Monday, June 28, 2010

REMAJA MUSLIM



Salam buat sahabat-sahabat yang sentiasa mengunjungi blog ini terutama dari kalangan mahasiswa UPSI. Apa khabar iman di hati? Semoga sahabat-sahabat semua di bawah lembayung rahmat-Nya. Aisyah terasa ingin mencoretkan sesuatu biarpun semakin hari kerja semakin bertimbun. Hampir dua minggu Aisyah tidak boleh melelapkan mata hingga ke subuh menjadikan ayat tidak tersusun. Insyaallah, semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada antum semua.

Entri kali ini Aisyah ingin membangkitkan isu kewajipan remaja muslim. Kita semua adalah remaja . Aisyah pun remaja juga. Pejam celik pejam celik, semester baru bakal bermula dan tidak sangka Aisyah sudah masuk Tahun 2 Semester 3. Memang dah jadi senior pun.

Umur remaja ini adalah umur yang cukup penting bagi kehidupan seseorang. Pada waktu inilah kita punya kekuatan yang cukup hebat dan kemampuan yang cukup tinggi untuk melakukan apa saja sama ada berbentuk fizikal, mental mahupun sosial. Tidak kira sama ada remaja lelaki mahupun remaja perempuan. Masing-masing mempunyai kemampuan tersendiri.

Kalaulah diibaratkan kitaran matahari, waktu remaja ni boleh diumpamakan waktu tengahari yang mana matahari itu sedang tegak di atas kepala, panasnya membahang, sinarnya terang. Oleh sebab itu, Aisyah sanggup mengorbankan masa cuti semester ini dan juga cuti-cuti mendatang dengan berprogram. Dari situlah kita dapat melihat potensi diri dan mencari pengalaman. Semoga pengalaman yang bermakna ini dapat dikongsikan bersama pelajar-pelajar apabila bergelar guru kelak dalam usaha mendidik mereka memjadi insan yang berguna.

Aisyah begitu sedih melihatkan kebanyakan remaja kini menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia seperti berdating, bercople, chatting tak syarie dan berzina. Sangat sedikit yang betul-betul menjalankan kewajipan sebagai remaja muslim pada hari ini.

Jenguk saja laman Facebook yang menonjolkan pelbagai ragam remaja yang kononnya moden, bebas, updated, dan macam-macam lagi. Lihat saja dada-dada akhbar yang melaporkan pelbagai macam masalah remaja. Budaya bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan, berpasangan dan berlagak seperti sudah berkahwin sedangkan belum, berkhalwat, berzina, bunuh dan sebagainya.

Buat para daie, jangan kita pernah berputus asa. Kita adalah remaja muslim dan bakal guru, antara kewajipan remaja muslim itu adalah Berdakwah Kepada Islam. Buat sahabat-sahabat Aisyah marilah kita menggunakan “track” yang diberikan untuk kita laksanakan tuntutan agama.

Pahit dan penat? Ya, sememangnya pahit dan penat. Kita tidak akan pernah dihamparkan dengan karpet merah, bilik berhawa dingin, hidangan yang enak-enak malahan jalan kita penuh ranjau dan duri, cacian dan cercaan itulah yang perlu ditelan setiap kali. Kita perlu sentiasa memantapkan diri dengan kesabaran.

Friday, June 25, 2010

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH


Alhamdulillah, akhirnya Aisyah dapat menghabiskan buku novel sejarah Islam “ Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel” karya Abdul Latip Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip. Aisyah mengambil masa selama 4 hari untuk menghabiskan bacaan biarpun kini sibuk dengan pelbagai urusan. Aisyah bersyukur kerana Allah masih memberikan ruang masa untuk Aisyah menyelami kisah-kisah tokoh Islam terkemuka.

Sebenarnya Aisyah amat tertarik dengan kisah-kisah tokoh Islam terutama karya Pak Latip. Pada ketika itu Aisyah menghadiri wacana ilmu “Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem” bersama Pak Latip di kampus pada tahun lepas. Sejak dari itu, Aisyah mula berjinak-jinak membaca dan membeli buku hasil karya beliau. Aisyah amat berharap agar diri ini dapat istiqamah dalam membaca buku-buku sejarah Islam untuk menambah ilmu di dada dan semoga dapat dikongsikan bersama para pelajar apabila bergelar seorang guru kelak.

Sedikit perkongsian hasil bacaan buku ini.:

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik”- Nabi Muhammad SAW-

Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinopel) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinopel.

Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul ( Islam keseluruhannya), terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan Konstantinopel ditawan oleh orang Islam.

Usaha menakluk kota Konstantinopel yang menjadi kemegahan umat Kristian itu sudah berulang kali dilakukan oleh pemerintah Islam namun semuanya berakhir dengan kegagalan. Bermula dengan Saidina Ali bin Abi Talib sudah mencubanya pada tahun ke-34 hijrah. Tetapi tidak berjaya menawannya. Ramai tentera Islam yang syahid sehingga Ali terpaksa melupakannya. Kemudian pada tahun ke-84 hijrah, Muawiyah pula cuba menaklukinya namun tidak berjaya juga. Usaha itu diteruskan oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 hijrah. Namun masih gagal menembusi kota yang kukuh itu. Kemudian Khalifah Harun al- Rasyid cuba menaklukinya pada tahun ke-165 hijrah dan akhir sekali Sultan Murad (ayahanda Muhammad al-Fateh) sendiri cuba menaklukinya pada tahun ke-825 hijrah namun semuanya berakhir dengan kegagalan.

Lalu Sultan Murad tertanya-tanya, “ Sudah hampir 800 tahun Nabi Muhammad SAW menuturkan hadis itu namun masih belum menjadi kenyataan. Apakah selama ini tidak ada ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik di negara-negara Islam” Sultan Murad mengemukakan persoalan yang sekian lama terpendam dalam hatinya.

Sultan Muhammad al- Fateh sejak di dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin al- Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad ( ayahanda kepada Muhammad al-Fateh), “Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota Konstantinopel, tetapi anak yang di dalam buaian itu,” sambil menunjuk kepada Muhammad al- Fateh yang masih di dalam buaian

Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Selain itu, menurut kisah ini ada seorang sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Ayyub al- Ansari yang pada ketika itu sudah terlalu tua tetapi mahu pergi berperang bersama-sama menawan kota Konstantinopel pada zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah bin Abu Sufian. Semasa berperang, Abu Ayyub al-Ansari jatuh sakit dan beliau meminta agar jenazahnya dimakamkan di bawah dinding kubu kota Konstantinopel atas wasiatnya tersendiri. Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimakamkan di situ, beliau menjawab “ Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel.”

Setelah Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan kota Konstantinopel, beliau berusaha mencari kubur Abu Ayyub al-Ansari dengan petunjuk Allah kerana semasa pemerintahan Maharaja Konstantine memerintahkan agar kubur itu digali lalu dipindahkan ke tempat lain kerana Maharaja berasa takut walaupun mayat itu sudah lama ditanam tetapi utuh seperti orang hidup.

Akhirnya Sultan Muhammad al-Fateh menjumpai makam Abu Ayyub al-Ansari di kawasan hutan yang dinamakan hutan larangan. Maka kerja-kerja mengali dijalankan lalu dipindahkan ke tempat lain.

( Sekiranya sahabat-sahabat ingin tahu pada muka surat 296-297, Aisyah berasa sangat tersentuh membaca kisah Sultan Muhammad al-Fateh apabila terlihat kaki sebelah Abu Ayyub al-Ansar terjulur keluar pada tempat yang digali. Aisyah tidak mampu menceritakan di sini kerana begitu sedih ketika membacanya)

Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian dia membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

Sultan Muhammad Al Fateh yang dilahirkan pada 29 Mac 1432 itu telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun.

Diharapkan agar sahabat-sahabat dapat membaca buku ini dan mencontohi sifat kematangan Sultan Muhammad al- Fateh.

.

Saturday, June 19, 2010

SAMBUNG BELAJAR


Salam buat sahabat-sahabat ana yang sering mengunjungi blog ana ini. Semoga antum semua sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya.

Entri pada kali ini sekadar meluahkan kegembiraan ana apabila diberitahu bahawa dua orang adik ana dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia. Ana begitu bersyukur kerana kedua-duanya dapat belajar tempat yang sama. Adik lelaki ana yang bernama Megat Ahmad Yusuf, 18 tahun melanjutkan pelajaran dalam asasi Sains Pertanian dan adik perempuan ana, Puteri Nor Adibah, 19 tahun melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dietetik.

Sebenarnya, ana kurang pasti apa yang sedang direncanakan oleh adik lelaki ana dalam merancang masa depannya. Setahu ana, dia amat meminati bidang kejuruteraan dan keputusan SPM nya begitu cemerlang dalam mata pelajaran fizik, A1. Dan ana masih tertanya-tanya mengapa dia menolak tawaran matrikulasi dan mengambil keputusan untuk ambil asasi.Biarpun kakak-kakaknya (ana & Adibah) sudah menasihati supaya dia memilih matrikulasi seperti kami berdua, tetapi dia masih dengan pendiriannya itu. Ana begitu faham akan perangai adik lelaki ana ini kerana dia seorang yang tidak boleh dipaksa-paksa dalam membuat apa-apa keputusan. Bagi ana sebagai seorang kakak, ana berasa dia sangat rugi kerana dia tidak membuat keputusan yang lebih baik lagi dalam memilih jurusan kerana ana tahu adik lelaki ana ini seorang pelajar yang pintar kerana setiap peperiksaan besar, dia pasti mendapat straight A dalam UPSR 5A, PMR 8A dan SPM dia merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Akhirnya kami sekeluarga akur akan pendiriannya itu.

Baru-baru ini, keputusan UPU telah keluar. Adik perempuan ana lepasan matrikulasi dari Kolej MARA Kuala Nerang telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang Dietetik. Selain itu, adik ana ini sedang menunggu surat tawaran dalam bidang perubatan di India kerana pada bulan lepas dia telah menghadiri temuduga biasiswa dalam bidang tersebut. Ana juga masih tertanya-tanya mengapa dia tidak memilih perubatan dalam negara sewaktu mengisi UPU pada tempoh hari sedangkan keputusan (pointer) begitu cemerlang dan melayakkan untuk membuat perubatan. Alasan yang diberikan kerana takut tidak boleh bawa sekiranya memilih jurusan tersebut dan dia selalu mendengar mitos-mitos bahawa student medic sering mengalami tekanan kerana perlu mengingat banyak perkara.Hehehe..

Apa-apa keputusan mereka, adalah hak mereka. Sebagai kakak sulung ana hanya membantu dalam membuat garis panduan dan halatuju sahaja, selebihnya adalah pada diri mereka sendiri. Cuma pesanan ana pada mereka adalah carilah “madu” di sana. Ana begitu bimbang akan fenomena pelajar-pelajar IPTA kini. Carilah sahabat-sahabat yang boleh membawa kepada kebaikan di dunia dan akhirat.

Tidak lupa juga kepada semua pelajar baru ambilan Julai 10/11 yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selamat datang diucapkan. Semoga kehadiran anda semua ke UPSI dapat memantapkan lagi profession perguruan pada masa akan datang. InsyaAllah.

Kini, MPP, JMK,dan sekretariat MSK UPSI sedang sibuk dengan tugas masing-masing untuk menyambut kehadiran pelajar baru UPSI yang dijangkakan melebihi 3000 orang yang terdiri daripada Diploma Pendidikan Awal, Diploma in English, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), Pelajar Antarabangsa dan Guru Besar.

Diploma Pendidikan Awal (250)
Diploma in English (60)
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (2450)
Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (320)
Pelajar Antarabangsa (37)
Guru Besar (25).

Ana selaku pengarah program bagi Minggu Haluan Siswa (MIHAS) serta rakan seangkatan JMK ana akan berusaha merencanakan aktiviti yang bersesuaian untuk pelajar-pelajar baru yang bakal mendiami kolej kami iaitu KHAR tercinta. Apa yang ana harapkan agar semoga anda semua mendapat manfaat dari setiap program yang kami laksanakan serta dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

Friday, June 18, 2010

FACEBOOK & MUSLIMAH..??



Salam buat sahabat-sahabat yang menziarah blog ana ini. Apa khabar iman di hati? Semoga sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya.

Semoga apa yang ana ingin kongsikan pada post kali ini dapat memberikan manfaat kepada sahabat-sahabat yang meneruskan pembacaan.

Sejak ana menyertai laman rangkaian Facebook, ana begitu seronok kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama dari sekolah dan matrikulasi. Biarpun sudah lama tidak ketemu, akhirnya kami semua dapat berhubung melalui laman rangkaian sosial Facebook ini.

Entri kali ini ana bukanlah hendak berkongsi tentang rakan-rakan kenalan di Facebook tetapi mengenai “photo” yang diupload terutama bagi kaum muslimah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ana sendiri juga gemar mengupload gambar- gambar sesama rakan-rakan sejantina. Maklumlah sejak terlibat dalam REXCO dan kini ana menjawat jawatan sebagai JMK memang terlalu banyak program. Tambahan pula ana sering membawa kamera pada setiap program yang ana pergi. Setelah itu ana akan publish gambar di Facebook dan membaca komen daripada rakan-rakan. Secara tidak langsung ini dapat mewujudkan kemesraan antara kami terutama dalam kalangan JMK.

Jauh di sudut hati ini, timbul rasa berdosa yang teramat sangat. Tiba-tiba ana rasa malu, kesal dan insaf pada diri sendiri. Sebagai seorang muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu memaparkan gambar masing-masing yang mungkin dapat dilihat oleh berjuta-juta orang setiap hari. Sedangkan wajah ini adalah anugerah Allah. Dan anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja. Ya Allah ampunilah hamba-Mu ini.

Ana pernah terdengar dalam ceramah agama tentang “menundukkan pandangan” dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Tanpa kita sedari, kita telah menyebabkan orang lain berdosa apabila melihat gambar kita sendiri biarpun bertudung litup. Hati ana mula bersoal-soal,apa tujuan kita bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan? Maka, soalan ana, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah adakah menutup pandangankah?

Alhamdulillah, Allah masih menyanyangi dan masih memberi peluang kepada ana untuk sedar daripada terus berbuat dosa dan orang lain berdosa. Lantas ana telah men”delete” dan remove tag pada semua gambar pada Facebook. Bagi ana gambar-gambar tersebut bakal mengundang fitnah. Sebelum perkara buruk berlaku, lebih baik kita berhati-hati. Itulah langkah penyelesaian yang terbaik bukan? Kalau lebih mudah, kita boleh emelkan gambar pada rakan muslimah kita sendiri sahaja dan tidak perlu memaparkan pada Faceook lagi.

Dan ingatlah wahai muslimah, wajah ini anugerah Allah. Dan anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Hal ini juga telah ditulis oleh Ust Abu Umair dengan baik dan beliau telah mengulasnya dari sudut pandangan syariah terhadap ‘tagging’ ini. Baca di sini:

http://abuumair1.wordpress.com/2010/03/04/...mengundang-dosa

Monday, June 14, 2010

CERMIN HIDUP


Terasa sudah lama bersawang blog ana ini. Alhamdulillah ana diberi kesempatan untuk mencoretkan sesuatu untuk entri kali ini biarpun sibuk dengan program.

Sebenarnya ada banyak perkara yang terbuku dalam hati ana ini. Pelbagai masalah, pesoalan, konflik dan bermacam-macam lagi yang berlaku disekeliling ana. Kesemua perkara itu sebenarnya dapat mematangkan diri kita sendiri sekiranya kita menganggap secara positif.

Bagi ana setiap orang mempunyai pendapat tersendiri. Bukan semua orang berfikir seperti mana kita berfikir. Dan bukan semua orang dapat menerima pendapat kita sendiri atau individu lain. Memang tidak dapat dinafikan bahawa manusia ini ada bermacam-macam ragam dan peragainya.

Apa yang ana ingin kongsikan di sini mengenai “teguran”. Ana percaya bukan semua dapat menerima teguran bukan??? Dan ana percaya bukan semua orang dapat menerima analogi ana ini sekiranya pembaca blog ini meneruskan pembacaan.

Analogi yang ana ingin bawakan mengenai cermin. Ada dua jenis cermin iaitu cermin mati dan cermin hidup. Apa itu cermin mati dan apa itu cermin hidup?

Cermin mati adalah cermin yang selalu kita lihat hari-hari untuk melihat penampilan kita dari luaran sahaja. Kita boleh nampak diri kita sama ada cantik ke, lawa ke, matching ke dan sebagainya. Cermin ini tidak boleh berkata- kata.

Cermin hidup pula adalah cermin yang boleh berkata-kata. Ada jual ke cermin yang boleh berkata-kata ni? Sebenarnya cermin hidup ini adalah “orang” yang boleh memberitahu kita tentang perangai kita sendiri. Seorang manusia yang begitu jujur tanpa berselindung walau sedikit pun.

Bagi ana penilaian yang diberi oleh cermin hidup dapat membantu kita dalam memperbaiki diri biarpun kita sudah merasakan diri kita ini sudah begitu hebat lagi perfect. Misalnya, apabila kita bercakap atau berbual tanpa disedari mungkin kita menggunakan nada suara tinggi seperti memarahi orang lain. Mungkin kita mengeluarkan isu-isu sensitif yang boleh menyebabkan orang lain terasa hati. Oleh itu, dengan adanya cermin hidup ini dia akan menegur dan memberitahu supaya kita tidak bersikap sedemikian.

Seperti yang ana tulis tadi bukan semua orang dapat menerima apa yang cermin hidup bagi tahu. Terpulang pada individu masing-masing untuk menilainya.

Mungkin pembaca tertanya-tanya macam mana nak cari cermin hidup ni bukan? Berdasarkan pengalaman ana sendiri, cermin hidup adalah bukan kawan rapat ana. Cermin hidup ini adalah individu yang mengenali diri kita tetapi bukan rapat sekadar mengenali dan pernah bersembang. Tapi mestilah seorang yang boleh kita percayai dan bersikap matang. ( Selalunya ana akan rujuk pada senior dan kakak-kakak)

Kenapa bukan kawan rapat? Sekiranya kita bertanya pada kawan rapat, mungkin jawapan penilaian yang diberikan mengenai kita bukan sejujurnya. Tambahan pula kalau kita selalu belanja dia, mungkin dia akan menyatakan yang positif bagi menjaga hati dan perasaan kita semata-mata serta hubungan persahabatan.

Adakalanya cermin hidup juga adalah seorang insan yang begitu jujur “mulutnya”. Apa yang terlintas dalam pemikirannya, ia akan bercakap secara direct atau terus. Misalnya pengkritik ujibakat nyanyian AF ke, One in Million ke, Mentor ke dan banyak lagi pengkritik rancangan realiti tv sekarang ni. Tujuan mereka adalah untuk memperbaiki lagi mutu persembahan para peserta. Individu seperti ini memang ada dalam kalangan kita apabila berorganisasi. Seperti mana yang ana tulis tadi terpulang pada diri sendiri untuk menerimanya.

Ana sedari bukan semua individu boleh menerima teguran atau “smashhh” dari ana. Bukan niat ana untuk menjatuhkan atau memburukan mana-mana individu. Tetapi sedarlah wahai sahabat kerana perjuangan kita baru sahaja bermula. Ana tidak mahu perjuangan ini tersangkut dipertengahan jalan kerana amanat dan tanggungjawab kita terhadap agama memang besar. Kita perbaiki segala kelemahan diri pada peringkat awal. Apa yang ana harapkan semoga hubungan yang dibina pulih sediakala dan ambillah secara positif wahai sahabatku.

Friday, April 30, 2010

DUHAI CIKGU AISYAH


Setelah Fakulti Sains dan Teknologi mengeluarkan arahan dari pihak kementerian bahawa semua subjek minor fakulti telah ditutup berikutan isu lambakan guru Sains dan Matematik di semua sekolah ( setahu ana bukankah sekolah kekurangan guru sains & math ke..??). Semua pelajar FST diminta untuk menukar subjek minor yang ditawarkan, antaranya subjek Kemahiran Hidup, Seni Visual, Pendidikan Jasmani, Sejarah dan Tesl.

Ana agak terkejut dengan arahan yang dikeluarkan oleh pihak fakulti, tambahan pula pada ketika itu ana dan rakan-rakan sedang bertarung di medan peperiksaan akhir. Tambahan pula segala urusan minor (asalnya ana memilih subjek Biology) untuk susunan jadual kuliah pada semester depan telah pun selesai. Lagipun subjek minor yang ditawarkan kepada pelajar FST yang majoritinya adalah program pendidikan matematik, fizik, kimia dan juga biology agak terpesong dengan major kami.

Setelah membuat timbang tara untuk memilih subjek minor, akhirnya ana memilih Kemahiran Hidup as a minor subject. Pada mulanya memang agak sedih kerana terpaksa mengambil subjek di luar bidang major kami. Memandangkan ana ini kekurangan skill dari segi kemahiran asas seperti jahitan ,masakan, elektik dan pertanian, maka inilah peluang untuk mempelajarinya dan subjek ini amat berguna untuk dewasa kelak kerana ia melibatkan dalam kehidupan harian. Apa yang dimaklumkan, sekiranya kami tetap dengan pendirian untuk belajar subjek dalam fakulti kami, mungkin agak kesukaran untuk dipostingkan setelah graduate .

Alhamdulillah, segala urusan pengesahan dari ketua jabatan dan juga dekan telah pun selesai. Dan ana telah pergi ke bahagian akademik untuk membuat pendaftaran kursus bagi subjek KH. Biarpun ramai senior yang mengatakan bahawa subjek KH ini agak sibuk dengan pelbagai projek tugasan, tambahan pula pada semester hadapan ana memegang jawatan JMK memerlukan pengurusan masa yang berdisiplin agar kedua-duanya dapat diuruskan dengan baik.

Apa yang dimaklumkan, mungkin sewaktu praktikal dan posting kelak, ana mungkin tidak dapat mengajar subjek math lagi kerana option guru KH amat diperlukan di sekolah-sekolah harian mahupun vokasional. Apa yang penting, untuk menjadi murabbi bukanlah satu perkara yang mudah dan memerlukan banyak pengorabanan. Semoga cita-cita untuk mendidik anak bangsa dan melahirkan generasi Islam tercapai. Insyaallah.

Thursday, April 29, 2010

Cuti sem bermula...


Alhamdulillah, entri kali sekadar ingin menyatakan bahawa cuti semester UPSI akan bermula pada 5 Mei , dan ana yakin bahawa sekarang ni kebanyakan universiti sudah pun bermula cuti semester. Manakala exam ana akan berakhir pada 4 Mei, iaitu paper Falsafah dan Dasar..huhu

Melihat roommate, housemate, dan penghuni Kolej Harun Aminurrashid yang sedang sibuk mengemas barang untuk pulang bercuti ke kampung masing-masing, timbul rasa iri hati dan cemburu pada mereka. Sedangkan diri ini terpaksa mengorbankan cuti semester dengan pelbagai aktiviti yang direncanakan oleh pihak kolej kediaman untuk Jawatankuasa Mahasiswa Kolej (JMK) baru sidang 2010/2011. Biarpun tidak dapat menikmati hari-hari cuti di rumah, tapi pengalaman yang bakal ana timba adalah sesuatu perkara yang paling bermakna dan berharga dalam hidup yang tidak dapat dikecapi oleh semua mahasiswa UPSI (hanya yang terpilih sahaja)..hehe (memujuk diri)

Selaku JMK Blok 3, ana sedang sibuk merencanakan aktiviti blok yang bakal dilaksanakan pada semester hadapan. Selain itu, ana ingin membuktikan bahawa kepada felo-felo serta rakan seangkatan JMK bahawa ana mampu melaksanakan tugas dengan baik biarpun masih baru lagi. Insyaallah segala pengalaman ana semasa menjadi REXCO akan digunakan dengan sepenuhnya. Tidak lupa juga kepada Kak Nurrohmah yang banyak memberi tunjuk ajar dan bersabar dengan kerenah Aisyah yang bermacam-macam ni sehingga Aisyah dapat anugerah REXCO terbaik..thanks kak nor.

Buat sahabat-sahabat seperjuangan sekalian, semoga kita semua menjadi pasukan JMK yang mantap bagi sidang 2010/2011. Tidak sabar rasa nak pergi program Baktisiswa Perdana, apa-apa pun gerak kerja mesti diselesaikan terlebih dahulu.

Thursday, April 1, 2010

Teka-teki Imam Ghazali?




Suatu hari, Imam Al-Ghazali berkumpul dengan murid-muridnya lalu beliau
bertanya :

Soalan pertama
Imam Ghazali : Apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia ini?
Murid 1 : Orang tua
Murid 2 : Guru
Murid 3 : Teman
Murid 4 : Kaum kerabat

Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling dekat dengan
kita
ialah MATI. Sebab itu janji Allah bahawa setiap yang bernyawa pasti akan
mati ( Surah Ali-Imran:185) .

Soalan kedua
Imam Ghazali : Apa yang paling jauh dari kita di dunia ini ?
Murid 1 : Negeri Cina
Murid 2 : Bulan
Murid 3 : Matahari
Murid 4 : Bintang-bintang

Iman Ghazali : Semua jawaban itu benar. Tetapi yang paling benar adalah
MASA LALU. Bagaimanapun kita, apapun kenderaan kita, teta! p kita tidak
akan dapat kembali ke masa yang lalu. Oleh sebab itu kita harus menjaga
hari ini, hari esok dan hari-hari yang akan datang dengan perbuatan yang
sesuai dengan ajaran Agama.

Soalan ketiga
Iman Ghazali : Apa yang paling besar didunia ini ?

Murid 1 : Gunung
Murid 2 : Matahari
Murid 3 : Bumi

Imam Ghazali : Semua jawaban itu benar, tapi yang besar sekali adalah HAWA
NAFSU (Surah Al A'raf: 179). Maka kita harus hati-hati dengan nafsu kita,
jangan sampai nafsu kita membawa ke neraka .

"Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan
manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya
(ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat
dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi)
tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu
seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah
orang-orang yang lalai. "
(Surah Al-A'raaf, Ayat 179)

Soalan keempat
Imam Ghazali : Apa yang paling berat didunia ?

Murid 1 : Baja
Murid 2 : Besi
Murid 3 : Gajah

Imam Ghazali : Semua itu benar, tapi yang paling berat adalah
MEMEGANG AMANAH (Surah Al-Azab : 72 ). Tumbuh-tumbuhan, binatang, gunung,
dan malaikat semua tidak mampu ketika Allah SWT meminta mereka menjadi
khalifah(pemimpin) di duni! a ini. Tetapi manusia dengan sombongnya
berebut-rebut menyanggupi permintaan Allah SWT sehingga banyak manusia
masuk ke neraka kerana gagal memegang amanah.'

Soalan kelima
Imam Ghazali : Apa yang paling ringan di dunia ini ?

Murid 1 : Kapas
Murid 2 : Angin
Murid 3 : Debu
Murid 4 : Daun-daun

Imam Ghazali : Semua jawaban kamu itu benar, tapi yang paling ringan sekali
didunia ini adalah MENINGGALKAN SOLAT. Gara-gara pekerjaan kita atau urusan
dunia, kita tinggalkan solat. Na'uzubillahiminzaa lik.

Soalan keenam
Imam Ghazali : Apa yang paling tajam sekali didunia ini ?

Murid- Murid dengan serentak menjawab : Pedang

Imam Ghazali : Itu benar, tapi yang paling tajam sekali didunia ini adalah
LIDAH MANUSIA . Kerana melalui lidah, manusia dengan mudahnya menyakiti
hati dan melukai perasaan saudaranya sendiri.

Wednesday, March 17, 2010

BUAT UMI DAN ABI


Dengan nama ALLAH Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang…

Puteri Nor Aisyah Bt Megat Muhammad Hatim engkau telah dilahirkan ke dunia dengan adanya dua orang yang cukup berjasa kepadamu… mengasihi, menyayangi dirimu lebih daripada nyawa mereka sendiri… yang tdk pernah rasa jemu menjagamu, menasihatimu, mencintaimu…

Mereka tidak pernah menganggap dirimu adalah satu beban yang berat tapi adalah sebutir permata yang menyinari kehidupan mereka…
Kadang kala sikapmu meruntun hati kecil mereka…
Tapi…kesabaran tetap menjadi pendamping mereka dalam membesarkanmu…

Kepenatan…keletihan…kebosanan…kebencian…
Tidak pernah terlafaz pada bibir mereka…
Hanya sayang…cinta…rindu…kasih…terpahat di hati dan terukir di bibir…

Mereka tidak pernah menadah tangan untuk meminta balasan apa yang telah mereka berikan kepadamu…
Tapi apa yang mereka inginkan adalah kejayaan darimu…
Sebuah kejayaan yang mampu mengukir kegembiraan di hati mereka dan senyuman di bibir mereka…

Adakah dirimu sudah cukup bersedia untuk itu???
Mengapai kejayaan untuk mereka berdua…

Bagi mereka berdua segulung kejayaan mampu menyenangkan hati mereka…
Kesenangan hidupmu pada masa akan datang mampu melenakan tidur mereka…
Mampu menyenangkan hati mereka…
Memberikan mereka tersenyum dalam lena yang abadi…

Jasad dan hatimu harus berfungsi…
Bukan sekadar melafaz pada bibir yang manis…
Gapai kejayaan untuk mereka, juga untuk masa depanmu…
Mereka akan menunggumu di pintu kejayaan..

Biarkan mereka menangisi kejayaanmu…
Bukanlah kegagalanmu…

DIRI INI MENCINTAIMU “UMI DAN ABI”…
AKAN KU PERJUANGKAN KEHIDUPANKU HINGGA KE LAFAZ YANG TERAKHIR…
KEJAYAAN BAKAL MENJADI MILIK KITA BERSAMA…



Tuesday, March 16, 2010

Pemilk hati



Alhamdulillah..selesai sudah ana membaca sebuah buku yang bertajuk "Pemilik Cintaku setelah Allah dan Rasul" yg ditulis oleh saudari Fatimah Syarha Mohd Noordin. Pengalaman penulis hampir sama dengan ana sewaktu beliau masih menuntut. Iaitu soal hati dan cinta.

Ana bersyukur kerana Allah telah memilih ana utk belajar di UPSI dan Allah juga telah pertemukan ana dengan sahabat-sahabat yg seiya dan seangkatan dalam memperjuangkan agama Allah. Byk perkara baru yg ana pelajari di sini. Dalam usaha kita mendekatkan diri dengan Allah, maka kita akan diuji utk membuktikan cinta kita kepada-Nya.
Pada suatu hari, hatiku cukup teruji dan berbolak-balik dengan kehadiran seorang insan yg cukup kukenali. Pemuda Islam yg berwibawa, berkeperibadian mulia dan bijak orangnya. Diriku masih terlalu awal utk membincangkan soal berumah tangga dalam usia yg baru sahaja mencecah 20 tahun, sedangkan cita-citaku menggunung tinggi. Biarpun dari luaran diri ini dilihat sebagai seorang yang matang dan memang layak untuk berumah tangga, tapi byk perkara yg belum tercapai lagi. Bukan niat untuk mengecewakan mana-mana pihak tapi diri ini ada matlamat hidup yang perlu dikecapi terlebih dahulu. Dalam solatku, hatiku tidak khusyuk. Sememangnya jalan mujahadah untuk mengejar cinta Allah adalah jalan yang cukup payah bagi diriku. Sujud terakhir selalu kupinta agar ibadahku diterima kerana hatiku selalu lalai dalam mengingati-Nya. Ya Allah ampunilah dosa-dosaku.

Semakin cinta Allah kuburu, semakin cinta lelaki mengejar diriku. Ana tabahkan hati. Biarlah Allah ingin menguji. Mungkin Dia inginkan bukti daripada ungkapan cinta yang sering kuluahkan pada-Nya setiap kali selepas solatku.

Sepanjang ana berada di UPSI selama 2 semester ini, ana aktifkan diri mengikuti program-program yg dianjurkan oleh pihak kolej kediaman mahupun di kampus. Dalam masa yang sama,ana sibukkan diri berukhuwah dengan rakan sejantina yg turut cintakan agama. Ana turut menjadi naqibah dalam mengerakkan usaha-usaha dakwah dalam kalangan mahasiswi. Hidup ana sememangnya terisi bagi mengelakkan perkara-perkara yg boleh menjejaskan iman ana sebagai seorang wanita muslimah. Biarlah cinta ini hanya pada yg telah halal bagiku apabila sudah tiba masanya kerana diri ini tidak akan pernah sesekali terjebak dunia percintaan sebelum berkahwin

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails