Saturday, November 5, 2016

CIKGU DAN TENTERA

Saya tahu awak selalu busy. Kita jarang bermesej. Call pun tak pernah, apatah nk jumpa awak pun payah. Masing-masing sibuk dengan kerjaya. Namun, saya amat selesa sebegini kerana saya punyai prinsip diri. Sebarang bentuk hubungan dengan lelaki atau perempuan ajnabi adalah tidak diharuskan. Surat ini saya tulis sebagai 'open diary' saya. Sekadar tatapan untuk anak-anak dan cucu-cucu kita nanti. Hahaha!!!

Surat ini adalah harapan saya kepada awak. Saya bukanlah jenis yang 'sweet' seperti wanita-wanita di luar sana. Saya akui memang cikgu garang. Tapi saya guna cara 'sweet' saya. Jangan awak kena diabetes sudahlah. Walaupun saya tahu entah bila awak akan jumpa dan baca entry blog saya ini.

********************************************************************

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani...

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakaatuh.

Bakal suami yang akan kucintai kerana Allah.

Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana Dia telah mempertemukan kita setelah 8 tahun untuk sama-sama mengharungi kehidupan berumahtangga tidak lama lagi. Dia telah memakbulkan doa lewat istikharahku yang aku lakukan sepanjang aku menempuh zaman remajaku. Dalam istikharah, pernah aku bermimpi. Seorang lelaki yang memakai sut putih datang kepadaku dan membawa ke suatu tempat yang indah. Bertahun-tahun aku menanti siapakah gerangannya, adakah lelaki yang bersut putih itu seorang doktor? seorang pilot( kot berselisih dalam flight)?seorang Ustaz berjubah putih (hahaha)? Akhirnya Dia menentukan jawapan bahawa lelaki bersut putih itu adalah tentera laut adalah jodohku.

Aku berazam dan berjanji pada diriku sendiri bahawa dirimu akan kucintai dan kukasihi selepas cinta Agungku dan kekasih agungku, iaitu Allah dan Rasul-Nya. Engkau juga tahu akan itu bukan?

Duhai bakal suamiku,

Diri ini telah kupelihara sebaik mungkin demi memastikan cintaku ini hanyalah untuk cinta yang dihalalkan oleh Allah SWT untukku. Aku tidak pernah bercinta dengan mana-mana teruna yang datang mengusik perasaan wanitaku. Aku tidak mahu kelak apabila engkau menerima diri ini yang telah ternoda dengan cinta duniawi. Aku berusaha menjaga perasaan cinta ini demi untuk dirimu wahai bakal suami.

Selama ini aku telah pun dididik dengan agama secukupnya oleh ummi dan abi. Akan ku jaga agama ini agar yang Maha Esa menjaga ikatan ini sehingga ke hari pernikahan dan seterusnya ke akhir hayat.

Wahai bakal suamiku,

Sebagai insan yang kerdil, aku tidak lepas daripada kekurangan dan melakukan kesilapan. Sama ada pada masa ini ataupun pada suatu hari nanti apabila kita ditakdirkan hidup sebumbung kelak. Jika kesilapan itu melibatkan hal-hal yang tidak engkau sukai, tegurlah aku dengan cara yang paling baik. Sebagai wanita, aku dikurniakan hati yang halus dan mudah terhiris dengan kekasaran sama ada yang keluar dari bibirmu ataupun perbuatanmu.

Duhai buah hati,

Aku tidak mahu diri ini dihias dengan intan permata, emas, kemewahan bahkan wang ringgit yang berbentuk kebendaan semata-mata. Dalam hidup kita kelak, apa yang amat kuharapkan adalah kebahagiaan dan ketenangan hidup serta kelapangan dalam melakukan amal ibadat demi memperolehi redha Ilahi. Di samping itu, kita sama-sama berganding bahu mendidik serta membesarkan zuriat yang dikurniakan oleh Yang Maha Pemurah dengan penuh mawaddah dan rahmah.

Kekasihku,

Aku mungkin tidak secantik seperti wanita-wanita lain. Namun, aku ingin sentiasa cantik dan berhias untuk insan yang halal melihat auratku. Suatu hari usiaku akan semakin meningkat. Kulitku akan bertambah hilang serinya akibat melahirkan dan pertambahan usia. Seperti wanita lain, aku ingin menjadi yang pertama dan terakhir dalam hidupmu. Aku bukan tamakkan kasih sayang dan cintamu. Namun, fitrah wanita itu cemburu. Aku ingin menjadi seperti Khadijah yang menjadi satu-satunya teman istimewa baginda Rasulullah sepanjang beliau hidup.

Cinta hatiku,
Rasanya cukuplah setakat ini dahulu warkahku. Mudah-mudahan Allah mengurniakan aku kesabaran dalam menempuhi alam rumahtangga bersamamu apabila tiba saatnya nanti. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa mengiringi perjalanan hidupmu. Jangan lupa untuk mendoakan kesejahteraan hidup kita kelak di dunia dan akhirat.

Sekian.

Yang benar,
Bakal isterimu.


Boleh buat tajuk drama, 
"Sayangku Leftenan"



No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails