Wednesday, June 30, 2010

NASIHAT SENIORKU




Salam buat sahabat-sahabat yang tidak pernah jemu membaca blog Aisyah yang tidak seberapa ini.

Entri kali Aisyah sekadar mahu bercerita sahaja tentang apa yang Aisyah pelajari dari seorang kakak senior yang satu kuliah matematik dengan Aisyah dalam kursus “Linear Algebra” pada semester lepas. Kini kakak tersebut sudah masuk sem 7 dan bakal praktikum. Apa yang Aisyah ingin coretkan di sini, Aisyah begitu tertarik dengan sifat kakak tersebut dari aspek agama, akademik, dakwah islamiah dan juga taklifan yang dipegang.

Jauh di sudut hati, Aisyah memang teringin sangat untuk mengenali kakak tersebut dengan lebih dekat lagi. Bukan apa, sebelum ini kami hanya kenal gitu-gitu sahaja dan saling menyapa antara satu sama lain. Kalau di dalam kuliah, masing-masing sibuk memberi tumpuan sepenuhnya sewaktu sesi pembelajaran dan kami tidak berkesempatan untuk berbual dan bercerita. Alhamdulillah, Allah ketemukan kami dalam kumpulan tugasan yang sama. Dari situlah Aisyah berpeluang untuk lebih mengenali kakak tersebut.

Biarlah Aisyah rahsiakan nama kakak tersebut.

Aisyah berasa kagum melihat cara kakak tersebut bekerja dan juga pengurusan masa yang sistematik. Mana tidaknya, dengan assignment, discussion group, usrah ( Rakan Penggerak Ad-din), taklifan dan meeting hampir setiap malam. Semuanya dapat dilakukan dengan cekap.

Perasaan ingin tahu semakin kuat kerana bukan calang-calang orang yang dapat melaksanakan kerja yang banyak dalam satu masa. Sifat ramah kakak tersebut menyebabkan Aisyah berjaya mengorek banyak rahsia dan tips yang amat berguna untuk diguna pakai sepanjang menjadi penuntut di UPSI. Hmm..banyak semester yang perlu Aisyah lalui lagi.Nasihat yang diberi juga begitu terkesan ke dalam hati Aisyah hingga ke hari ini.

Banyak perkara baru yang Aisyah pelajari sejak mengenali senior-senior math seperti kak wana, kak fizah dan juga kak Linda. Merekalah yang selalu memberi Aisyah semangat dan kekuatan setelah ummi Aisyah.

“ Jika kamu menolong agama Allah, nescaya Allah pasti menolong kamu” itulah perkataan yang acap kali dikatakan oleh kakak tersebut.

“ Aisyah dalam kita melakukan kerja-kerja dakwah, taklifan yang dipegang, pelajaran dan tugasan memang penat dan sibuk. Masa kita tidak sama dengan pelajar yang biasa. Masa kita sentiasa penuh dan padat. Masa rehat dan tidur pun tidak cukup. Tapi sebenarnya dik, ada hikmah di sebalik kesibukan ini. Aisyah ada masa ke nak tengok movie? Ada masa nak couple? Ada masa nak chatting yang tidak syarie? Ada masa nak mengumpat ke? Semua perkara yang sia-sia itu dapat dielakkan. Apa yang penting kita ikhlaskan hati dalam setiap perkara dan lakukan kerana Allah. Insyaallah Allah akan permudahkan segala urusan kita dik.” terang kakak tersebut.

“ Betul juga tu. Kenapa Aisyah tidak pernah terfikir hikmah di sebalik kesibukan tetapi selalu mengeluh kepenatan sahaja. Terima kasih kak atas nasihat itu.” balas ku

“ Aisyah juga perlu tahu perkara yang mana lebih aula” kata kakak tersebut.

“ Aula..?? Apa maksudnya kak..??” jawabku. Maklumlah banyak vocab bahasa arab yang belum diketahui. Insyaallah kini dalam proses belajar.

“ Aula itu bermaksud utama.. Misalnya meeting Rakan Surau dan meeting JMK dilaksanakan dalam satu masa yang sama, yang mana satu Aisyah nak pergi? Discussion group dan usrah juga dalam satu masa yang sama , Aisyah nak pilih yang mana satu? Mesti Aisyah keliru bukan? Sedangkan semua perkara itu penting buat Aisyah yang sedang mula mengorak langkah untuk menjadi pelapis kami. Kalau diikutkan, kita perlu utamakan agama terlebih dahulu. Tetapi memandangkan taklifan kita dalam JMK sebagai pengarah program manakala taklifan kita dalam Rakan Surau sebagai AJK pelaksana, Aisyah perlu utamakan JMK kerana segala keputusan terletak pada tangan Aisyah. Sekiranya tanpa kehadiran Aisyah dalam meeting JMK maka segala keputusan tidak dapat diputuskan. Sekiranya Aisyah tidak menghadiri meeting Rakan Suran tetapi segala keputusan dapat dijalankan oleh Majlis Tertinggi bukan? Begitu juga sebaliknya. Apa-apa pun Aisyah perlu bijak dalam membuat keputusan agar tidak menyebabkan mana-mana pihak tidak berpuas hati dengan tindakan kita.”

Aisyah mengangguk faham dengan kata-kata kakak tersebut.

“ Satu lagi, Aisyah perlu bijak mengambil hati rakan-rakan sekuliah atau discussion group. Bukan semua faham situasi kita. Masa kita tidak sama dengan mereka. Sepatutnya kita meluangkan masa selama 2 jam untuk berdiskusi tetapi kita hanya sempat 1 jam setengah kerana kita mempunyai meeting setelah itu. Ketepatan masa untuk menghadiri meeting juga perlu dijaga dalam menjaga imej sebagai seorang pemimpin. Tidak baik membiarkan orang lain menunggu kita lama bukan? Setelah pulang dari meeting, kita perlu siapkan segala tugasan yang dibincangkan dalam diskusi tadi. Dalam kesibukan kita, tugasan kerja yang diberikan juga siap, maka rakan-rakan dalam kumpulan diskusi tentu faham dan mereka sendiri akan segan dengan kita kerana kerja tugasan kita siap terlebih dahulu. Itulah kelebihan sekiranya kita tolong agama Allah, maka Allah akan permudahkan segala urusan kita.”

Aisyah semakin tertarik untuk mendengar nasihat kakak tersebut.

“ Sebagai seorang muslim, segalanya bermula dari kita bangun dari tidur lagi. Sekiranya bangun pagi-pagi sudah kita mengeluh, bagaimana pula dengan sepanjang hari tersebut? Mesti banyak perkara yang tidak selesai. Tetapi sekiranya kita mulakan pagi kita dengan senyuman dan niat untuk menjadikan hari tersebut lebih baik daripada semalam, insyaallah sepanjang hari segala urusan Aisyah dipermudahkan. Percayalah dik.”

Aisyah memikirkan kata-kata kakak tersebut. Ada betulnya juga, segalanya bermula dari kita bangun tidur lagi.

“ Pesanan akak buat Aisyah, dalam kesibukan kita dalam bekerja jangan lupa solat berjemaah, amalkan amalan sunat seperti berpuasa Isnin dan Khamis, membaca Al-quran, dan lakukan solat tahajud. Semuanya itu dapat menguatkan iman kita. Kita bukan mengejar dunia semata-mata, tetapi saham untuk akhirat perlu kita kejar juga ya dik. Ikhtilat antara rakan seorganisasi juga perlu dijaga kerana kita membawa imej sebagai muslimah dan Islam.”

“Aisyah juga kena bijak dalam pengurusan duit PTPTN. Bukan apa, kesibukan yang ada menyebabkan kebanyakan wang pinjaman tersebut digunakan untuk kredit telefon. Banyak orang yang perlu kita berurusan. Mana tidaknya, hantar mesej atau membuat panggilan sesama rakan JMK, Rakan Surau, ahli halaqah, REXCO, kawan-kawan sekuliah dan pihak pengurusan atas tujuan tertentu. Itupun dikira sebagai pengorbanan dan janganlah pernah berkira. Cuba Aisyah fikir, adakah Aisyah pernah guna kredit telefon untuk mesej atau telefon untuk perkara sia-sia seperti mesej kat boyfriend ke, beli caller ringtone ke? Akak percaya Aisyah memang tidak pernah lakukan bukan? Semoga Allah membalas pengorbanan kita ini dik. Insyaallah.”

“ Hidup sebagai mahasiswa ini kita perlu proaktif. Apa yang akak perhatikan kebanyakan pelajar di sini gemar menghabiskan masa mereka dengan menonton movie, chatting yang tidak syarie, berdating dan suka memerap di dalam bilik setelah habis kelas. Kita sebagai guru perlu cari keistimewaan kita sendiri yang dapat membezakan kita dengan pelajar lain. Kalau setakat pandai sahaja tapi bila sudah posting tidak tahu buat kerja, apatah lagi untuk uruskan program tiada gunanya. Apa-apa pun kita perlu seimbang dari segi akademik dan aktiviti luar yang lain.”

Begitu banyak nasihat berguna kakak tersebut kepada Aisyah. Dan kini Aisyah sedang melalui apa yang kakak tersebut pernah lalui. Semoga Allah permudahkan urusan Aisyah.




Sahabat JMK: Aisyah, Zalikha, Fatin dan Halawati

Tuesday, June 29, 2010

WARKAH BUAT CALON ZAUJ KU

Salam buat sahabat-sahabat Aisyah yang tidak pernah jemu menziarahi blog Aisyah ini. Entri kali ini Aisyah sekadar ingin berkongsi sebuah warkah yang diambil dari blog seorang teman. Aisyah begitu tertarik sekali terhadap warkah tersebut. Aisyah percaya hasil nukilan warkah itu mewakili luahan hati-hati dari setiap wanita yang mendambakan kehadiran insan yang bergelar suami...



Entah angin apa yang membuai hari ini, membuatkanku begitu berani untuk mencoretkan sesuatu dirimu yang tidak pernah kukenali.

Aku sebenarnya tidak pernah berniat untuk memperkenalkan diriku kepada sesiapa. Apatah lagi meluahkan sesuatu yang hanya kukhususkan buatmu sebelum tiba masanya. Kehadiran seorang lelaki yang menuntut sesuatu yang aku jaga rapi selama ini semata-mata buatmu. Itulah hatiku dan cintaku, membuatkan aku tersedar dari lenaku yang panjang.

Aku telah dididik ibu semenjak kecil agar menjaga maruah dan mahkota diriku kerana Allah telah menetapkannya untukmu suatu hari nanti. Kata ibu, tanggungjawab ibu bapa terhadap anak perempuan ialah menjaga dan mendidiknya sehingga seorang lelaki mengambil alih tanggungjawab itu dari mereka. Jadi, kau telah wujud dalam diriku sejak dulu lagi.

Sepanjang umurku ini, aku menutup pintu hatiku daripada mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu membelakangimu. Aku menghalang diriku dari mengenali mana-mana lelaki kerana aku tidak mahu mengenali lelaki lain selainmu, apatah lagi memahami mereka.


Sayyidatina 'Aisyah R.A berpesan "sebaik-baik wanita ialah yang tidak memandang dan dipandang". Aku tidak ingin dipandang cantik oleh lelaki. Biarlah aku hanya cantik di matamu. Apa guna aku menjadi idaman ramai lelaki sedangkan aku hanya boleh menjadi milikmu seorang. Aku tidak merasa bangga menjadi rebutan lelaki bahkan aku merasa terhina diperlakukan sebegitu seolah-olah aku ini barang yang boleh dimiliki sesuka hati.

Aku juga tidak mahu menjadi punca kejatuhan seseorang lelaki yang dikecewakan lantaran terlalu mengharapkan sesuatu yang tidak dapat kuberikan. Bagaimana akanku jawab di hadapan Allah kelak andai disoal? Adakah itu sumbanganku kepada manusia selama hidup di muka bumi?

Kalau aku tidak ingin kau memandang perempuan lain. Aku dululah yang perlu menundukkan pandanganku. Aku harus memperbaiki kelemahan dan menghias peribadiku kerana itulah yang dituntutAllah. Kalau aku inginkan lelaki yang baik menjadi suamiku. Aku juga perlu menjadi perempuan yang baik. Bukankah Allah telah menjanjikan perempuan yang baik itu untuk lelaki yang baik?

Tidakku nafikan, sebagai remaja aku memiliki perasaan untuk menyayangi dan disayangi. Namun, setiap kali perasaan itu datang, setiap kali itulah aku mengingatkan diriku bahawa aku perlu menjaga perasaan itu kerana ia semata-mata untukmu. Allah telah memuliakan seorang lelaki yang bakal menjadi suamiku untuk menerima hati dan perasaanku yang suci. Bukan hati yang menjadi lebihan lelaki lain. Lelaki itu berhak mendapat kasih yang tulen, bukan yang telah dibahagi-bahagikan.

Aku bukanlah seorang gadis yang cerewet dalam memilih pasangan hidup. Siapalah diriku ini untuk memilih berlian sedangkan aku hanya sebutir pasir yang wujud di mana-mana. Tetapi aku juga punyai keinginan seperti gadis lain, dilamar lelaki yang bakal dinobat sebagai ahli syurga, memimpinku ke arah tuju yang satu.

Tidak perlu kau memiliki wajah seindah Nabi Yusuf A.S yang mampu mendebarkan jutaan gadis untuk membuatku terpikat. Andainya kaulah jodohku yang tertulis di Luh Mahfuz, Allah pasti mencampakkan rasa kasih di dalam hatiku, jua hatimu kali pertama kita berpandangan. Itu janji Allah. Akan tetapi, selagi kita tidak diikat dengan ikatan yang sah, selagi itu jangan kau zahirkan perasaanmu itu kepadaku kerana kau masih tidak mempunyai hak untuk berbuat begitu. Juga jangan kau lampaui batasan yang telah ditetapkan syara'. aku takut perlakuanmu itu akan memberi impak yang tidak baik dalam kehidupan kita kelak.

Permintaanku tidak banyak, cukuplah dirimu yang diinfak seluruhnya pada mencari redha Ilahi. Aku akan berasa amat bertuah andai dapat menjadi tiang seri ataupun sandaran perjuanganmu. Bahkan aku amat bersyukur pada Ilahi kiranya akulah yang ditakdirkan meniup semangat juangmu, menghulurkan tanganku untuk berpaut sewaktu rebah atau tersungkur di medan yang dijanjikan Allah dengan kemenangan atau syahid itu. Akan ku kesat darah dari lukamu dengan tanganku sendiri. Itulah impianku.


Aku pasti berendam airmata darah andainya engkau menyerahkan seluruh cintamu padaku. Bukan itu yang aku impikan. Cukuplah kau mencintai Allah dengan sepenuh hatimu. Kerana dengan mencintai Allah kau akan mencintaiku kerana_Nya. Cinta itu lebih abadi dari cinta insan biasa. Moga cinta itu juga yang akan mempertemukan kita kembali di syurga.

Aku juga tidak ingin dilimpahi kemewahan dunia. Cukuplah dengan kesenangan yang telah diberikan ibubapaku dulu. Apa guna kau menimbun harta untuk kemudahanku sekiranya harta itu membuatkan kau lupa pada tanggungjawabmu terhadap agamamu. Aku tidak akan sekali-kali bahagia melihatmu begitu. Biarlah kita hidup di bawah jaminan Allah sepenuhnya. Itu lebih bermakna bagiku.

Uhibbuhu fillah walillah..
Biar tak bertemu didunia fana, moga dipertemu di Jannatul Firdausi. AMIN...

~Impianku menjadi ZAUJAH solehah,
mencintai, mengasihi zaujku selepas Allah dan RasulNYA~

Monday, June 28, 2010

REMAJA MUSLIM



Salam buat sahabat-sahabat yang sentiasa mengunjungi blog ini terutama dari kalangan mahasiswa UPSI. Apa khabar iman di hati? Semoga sahabat-sahabat semua di bawah lembayung rahmat-Nya. Aisyah terasa ingin mencoretkan sesuatu biarpun semakin hari kerja semakin bertimbun. Hampir dua minggu Aisyah tidak boleh melelapkan mata hingga ke subuh menjadikan ayat tidak tersusun. Insyaallah, semoga perkongsian ini memberi manfaat kepada antum semua.

Entri kali ini Aisyah ingin membangkitkan isu kewajipan remaja muslim. Kita semua adalah remaja . Aisyah pun remaja juga. Pejam celik pejam celik, semester baru bakal bermula dan tidak sangka Aisyah sudah masuk Tahun 2 Semester 3. Memang dah jadi senior pun.

Umur remaja ini adalah umur yang cukup penting bagi kehidupan seseorang. Pada waktu inilah kita punya kekuatan yang cukup hebat dan kemampuan yang cukup tinggi untuk melakukan apa saja sama ada berbentuk fizikal, mental mahupun sosial. Tidak kira sama ada remaja lelaki mahupun remaja perempuan. Masing-masing mempunyai kemampuan tersendiri.

Kalaulah diibaratkan kitaran matahari, waktu remaja ni boleh diumpamakan waktu tengahari yang mana matahari itu sedang tegak di atas kepala, panasnya membahang, sinarnya terang. Oleh sebab itu, Aisyah sanggup mengorbankan masa cuti semester ini dan juga cuti-cuti mendatang dengan berprogram. Dari situlah kita dapat melihat potensi diri dan mencari pengalaman. Semoga pengalaman yang bermakna ini dapat dikongsikan bersama pelajar-pelajar apabila bergelar guru kelak dalam usaha mendidik mereka memjadi insan yang berguna.

Aisyah begitu sedih melihatkan kebanyakan remaja kini menghabiskan masa dengan perkara yang sia-sia seperti berdating, bercople, chatting tak syarie dan berzina. Sangat sedikit yang betul-betul menjalankan kewajipan sebagai remaja muslim pada hari ini.

Jenguk saja laman Facebook yang menonjolkan pelbagai ragam remaja yang kononnya moden, bebas, updated, dan macam-macam lagi. Lihat saja dada-dada akhbar yang melaporkan pelbagai macam masalah remaja. Budaya bergaul bebas antara lelaki dengan perempuan, berpasangan dan berlagak seperti sudah berkahwin sedangkan belum, berkhalwat, berzina, bunuh dan sebagainya.

Buat para daie, jangan kita pernah berputus asa. Kita adalah remaja muslim dan bakal guru, antara kewajipan remaja muslim itu adalah Berdakwah Kepada Islam. Buat sahabat-sahabat Aisyah marilah kita menggunakan “track” yang diberikan untuk kita laksanakan tuntutan agama.

Pahit dan penat? Ya, sememangnya pahit dan penat. Kita tidak akan pernah dihamparkan dengan karpet merah, bilik berhawa dingin, hidangan yang enak-enak malahan jalan kita penuh ranjau dan duri, cacian dan cercaan itulah yang perlu ditelan setiap kali. Kita perlu sentiasa memantapkan diri dengan kesabaran.

Friday, June 25, 2010

SULTAN MUHAMMAD AL-FATEH


Alhamdulillah, akhirnya Aisyah dapat menghabiskan buku novel sejarah Islam “ Sultan Muhammad Al-Fateh Penakluk Konstantinopel” karya Abdul Latip Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip. Aisyah mengambil masa selama 4 hari untuk menghabiskan bacaan biarpun kini sibuk dengan pelbagai urusan. Aisyah bersyukur kerana Allah masih memberikan ruang masa untuk Aisyah menyelami kisah-kisah tokoh Islam terkemuka.

Sebenarnya Aisyah amat tertarik dengan kisah-kisah tokoh Islam terutama karya Pak Latip. Pada ketika itu Aisyah menghadiri wacana ilmu “Salahudin Ayubi Penakluk Jerusalem” bersama Pak Latip di kampus pada tahun lepas. Sejak dari itu, Aisyah mula berjinak-jinak membaca dan membeli buku hasil karya beliau. Aisyah amat berharap agar diri ini dapat istiqamah dalam membaca buku-buku sejarah Islam untuk menambah ilmu di dada dan semoga dapat dikongsikan bersama para pelajar apabila bergelar seorang guru kelak.

Sedikit perkongsian hasil bacaan buku ini.:

“Konstantinopel akan jatuh ke tangan seorang ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik”- Nabi Muhammad SAW-

Sultan Muhammad al-Fateh (Pembuka Konstantinopel) ialah salah seorang tokoh pejuang Islam dalam kalangan pemerintah selain beberapa orang lagi dalam kelompok yang sama seperti Sultan Salahuddin al-Ayyubi (Penyelamat Jerusalem) dan Sultan Saifuddin Muzaffar al-Qutuz (Penghancur Monggol). Dia menerajui umat Islam melalui Empayar Uthmaniyyah yang berpusat di Turkistan (Turki). Gelaran “Al-Fath” itu bersempena kejayaannya ‘membuka’ Konstantinopel.

Kota Konstantinopel yang kini dinamakan Istanbul ( Islam keseluruhannya), terletak di sempadan antara benua Eropah dengan Asia. Ia dihubungkan oleh Selat Bosphorus. Umat Islam berusaha menawan kota tersebut kerana percaya dengan hadis Rasulullah SAW yang mengatakan Konstantinopel ditawan oleh orang Islam.

Usaha menakluk kota Konstantinopel yang menjadi kemegahan umat Kristian itu sudah berulang kali dilakukan oleh pemerintah Islam namun semuanya berakhir dengan kegagalan. Bermula dengan Saidina Ali bin Abi Talib sudah mencubanya pada tahun ke-34 hijrah. Tetapi tidak berjaya menawannya. Ramai tentera Islam yang syahid sehingga Ali terpaksa melupakannya. Kemudian pada tahun ke-84 hijrah, Muawiyah pula cuba menaklukinya namun tidak berjaya juga. Usaha itu diteruskan oleh Sultan Sulaiman Abdul Malik pada tahun ke-91 hijrah. Namun masih gagal menembusi kota yang kukuh itu. Kemudian Khalifah Harun al- Rasyid cuba menaklukinya pada tahun ke-165 hijrah dan akhir sekali Sultan Murad (ayahanda Muhammad al-Fateh) sendiri cuba menaklukinya pada tahun ke-825 hijrah namun semuanya berakhir dengan kegagalan.

Lalu Sultan Murad tertanya-tanya, “ Sudah hampir 800 tahun Nabi Muhammad SAW menuturkan hadis itu namun masih belum menjadi kenyataan. Apakah selama ini tidak ada ketua yang baik, tentera yang baik dan rakyat yang baik di negara-negara Islam” Sultan Murad mengemukakan persoalan yang sekian lama terpendam dalam hatinya.

Sultan Muhammad al- Fateh sejak di dalam buaian lagi sudah diisyaratkan bakal mencipta sejarah oleh seorang alim, Syeikh Syamsuddin al- Wali. Beliau pernah berkata kepada Sultan Murad ( ayahanda kepada Muhammad al-Fateh), “Wahai Sultan Murad, bukan tuanku yang akan membebaskan kota Konstantinopel, tetapi anak yang di dalam buaian itu,” sambil menunjuk kepada Muhammad al- Fateh yang masih di dalam buaian

Sejak itu Muhammad al-Fateh dilatih hidup sederhana, dididik dengan ilmu agama dan ilmu peperangan. Beliau membesar sebagai pemuda yang tampan. Bentuk badannya tegap, kuat dan tinggi. Pipinya putih kemerah-merahan dan hidungnya mancung.Beliau mula menaiki takhta ketika umurnya 19 tahun. Di kala itu baginda sudah begitu arif dengan tipu helah musuh.

Kemudian baginda membina benteng yang dinamakan Rumeli Hisarri yang bermaksud benteng orang-orang Rom. Baginda sendiri membuka baju dan serbannya, mengangkat batu dan pasir hingga ulama-ulama dan menteri-menteri terpaksa ikut serta.

Selain itu, menurut kisah ini ada seorang sahabat Nabi Muhammad SAW iaitu Abu Ayyub al- Ansari yang pada ketika itu sudah terlalu tua tetapi mahu pergi berperang bersama-sama menawan kota Konstantinopel pada zaman pemerintahan Khalifah Muawiyah bin Abu Sufian. Semasa berperang, Abu Ayyub al-Ansari jatuh sakit dan beliau meminta agar jenazahnya dimakamkan di bawah dinding kubu kota Konstantinopel atas wasiatnya tersendiri. Apabila ditanya mengapa beliau ingin dimakamkan di situ, beliau menjawab “ Kerana aku ingin mendengar derapan tapak kaki kuda sebaik-baik raja yang mengetuai sebaik-baik tentera semasa mereka membebaskan Konstantinopel.”

Setelah Sultan Muhammad al-Fateh berjaya menawan kota Konstantinopel, beliau berusaha mencari kubur Abu Ayyub al-Ansari dengan petunjuk Allah kerana semasa pemerintahan Maharaja Konstantine memerintahkan agar kubur itu digali lalu dipindahkan ke tempat lain kerana Maharaja berasa takut walaupun mayat itu sudah lama ditanam tetapi utuh seperti orang hidup.

Akhirnya Sultan Muhammad al-Fateh menjumpai makam Abu Ayyub al-Ansari di kawasan hutan yang dinamakan hutan larangan. Maka kerja-kerja mengali dijalankan lalu dipindahkan ke tempat lain.

( Sekiranya sahabat-sahabat ingin tahu pada muka surat 296-297, Aisyah berasa sangat tersentuh membaca kisah Sultan Muhammad al-Fateh apabila terlihat kaki sebelah Abu Ayyub al-Ansar terjulur keluar pada tempat yang digali. Aisyah tidak mampu menceritakan di sini kerana begitu sedih ketika membacanya)

Sultan Muhamad al-Fateh menukar nama Kota Konstantinopel kepada Istanbul lalu menjadikan ibu kotanya. Kemudian beliau menakluk Serbia pada tahun 1460 dan Bosnia pada tahun 1462. Seterusnya Sultan Muhamad al Fateh menakluk Italia, Hungari, dan Jerman. Ketika berada dikemuncak kegemilangannya, Sultan Muhamad al Fateh memerintah 25 buah negeri. Kemudian dia membuat persiapan menakluk Rhodesia tetapi meninggal dunia kerana diracun oleh seorang Yahudi bernama Maesto Jakopa.

Sultan Muhammad Al Fateh yang dilahirkan pada 29 Mac 1432 itu telah meninggal dunia pada 3 Mei 1481 ketika berusia 49 tahun.

Diharapkan agar sahabat-sahabat dapat membaca buku ini dan mencontohi sifat kematangan Sultan Muhammad al- Fateh.

.

Saturday, June 19, 2010

SAMBUNG BELAJAR


Salam buat sahabat-sahabat ana yang sering mengunjungi blog ana ini. Semoga antum semua sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya.

Entri pada kali ini sekadar meluahkan kegembiraan ana apabila diberitahu bahawa dua orang adik ana dapat melanjutkan pelajaran ke Universiti Putra Malaysia. Ana begitu bersyukur kerana kedua-duanya dapat belajar tempat yang sama. Adik lelaki ana yang bernama Megat Ahmad Yusuf, 18 tahun melanjutkan pelajaran dalam asasi Sains Pertanian dan adik perempuan ana, Puteri Nor Adibah, 19 tahun melanjutkan pelajaran Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Dietetik.

Sebenarnya, ana kurang pasti apa yang sedang direncanakan oleh adik lelaki ana dalam merancang masa depannya. Setahu ana, dia amat meminati bidang kejuruteraan dan keputusan SPM nya begitu cemerlang dalam mata pelajaran fizik, A1. Dan ana masih tertanya-tanya mengapa dia menolak tawaran matrikulasi dan mengambil keputusan untuk ambil asasi.Biarpun kakak-kakaknya (ana & Adibah) sudah menasihati supaya dia memilih matrikulasi seperti kami berdua, tetapi dia masih dengan pendiriannya itu. Ana begitu faham akan perangai adik lelaki ana ini kerana dia seorang yang tidak boleh dipaksa-paksa dalam membuat apa-apa keputusan. Bagi ana sebagai seorang kakak, ana berasa dia sangat rugi kerana dia tidak membuat keputusan yang lebih baik lagi dalam memilih jurusan kerana ana tahu adik lelaki ana ini seorang pelajar yang pintar kerana setiap peperiksaan besar, dia pasti mendapat straight A dalam UPSR 5A, PMR 8A dan SPM dia merupakan pelajar cemerlang di sekolah. Akhirnya kami sekeluarga akur akan pendiriannya itu.

Baru-baru ini, keputusan UPU telah keluar. Adik perempuan ana lepasan matrikulasi dari Kolej MARA Kuala Nerang telah mendapat tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang Dietetik. Selain itu, adik ana ini sedang menunggu surat tawaran dalam bidang perubatan di India kerana pada bulan lepas dia telah menghadiri temuduga biasiswa dalam bidang tersebut. Ana juga masih tertanya-tanya mengapa dia tidak memilih perubatan dalam negara sewaktu mengisi UPU pada tempoh hari sedangkan keputusan (pointer) begitu cemerlang dan melayakkan untuk membuat perubatan. Alasan yang diberikan kerana takut tidak boleh bawa sekiranya memilih jurusan tersebut dan dia selalu mendengar mitos-mitos bahawa student medic sering mengalami tekanan kerana perlu mengingat banyak perkara.Hehehe..

Apa-apa keputusan mereka, adalah hak mereka. Sebagai kakak sulung ana hanya membantu dalam membuat garis panduan dan halatuju sahaja, selebihnya adalah pada diri mereka sendiri. Cuma pesanan ana pada mereka adalah carilah “madu” di sana. Ana begitu bimbang akan fenomena pelajar-pelajar IPTA kini. Carilah sahabat-sahabat yang boleh membawa kepada kebaikan di dunia dan akhirat.

Tidak lupa juga kepada semua pelajar baru ambilan Julai 10/11 yang bakal melanjutkan pelajaran ke Universiti Pendidikan Sultan Idris. Selamat datang diucapkan. Semoga kehadiran anda semua ke UPSI dapat memantapkan lagi profession perguruan pada masa akan datang. InsyaAllah.

Kini, MPP, JMK,dan sekretariat MSK UPSI sedang sibuk dengan tugas masing-masing untuk menyambut kehadiran pelajar baru UPSI yang dijangkakan melebihi 3000 orang yang terdiri daripada Diploma Pendidikan Awal, Diploma in English, Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (DPLI), Pelajar Antarabangsa dan Guru Besar.

Diploma Pendidikan Awal (250)
Diploma in English (60)
Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (2450)
Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah (320)
Pelajar Antarabangsa (37)
Guru Besar (25).

Ana selaku pengarah program bagi Minggu Haluan Siswa (MIHAS) serta rakan seangkatan JMK ana akan berusaha merencanakan aktiviti yang bersesuaian untuk pelajar-pelajar baru yang bakal mendiami kolej kami iaitu KHAR tercinta. Apa yang ana harapkan agar semoga anda semua mendapat manfaat dari setiap program yang kami laksanakan serta dapat memberikan komitmen sepenuhnya.

Friday, June 18, 2010

FACEBOOK & MUSLIMAH..??



Salam buat sahabat-sahabat yang menziarah blog ana ini. Apa khabar iman di hati? Semoga sentiasa di bawah lembayung rahmat-Nya.

Semoga apa yang ana ingin kongsikan pada post kali ini dapat memberikan manfaat kepada sahabat-sahabat yang meneruskan pembacaan.

Sejak ana menyertai laman rangkaian Facebook, ana begitu seronok kerana dapat berjumpa dengan rakan-rakan lama dari sekolah dan matrikulasi. Biarpun sudah lama tidak ketemu, akhirnya kami semua dapat berhubung melalui laman rangkaian sosial Facebook ini.

Entri kali ini ana bukanlah hendak berkongsi tentang rakan-rakan kenalan di Facebook tetapi mengenai “photo” yang diupload terutama bagi kaum muslimah. Memang tidak dapat dinafikan bahawa ana sendiri juga gemar mengupload gambar- gambar sesama rakan-rakan sejantina. Maklumlah sejak terlibat dalam REXCO dan kini ana menjawat jawatan sebagai JMK memang terlalu banyak program. Tambahan pula ana sering membawa kamera pada setiap program yang ana pergi. Setelah itu ana akan publish gambar di Facebook dan membaca komen daripada rakan-rakan. Secara tidak langsung ini dapat mewujudkan kemesraan antara kami terutama dalam kalangan JMK.

Jauh di sudut hati ini, timbul rasa berdosa yang teramat sangat. Tiba-tiba ana rasa malu, kesal dan insaf pada diri sendiri. Sebagai seorang muslimah, yang bertudung, yang menutup aurat, tidak segan silu memaparkan gambar masing-masing yang mungkin dapat dilihat oleh berjuta-juta orang setiap hari. Sedangkan wajah ini adalah anugerah Allah. Dan anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja. Ya Allah ampunilah hamba-Mu ini.

Ana pernah terdengar dalam ceramah agama tentang “menundukkan pandangan” dalam Surah An-Nur “Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang Yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; Sesungguhnya Allah amat mendalam pengetahuannya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Tanpa kita sedari, kita telah menyebabkan orang lain berdosa apabila melihat gambar kita sendiri biarpun bertudung litup. Hati ana mula bersoal-soal,apa tujuan kita bertudung dan menutup aurat? Bukankah kehendak syariat dan ingin menutup pandangan? Maka, soalan ana, menundukkan pandangan bukan kehendak syariatkah? Memaparkan wajah adakah menutup pandangankah?

Alhamdulillah, Allah masih menyanyangi dan masih memberi peluang kepada ana untuk sedar daripada terus berbuat dosa dan orang lain berdosa. Lantas ana telah men”delete” dan remove tag pada semua gambar pada Facebook. Bagi ana gambar-gambar tersebut bakal mengundang fitnah. Sebelum perkara buruk berlaku, lebih baik kita berhati-hati. Itulah langkah penyelesaian yang terbaik bukan? Kalau lebih mudah, kita boleh emelkan gambar pada rakan muslimah kita sendiri sahaja dan tidak perlu memaparkan pada Faceook lagi.

Dan ingatlah wahai muslimah, wajah ini anugerah Allah. Dan anugerah Allah itu hanya layak dilihat berkali-kali oleh yang layak sahaja.

Hal ini juga telah ditulis oleh Ust Abu Umair dengan baik dan beliau telah mengulasnya dari sudut pandangan syariah terhadap ‘tagging’ ini. Baca di sini:

http://abuumair1.wordpress.com/2010/03/04/...mengundang-dosa

Monday, June 14, 2010

CERMIN HIDUP


Terasa sudah lama bersawang blog ana ini. Alhamdulillah ana diberi kesempatan untuk mencoretkan sesuatu untuk entri kali ini biarpun sibuk dengan program.

Sebenarnya ada banyak perkara yang terbuku dalam hati ana ini. Pelbagai masalah, pesoalan, konflik dan bermacam-macam lagi yang berlaku disekeliling ana. Kesemua perkara itu sebenarnya dapat mematangkan diri kita sendiri sekiranya kita menganggap secara positif.

Bagi ana setiap orang mempunyai pendapat tersendiri. Bukan semua orang berfikir seperti mana kita berfikir. Dan bukan semua orang dapat menerima pendapat kita sendiri atau individu lain. Memang tidak dapat dinafikan bahawa manusia ini ada bermacam-macam ragam dan peragainya.

Apa yang ana ingin kongsikan di sini mengenai “teguran”. Ana percaya bukan semua dapat menerima teguran bukan??? Dan ana percaya bukan semua orang dapat menerima analogi ana ini sekiranya pembaca blog ini meneruskan pembacaan.

Analogi yang ana ingin bawakan mengenai cermin. Ada dua jenis cermin iaitu cermin mati dan cermin hidup. Apa itu cermin mati dan apa itu cermin hidup?

Cermin mati adalah cermin yang selalu kita lihat hari-hari untuk melihat penampilan kita dari luaran sahaja. Kita boleh nampak diri kita sama ada cantik ke, lawa ke, matching ke dan sebagainya. Cermin ini tidak boleh berkata- kata.

Cermin hidup pula adalah cermin yang boleh berkata-kata. Ada jual ke cermin yang boleh berkata-kata ni? Sebenarnya cermin hidup ini adalah “orang” yang boleh memberitahu kita tentang perangai kita sendiri. Seorang manusia yang begitu jujur tanpa berselindung walau sedikit pun.

Bagi ana penilaian yang diberi oleh cermin hidup dapat membantu kita dalam memperbaiki diri biarpun kita sudah merasakan diri kita ini sudah begitu hebat lagi perfect. Misalnya, apabila kita bercakap atau berbual tanpa disedari mungkin kita menggunakan nada suara tinggi seperti memarahi orang lain. Mungkin kita mengeluarkan isu-isu sensitif yang boleh menyebabkan orang lain terasa hati. Oleh itu, dengan adanya cermin hidup ini dia akan menegur dan memberitahu supaya kita tidak bersikap sedemikian.

Seperti yang ana tulis tadi bukan semua orang dapat menerima apa yang cermin hidup bagi tahu. Terpulang pada individu masing-masing untuk menilainya.

Mungkin pembaca tertanya-tanya macam mana nak cari cermin hidup ni bukan? Berdasarkan pengalaman ana sendiri, cermin hidup adalah bukan kawan rapat ana. Cermin hidup ini adalah individu yang mengenali diri kita tetapi bukan rapat sekadar mengenali dan pernah bersembang. Tapi mestilah seorang yang boleh kita percayai dan bersikap matang. ( Selalunya ana akan rujuk pada senior dan kakak-kakak)

Kenapa bukan kawan rapat? Sekiranya kita bertanya pada kawan rapat, mungkin jawapan penilaian yang diberikan mengenai kita bukan sejujurnya. Tambahan pula kalau kita selalu belanja dia, mungkin dia akan menyatakan yang positif bagi menjaga hati dan perasaan kita semata-mata serta hubungan persahabatan.

Adakalanya cermin hidup juga adalah seorang insan yang begitu jujur “mulutnya”. Apa yang terlintas dalam pemikirannya, ia akan bercakap secara direct atau terus. Misalnya pengkritik ujibakat nyanyian AF ke, One in Million ke, Mentor ke dan banyak lagi pengkritik rancangan realiti tv sekarang ni. Tujuan mereka adalah untuk memperbaiki lagi mutu persembahan para peserta. Individu seperti ini memang ada dalam kalangan kita apabila berorganisasi. Seperti mana yang ana tulis tadi terpulang pada diri sendiri untuk menerimanya.

Ana sedari bukan semua individu boleh menerima teguran atau “smashhh” dari ana. Bukan niat ana untuk menjatuhkan atau memburukan mana-mana individu. Tetapi sedarlah wahai sahabat kerana perjuangan kita baru sahaja bermula. Ana tidak mahu perjuangan ini tersangkut dipertengahan jalan kerana amanat dan tanggungjawab kita terhadap agama memang besar. Kita perbaiki segala kelemahan diri pada peringkat awal. Apa yang ana harapkan semoga hubungan yang dibina pulih sediakala dan ambillah secara positif wahai sahabatku.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails