Wednesday, August 8, 2012

VISI HIDUP


Alhamdulillah biarpun cuti hanya 3 hari, saya sempat bertemu beberapa orang sahabat dan ketemu adik-adik sefikrah dan seperjuangan. Bertanya khabar sesama sendiri.Melihat ketekunan mereka melaksanakan program itu dan ini, mengingatkan saya akan zaman memegang taklifan suatu ketika dahulu. Bermacam-macam perkara yang saya pelajari.

“Kak Aisyah, saya teringin nak jadi macam akak.” Ujar salah seorang adik.

“Aik…?? Kenapa nak jadi macam akak pula?” soalku.

“Saya tengok Kak Aisyah ni selalu ceria, gembira dan macam tak de masalah. Senyum sokmo. Lepas tu macam mana akak boleh buat banyak kerja dalam satu masa?”

Pada ketika itu agak berat untuk saya memberikan jawapan. Mungkin tiada skema jawapan kot. Mungkin. Hmm…

Sedarlah, dunia ini tempat ujian, maka hati memerlukan visi yang jelas untuk menuntunnya sampai penghujung usia. Memiliki visi yang jelas dan terang membolehkan hati menzahirkan peradaban yang utuh bagi menggambarkan jiwa seseorang.

Saya juga merupakan seorang manusia yang lemah dan masih banyak perkara yang perlu dipelajari. Saya selalu meletakkan bahawa saya mampu melakukan biarpun tidak tahu. Yang penting kena cuba dan rajin sahaja.

Nabi saw juga bersabda yang bermaksud: “ Sesungguhnya Allah menyukai seorang hamba yang melakukan kerja dengan tekun.”

Tekun di sini bererti teliti, cermat, berkualiti, terancang dan rapi. Kerja pula merangkumi segala aspek, sama ada kerja dunia, mahupun ibadah khusus seperti solat dan puasa. Agama Islam menuntut penganutnya rajin bekerja, sentiasa berusaha dengan tidak mengabaikan amalan fardhu. Islam membenci manusia yang pemalas dan memberikan sejuta alasan untuk berkhidmat. Insyaallah, dengan belajar dan bekerja dengan tekun, natijahnya adalah kejayaan.

Pelajaran yang cemerlang dan profesion yang mantap mampu menjadikan muslim itu lebih baik. Dengan adanya generasi Mukmin yang membudayakan kesungguhan dan kegigihan ini, maka zahirlah wajah Islam yang indah dan teguh. Inilah visi untuk hati yang harus direalisasi.

Akhir kalam, dikesempatan ini saya ingin mengucapkan ribuan tahniah dan takziah buat sahabat-sahabat seperjuangan dalam memegang taklifan pada sesi kali ini. Semoga kita semua dapat menjadi sebuah pasukan yang menjadi ikon dalam bergerak kerja.

Sunday, August 5, 2012

NUZUL QURAN


Assalamualaikum wbt.

Sudah 17 Ramadhan,its Nuzul Quran.

Al-Quran adalah Kitab Allah (Kitabullah). Al-Quran mengandungi wahyu atau ayat-ayat Allah  yang diturunkan secara langsung oleh Allah melalui malaikat Jibril kepada Nabi Muhammad s.a.w

Oleh itu Al-Quran tidak boleh disamakan dengan kitab-kitab yang lain. Membaca Al-Quran adalah satu amalan ibadah yang sangat utama. Orang yang membaca Al-Quran hendaklah mengamalkan adab-adab membaca Al-Quran supaya dapat mengambil manfaat sebanyak mungkin daripada pembacaannya.

Begitu tinggi kedudukan orang yang membaca Al-Quran di sisi Allah sehingga Allah menyebut orang yang membaca Al-Quran itu di dalam ayat yang sama dengan orang yang mengerjakan solat dan menginfakkan (mendermakan) harta. Orang yang membaca Al-Quran berserta dengan adab-adabnya akan disempurnakan pahala dan ditambahkan kurnia oleh Allah.

Rasulullah bersabda:
خيركم من تعلم القرآن وعلمه
“Sebaik-baik orang di antara kamu ialah orang yang belajar Al-Quran dan mengajarkannya.”

Abu Umamah Radhiallahu ‘anhu bahawa beliau berkata: “Saya mendengar Nabi Sallallahu’alaihiwasallam berkata:
اقرؤا القرآن فانه يأتى يوم القيامة شفيعا لاصحابه
“Bacalah olehmu sekalian akan Al-Quran, kerana sesungguhnya Al-Quran itu akan menjadi penolong bagi para pembacanya pada Hari Kiamat.”

Jatuh cinta dengan orang yang jatuh cinta dengan ALQURAN. Kecintaan pada AlQuran adalah kecintaan kepada Agama. Kecintaan kepada Agama adalah kecintaan kepada Allah. Dan sungguh, kecintaan kepada Allah adalah segala-galanya.


Sejuk mata melihat pelajar-pelajar membawa dan membaca Al-Quran ke hulu ke hilir, mengimarahkan bulan berkah dengan bacaan Al Quran.

Alhamdulillah, biah sebegini ini ada di sekolah saya.

Salam Ramadhan Kareem.

TARBIYATUL AULAD


Assalamualaikum wbt.

Terasa lama tidak berkongsi sesuatu di blog ini. Entah mengapa sejak akhir-akhir ini saya begitu tertarik melihat anak-anak kecil terutama anak murid ummi saya di PASTI. Saya juga pernah berpengalaman mengajar anak-anak PASTI setelah menamatkan pengajian peringkat matrikulasi sebelum mengambil keputusan untuk menceburkan diri dalam bidang pendidikan.

Sejuk hati ini melihat kerenah mereka.  Sedari kecil telah didik dengan erti jihad dan perjuangan. Tiba-tiba perasaan memiliki anak-anak seperti itu menerpa ke dalam diri. Bercita-cita mempunyai anak-anak yang diberi tarbiyatul aulad.

Sangat menarik bila kita mengambil contoh nyata dari aplikasi Sang syahid Dr Abdullah Azzam bagaimana beliau cuba menjauhkan anak-anaknya dari cinta dunia yang menjadi punca utama kemalapan api jihad. Dalam wasiatnya beliau menyeru :

Wahai kaum wanita!
Jauhilah kehidupan mewah dan megah kerana kemewahan itu musuh disamping akan merosak jiwa manusia. Hindarilah barang-barang yang tidak terlalu penting dan cukupkanlah dengan keperluan primer. Binalah anak-anak kalian untuk menjadi orang yang berani dan siap berjihad. Tanamkanlah jiwa anak-anak kalian cinta jihad dan perjuangan. Hiduplah dengan penuh perhatian terhadap masalah kaum muslimin. Biasakanlah paling tidak sehari dalam sepekan hidup menyerupai kehidupan kaum Muhajirin dan Mujahidin yang hanya memakan sekerat roti kering dan beberapa teguk air.

Wahai anak-anak!
Jauhkanlah diri kalian dari bualan lagu-lagu dan muzik-muzik orang-orang pengumbar nafsu. Jauhkanlah punggung kalian dari kasur orang-orang yang hidup bermewah-mewahan.

Seruan ini sangat relevan dan boleh diaplikasikan. Ini semua bergantung dan terpulang kepada ibubapa yang benar-benar serius dan benar-benar cintakan perjuangan ini. Ia hanya boleh diaplikasikan oleh mereka yang mengerti benar bahawa kecenderungan kepada duniawi hanya menyeret jiwa-jiwa manusia yang mudah tertipu dengannya agar melupakan kewajipan besar yang menunggu.

Apabila bibit-bibit jihad telah menyerap ke dalam jiwa anak-anak, kita mengharapkan semoga Allah SWT terus membuka hati dan ruang yang luas kepada mereka untuk berjuang bagi mengembalikan izzah Islam dan umatnya.

Disamping itu perlu ditekankan bahawa jihad dakwah ini mestilah beriringan dengan islah diri sendiri dengan mengambil semangat dari kata-kata, “Perbaiki diri kamu dan serulah orang lain.”

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails