatu yang besar atau yang berisiko tinggi. Seolah-olah ada banyak masa lagi untuk dilengahkan, ada banyak waktu lagi untuk dibazirkan. Virus kefahaman yang menyatakan waktu muda atau remaja adalah masa untuk berseronok telah menyerap masuk ke dalam jiwa manusia hari ini, termasuklah mereka-mereka yang bakal bergelar pendidik kelak. Bukan niat untuk memburukkan mana-mana pihak tetapi itulah hakikat yang sebenar! Akhirnya terjadilah ‘pemberontakan’ apabila diajak serius untuk menghadapi kehidupan dalam memikirkan masalah ummat atau gejala-gejala masyarakat. Masing-masing mahu melarikan diri. Sedarlah wahai bakal-bakal pendidik.



Mari kita selusuri sirah-sirah nabi dan para sahabat.

Usamah bin Zaid RA sudah mampu menjadi Jeneral Perang ketika usianya mencecah 18 tahun. Kita????

Sultan Muhammad Al-Fateh tawan Konstantinopel dalam lingkugan 21 tahun. Kita???

Kita??? Masih ingin bermain-main dalam melalui hidup sebagai seorang remaja. Kita berasa muda, masih banyak masa, belum waktunya untuk bersusah payah, belum masa untuk berpenat lelah, belum tibanya untuk membanting tulang. Apatah lagi belum saatnya untuk memerah otak berfikir untuk ummat. Belum sampai waktu untuk serius dan matang. Semuanya ‘Belum’....!!! Itukah kita pada hari ini...???

Sudah tentu ramai yang akan menempelak, “Itu mereka tapi bukan kami”

Maksud yang ingin Aisyah sampaikan di sinilah bukanlah nak suruh kamu semua turun mengangkat senjata tetapi ingin mengajak diri ini dan kita semua sedar akan usia kita dalam menjalani hidup dan tidak mengisi dengan perkara-perkara yang lagha. Bersungguh-sungguh dalam meningkatkan kualiti diri, menjadi hamba Ilahi yang terbaik, memenuhi sifat-sifat yang proaktif dan mampu memberikan sumbangan kepada masyarakat.

Agak-agak berapa umur kita nak jadi matang??? Fikir-fikirkan….a

Tuesday, November 23, 2010

KERANA BULU MATA MASUK KE SYURGA



Diceritakan di hari pembalasan kelak, ada seorang hamba Allah sedang diadili. Dia dituduh bersalah kerana mensia-siakan hidupnya di dunia utk berbuat maksiat. Namun begitu dia berkeras membantah,

“Tidak demi langit dan bumi,sungguh tidak benar. Saya tidak pernah melakukan perkara itu…”

“Tetapi saksi-saksi mengatakan engkau betul-betul telah menjerumuskan dirimu sendiri ke dalam dosa”

Orang itu menoleh ke kiri dan ke kanan, lalu merenung segenap penjuru ruang yang ada. Kemudian dia pun menyanggah, “Mana saksi-saksi yang engkau maksudkan? disini tiada sesiapa melainkan aku dan suaramu sahaja.”

Jawab malaikat, “Inilah saksi-saksimu…”

Tiba-tiba mata berbicara,“Saya yang memandang,”

disusuli dengan telinga,“Saya yang mendengar perkara itu”

Hidung pun tidak ketinggalan,“Saya yang mencium”

Bibir pun mengaku dengan slumbernye,“Saya yang merayu”

Tangan tanpa malu meneruskan,“Saya yang meraba dan meramas”

Kaki pula menyusul,“Saya yang berjalan dan berlari semasa itu”

“Nah kalau dibiarkan kesemua anggota tubuhmu akan memberikan kesaksian tentang perbuatan aibmu,” ujar malaikat. Orang tersebut tidak dapat membuka sanggahnya lagi. Ia berputus asa dan amat berduka kerana sebentar lagi ia akan dihumban ke dalam neraka jahannam.. Padahal ia amat berharap agar segala perbuatan jahatnya dapat diselindungi. Tatkala dia sedang dilanda kesedihan, tiba-tiba terdengar satu suara yg amat lembut dari sehelai bulu mata berbunyi, ” Saya pun ingin mengangkat sumpah untuk menjadi saksi dalam perkara ini.”

Malaikat menjawab dengan tenang,“Silakan wahai bulu mata”

“Terus terang sahaja, menjelang ajalnya pada satu malam yang hening, aku pernah dibasahi dengan juraian air mata penyesalan mengenangkan segala perbuatan keji yang telah dilakukan. Bukankah rasulnya telah berjanji, apabila ada seora ng hamba yang ingin bertaubat, walaupun sehelai bulu mata sahaja yg dibasahi dengan air mata, demikian itu diharamkan dirinya dari ancaman api neraka? Maka, saya sehelai bulu mata, berani tampil sebagai saksi bahawa dia telah bertaubat sampai membasahi saya dengan air mata penyesalan.”

Dengan kesaksian bulu mata itu, orang tersebut dibebaskan dari neraka dan segera dihantar ke syurga.

Sunday, November 14, 2010

MENJADI TUNANGAN TANPA SEDAR

Salam buat sahabat-sahabat sekalian. Apa khabar iman hari ini? Semoga sahabat sahabiah sentiasa di bawah lembayung rahmat Ilahi.

Seperti biasa, sebelum Aisyah memulakan rutin harian pagi seperti mengemas, membasuh, bersarapan dan sebagainya, sudah menjadi kebiasaan Aisyah kena buka laptop(online) terlebih dahulu. Tapi selalunya Aisyah tidak pernah shut down laptop pun sehingga waktu pagi kerana suka memperdengarkan bacaan ayat-ayat Al-quran radio IKIM.fm online hingga terlelap. Bila azan berkumandang di radio IKIM baru Aisyah terjaga.

Aisyah suka online pagi-pagi kerana nak mengelakkan daripada tertidur semula selepas solat subuh dan bacaan Al-Mathurat, lagipun strength internet memang laju pada waktu pagi kerana tidak ramai yang online pada waktu tersebut dan satu lagi baca surat khabar online seperti Kosmo, Merto dan berita harian.

Sedang asyik leka membaca, tiba-tiba mata ini tertarik dengan sebuah artikel, lalu Aisyah klik pada tajuk artikel tersebut. Setelah membaca, Aisyah berhasrat untuk berkongsi bersama sahabat-sahabat sekalian yang mengunjungi blog Aisyah Mawaddah ini. Sebenarnya Aisyah pun baru tahu berkaitan hal ini. OKlah,selamat membaca.



Percaya atau tidak, kita boleh ber”tunang” tanpa sedar?? Yup, kita boleh bertunang tanpa kita sedar, bila seorang lelaki, berhasrat untuk mengambil seorang perempuan untuk dijadikan isteri. Eh, itu memang normal bukan? Tapi, yang anda mungkin tidak tahu, anda sebenarnya sudah bertunang bila situasi seperti berikut berlaku:

Lelaki menyatakan hasrat ingin menjadikan perempuan itu isterinya, dan perempuan itu bersetuju. Adakah dikira telah bertunang? Padahal tidak ada ibu bapa perempuan tersebut.

Pinang dari segi hukum fiqah, bererti pihak lelaki menyatakan hasrat berkahwin pada pihak perempuan. Itu dipanggil pinang. Bila perempuan menjawab setuju, maka jadilah perempuan itu tunang laki tersebut.

Situasi yang dianggap pinangan:

"Aku nak jadikan kamu sebagai isteriku"

"Kahwinlah dengan kita bila-bila"

Bila si perempuan bersetuju, dia akan jadi tunang. Sama ada bercakap dalam telefon, tetap dah jadi tunang.

Contoh:

"lelaki sebut dalam telefon, "I nak jadikan you isteri I lah"

Perempuan tersebut jawab, I sukalah, I setujulah, oraitt I’m fine, oklah, I redha atau apa-apa yang menunjukkan dia suka dengan “pinangan” lelaki tersebut, maka ia sudah dianggap bertunang.

Jadi, bila dia dah jadi tunang orang tanpa sedar, bila ada lelaki yang meminang, hukumnya haram.

Kita orang melayu time nak tunang duk bawang rombongan 1 bas, bawa barang-barang pinangan, itu sebenarnya adalah ADAT bukan dari segi hukum Islam. Dari segi hukum Islam, dah jatuh hukum tunang.

Persoalan ialah bila Ibu bapa tidak ada. Mengikut hukum syarak, kalau perempuan itu sudah diizin pada syarak. Sebagai contoh, perempuan yang cerdik, yang baligh, yang boleh berfikir, etc dia sudah dianggap bertunang.

Bila perempuan tu x menepati hukum syarak tersebut, contoh seperti belum baligh lagi(baru darjah 3 mungkin), perempuan tu bodoh(tidak boleh berfikir), gila, dan sebagainya, makanya wali diperlukan untuk jawab “pinangan” tersebut.



~Adakah anda ternganga bila tiba-tiba tahu anda sudah menjadi tunangan orang tanpa sedar?~

KASIH UMMI


Inilah mesej yang dihantar oleh ummi untuk anak perempuan sulung yang bernama Puteri Nor Aisyah. Menitis air mata setiap kali Aisyah membaca semua mesej-mesej daripada ummi dalam inbox yang Aisyah save. Apatah lagi ketika Aisyah menaip semula mesej-mesej yang ummi berikan ini untuk dikongsikan bersama sahabat. Ya Allah begitu kasihnya ibuku terhadap diri ini.

Ummi: ‘Jangan lupa solat. Ingat Allah selalu. Jadi anak yang solehah. Umi sentiasa doakan anak-anak semoga berjaya di dunia dan akhirat.’

Ummi: ‘Aisyah busy ke? Umi boring ni. Nanti mesej umi ye’

Ummi: ‘Selamat menjawab peperiksaan. Jangan gopoh2 jawab soalan dan baca soalan berhati-hati’

Ummi: ‘Aisyah jangan lupa baca Al-quran, zikir, dan solat tahajud. Semoga jadi anak yang solehah dan bertemu dengan jodoh yang soleh’

Ummi: ‘Aisyah balik tak minggu ini?’

Ummi: ‘Aisyah, abi dah bank in kan duit tadi. Kena jimat-jimat dalam belanja’

Ummi: ‘Aisyah, bangun sayang. Mari solat sunat tahajud. Berdoa pada Allah.’

Ummi: ‘Selamat hari lahir Aisyah. Semoga panjang umur dan murah rezeki. Jadi anak yang solehah. Umi doakan Aisyah semoga berjaya di dunia dan akhirat’

Ummi: ‘Insyaallah umi poskan barang-barang Aisyah esok guna pos laju’

Ummi: ‘ Aisyah hari ini nisfu Sya’ban. Jangan lupa baca yasin 3 kali dan berdoa pada Allah’

Ummi: ‘Aisyah, dah baca doa dan akhir tahun?’

Ummi: ‘ Aisyah dah pergi klinik ke? Banyak minum air masak sbb sekarang ini mmg cuaca panas dan sentiasa bw payung. Umi doakan semoga Aisyah cepat sembuh ’

Ada banyak mesej yang ummi selalu kirimkan buat Aisyah. Itu tidak termasuk panggilan telefon lagi. Adakala Aisyah yang akan menelefon ummi.

Ummi, Aisyah ingin mulakan hari-hari yang Aisyah lalui diredhai dan doa ummi . Ummi, Aisyah bahagia kerana ummi sentiasa mengingati Aisyah dalam apa jua perkara. Aisyah rasa cukup bertuah dan beruntung kerana ummi Aisyah selalu mengambil berat terhadap Aisyah dan juga adik-adik yang lain. Doa ummi tidak pernah putus-putus buat kami adik beradik. Itulah hakikat kebahagian buat Aisyah.

~Ummi semoga kita sekeluarga dapat bertemu di syurga~


~Ummi doakanlah agar kami menjadi anak yang soleh dan solehah~


Anak-anak kesayangan ummi:
~Puteri Nor Aisyah, 20
~Puteri Nor Adibah, 19
~Megat Ahmad Yusuf, 18
~Megat Ahamd Yusri, 17
~Puteri Nor Aqilah,16
~Megat Ahmad Zuhdi,12

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails